Felow Kehormat IKIM, Tan Sri Azman Mokhtar (tengah); Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil (dua dari kiri); bersama para pembentang dan peserta seminar di UTM Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dengan kerjasama Raja Zarith Sofiah Centre for Advanced Studies on Islam, Science and Civilization (RZS-CASIS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta penaja Permodalan Nasional Berhad (PNB) telah menganjurkan Seminar “Ihya’ Pemikiran Ekonomi Peradaban Islam: Iqtiṣad dan Tadbir al-Manzil” pada 18 dan 19 November 2025 di Menara Razak, UTM Kuala Lumpur. Seminar ini merupakan sebuah usaha terkini IKIM untuk menghidupkan kembali kerangka pemikiran ekonomi Islam yang bersifat holistik, sekaligus memperjelas perbezaannya dengan pendekatan ekonomi moden.
Dalam ucapan pembukaannya, Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil, menekankan bahawa istilah iqtiṣad membawa makna yang lebih mendalam daripada sekadar “ekonomi”. Jelas beliau, menghidupkan kembali makna iqtiṣad adalah sebahagian daripada usaha membangunkan semula peradaban Islam dalam dunia multipolar masa kini, di mana pelbagai peradaban dunia kembali diiktiraf sebagai rakan yang setara. Beliau turut mengingatkan bahawa ekonomi dalam Islam mesti difahami sebagai sebahagian daripada ad-Dīn, yang menggabungkan akidah, syariah dan akhlak dalam membentuk masyarakat yang seimbang dan dapat menyumbang kepada pembinaan halatuju Peradaban Islam yang lebih cerah pada masa hadapan.
Seminar ini turut menampilkan syarahan utama oleh Tan Sri Azman Mokhtar, Pengerusi Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felow Kehormat IKIM, yang menghuraikan senario amalan ekonomi dan kewangan Islam masa kini serta cabaran mengembalikan kerangka pemikiran ekonomi Islam yang asli dalam ekosistem moden.
Seminar dua hari ini turut diperkaya dengan tujuh pembentangan kertas kerja yang membina satu rangka naratif dan cadangan-cadangan untuk menghidupkan pemikiran ekonomi dalam Peradaban Islam. Hari pertama, Sesi I membuka gelanggang wacana dengan menelusuri akar sejarah melalui pembentangan kertas oleh Dr. Mohd Hilmi Ramli (RZS-CASIS, UTM), yang mengetengahkan kepentingan penyelidikan terhadap sejarah pemikiran ekonomi Islam untuk memastikan terzahirnya pemikiran ekonomi Islam dalam konteks masakini secara meluas.
Perbincangan kemudian bergerak kepada aspek aplikasi kontemporari dengan pembentangan Dr. Ahmad Basri Ibrahim (PNB) menegaskan bagaimana model pelaburan PNB secocok dengan faham maqasid iaitu lanjutan daripada akar kata iqtisad dalam Bahasa Arab iaitu qasad. Sesi ini diakhiri dengan pembentangan Dr. Muhammad Syafiq Borhannuddin (IKIM), melalui pembentangan yang membandingkan secara kritis dua kerangka pemikiran besar iaitu Islam dan sekular serta implikasinya terhadap pembangunan insan dan masyarakat.
Pada hari kedua, Sesi II memperluas horizon perbincangan kepada dimensi amali dan kekeluargaan dalam ekonomi Islam. Dr. Rizky Febrian (CIET) membuka sesi dengan pembentangan yang menyorot makna pekerjaan sebagai Fardu Kifayah dalam pengertian yang sebenar disertakan dengan pelbagai contoh di Indonesia masakini. Seterusnya, En. Muhammad Syukri Rosli (Akademi Jawi Malaysia) berkongsi pengalaman praktikal melalui topik ‘Keusahawanan Sebagai Iqtisad Amali’ yang memaparkan bagaimana usaha keusahawanan memenuhi tuntutan Fardu Kifayah boleh menjadi wahana pembangunan masyarakat.
Kertas keenam oleh Dr. Muhammad Hisyam Mohamad (IKIM) mengupas peranan wakaf keluarga dengan menekankan potensi wakaf keluarga sebagai mekanisme jangka panjang dalam pembangunan ekonomi umat. Sesi ditutup dengan kupasan mendalam oleh YM Dr. Syed Redzuan al-Saggoff (RZS-CASIS, UTM) melalui kertas “Faham dan Hakikat Kekayaan dalam Islam”, yang mengembalikan perhatian peserta kepada makna kekayaan berdasarkan kitab Bulghat al-Murad oleh al-Budayri.
Dengan kehadiran seramai 60 orang yang terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk ahli akademik, pengamal industri serta pelajar IPTA. Ia juga telah memberi pendedahan kepada peserta tentang peranan pemikiran ekonomi Islam dalam mengembalikan peradaban Islam pada tempatnya yang wajar.
19 November 2025
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT IKIM
SUMBER: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI:
Nama: Pn. Hajah Nik Hasnah bt. Ismail
Tel: 016-219 5345
Emel: nikhasnah@ikim.gov.my
Nama: En. Sharuzi bin Ismail
Tel: 010-402 6200
Emel: jie@ikim.gov.my
--BERNAMA