Jumaat 14/11/2025

Karya Teater Seniman Negara Datuk Lat "Kampung Boy" oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perak sempena Karya Teater 2025
IPOH, 14 Nov (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Perak serta Pertubuhan Seni Kayangan Perak (PESKAP), dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perak mementaskan sebuah karya teater berprestij bertajuk Karya Teater Seniman Negara Datuk Lat ”Kampung Boy”. Pementasan ini merupakan sebuah penghormatan istimewa kepada Penerima Anugerah Seniman Negara ke-9, YBhg. Datuk Mohammad Nor bin Mohammad Khalid (Datuk Lat), yang juga merupakan Seniman Diraja, atas sumbangan besar beliau dalam mengangkat budaya dan identiti Malaysia ke persada antarabangsa melalui karya beliau yang unggul.
Skrip yang ditulis khas oleh Saad Omar serta arahan oleh Ridhwan Saidi ini menterjemahkan siri komik ikonik “The Kampung Boy”, yang mengisahkan kehidupan Datuk Lat sewaktu zaman kanak-kanaknya sebagai seorang budak lelaki di kampung. Barisan pelakon yang bakal menjayakan pementasan ini terdiri daripada Taiyuddin Bakar, Safura Ya’cob, Ilya Senario, Hadi Mikail, Faris Jamhari, Isma Hakimi, Aqeel Uwais, Yeop Nazri, Cikgu Farah, Sty Mat Desa, Dayyan, Fazly Izwan, Nazir, Tiqah, Danny H, Farah Ann, Yazz, dan Madi.
Pementasan ini diadakan selama tiga (3) malam berturut-turut bermula 14 November sehingga 16 November 2025 (Jumaat - Ahad) pukul 8:30 malam bertempat di Auditorium Kompleks JKKN Perak. Program ini bukan sahaja menjadi landasan untuk memelihara dan memperkasakan seni budaya warisan, tetapi juga menggalak serta menarik minat masyarakat agar mencintai seni teater.
Pementasan ini diberi penghormatan istimewa apabila Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, Sultan Perak Darul Ridzuan, serta Duli Yang Maha Mulia Tuanku Zara Salim, Raja Permaisuri Perak, dijadualkan berangkat menyaksikan pementasan tersebut pada malam kedua. Pementasan turut diserikan dengan kehadiran YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak; YBhg. Dato’ Shaharuddin bin Abu Sohot, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC); dan YBrs. Encik Mohd Amran bin Mohd Haris, Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).
Program ini bukan sahaja menggalakkan minat masyarakat terhadap seni teater, malah turut menawarkan program sampingan seperti Klinik Seni Budaya, Klinik Teater Kanak-kanak, sesi sembang santai ‘Ate Moh Nyembang’ dan jualan makanan. Tiket boleh didapati pada harga RM25.00 (Orang Awam) dan RM20.00 (Pelajar, OKU & Warga Emas).
Bagi mendapatkan maklumat dan keterangan lanjut mengenai program ini, orang ramai boleh melayari laman sesawang JKKN iaitu www.jkkn.gov.my ataupun boleh layari facebook rasmi JKKN Ibu Pejabat melalui pautan https://www.facebook.com/