PROGRAM PENYEMARAKAN TEATER: PEMENTASAN KARYA TEATER “RANJAU SEPANJANG JALAN”

Selasa 11/11/2025

ALOR SETAR, 11 Nov (Bernama) -- Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kedah dengan kerjasama Persatuan Teater Alor Setar (PENTAS) telah mementaskan sebuah karya teater yang cukup bererti dan sarat dengan nilai kemanusiaan bertajuk “Ranjau Sepanjang Jalan”, hasil adaptasi daripada novel agung tulisan Sasterawan Negara, Dato’ Shahnon Ahmad.

Pementasan ini telah berlangsung selama dua (2) hari pada 24 dan 25 Oktober 2025 (Jumaat & Sabtu), bertempat di Auditorium JKKN Kedah, bermula jam 8.30 malam.

Karya ini diangkat dengan hasrat untuk memperkenalkan kembali kepada masyarakat, khususnya generasi muda, tentang keindahan serta kedalaman karya sastera tempatan yang menyentuh akar kehidupan rakyat. Ia juga menjadi medium untuk menyemarakkan kembali minat terhadap seni teater tempatan sebagai satu bentuk ekspresi budaya yang mampu membina jati diri bangsa.

Menariknya, pementasan kali ini melalui proses yang cukup teliti dan berstruktur. Sebelum latihan penuh dimulakan, pihak produksi mengadakan sesi uji bakat yang terbuka kepada bakat baharu dari sekitar negeri Kedah. Proses ini bukan sahaja berjaya menarik minat ramai anak muda, malah menjadi platform bagi mereka menonjolkan bakat lakonan serta membina keyakinan diri dalam dunia teater.

Hasil daripada sesi tersebut, kebanyakan pelakon yang terlibat merupakan anak-anak tempatan Kedah, termasuk pelajar sekolah dan komuniti setempat yang memiliki minat mendalam terhadap dunia lakonan. Bakat-bakat ini kemudiannya dibimbing oleh tenaga pengajar dan pengarah berpengalaman daripada Persatuan Teater Alor Setar (PENTAS) serta disokong sepenuhnya oleh JKKN, Kedah.
 
Selain kehebatan pelakon tempatan, teater ini turut menampilkan pelakon terkenal tanah air, Hairie Othman, yang bakal membawa nafas baharu dalam pementasan ini. Kehadiran beliau bukan sekadar sebagai tarikan utama, tetapi juga sebagai mentor kepada para pelakon muda dalam menjiwai seni teater dengan lebih mendalam.

“Ranjau Sepanjang Jalan” bukan sekadar sebuah pementasan, tetapi satu bentuk penghormatan terhadap karya agung yang menggambarkan realiti kehidupan masyarakat desa. Melalui watak Lahuma dan Jeha, penonton akan dihidangkan dengan kisah perjuangan suami isteri petani yang berjuang melawan kemiskinan, penyakit dan keperitan hidup, namun kekal tabah dengan semangat dan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi.

Kisah ini berlatarkan suasana kampung padi yang serba kekurangan, di mana Lahuma dan Jeha berjuang mencari rezeki di sawah mereka yang sering dilanda bencana. Namun, di sebalik penderitaan itu, terserlah ketabahan, pengorbanan dan keimanan mereka yang menjadi lambang kekuatan manusia kecil menghadapi nasib hidup yang getir.

Program ini diadakan sebagai salah satu usaha Penyemarakan Seni Budaya di bawah JKKN Kedah untuk menarik minat masyarakat mendekati seni teater serta memperkukuh kecintaan terhadap penulisan dan karya tempatan. Dengan mengangkat karya penulis agung seperti Dato’ Shahnon Ahmad, ia diharap dapat menjadi jambatan antara dunia sastera dan masyarakat moden hari ini.

Selain memberi hiburan yang bermakna, pementasan ini juga berperanan sebagai platform pembangunan bakat seni tempatan, melahirkan lebih ramai pelakon dan penggiat teater yang mampu meneruskan legasi seni budaya.

Dikeluarkan oleh:
Unit Komunikai Koporat (UKK)
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara 

SUMBER: Persatuan Legasi Cinta Seni 

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI:
Unit Komunikasi Korporat
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara
Tel: 03-2614 8200
Laman Sesawang: www.jkkn.gov.my
E-mel: ukk@jkkn.gov.my 

--BERNAMA 
+