PCG Catat Peningkatan Pendapatan Suku Tahunan Didorong oleh Operasi Lebih Baik serta Kesan Tukaran Asing

Jumaat 21/11/2025

Table
PETRONAS


• Pendapatan sebanyak RM6.8 bilion
• EBITDA sebanyak RM497 juta


KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG atau Kumpulan), hari ini mengumumkan prestasi bagi suku ketiga (3Q 2025) tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, mencatatkan pendapatan yang lebih kukuh serta peningkatan dalam Perolehan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA).

Peningkatan keseluruhan pendapatan didorong oleh prestasi operasi yang lebih kukuh, disiplin kos yang berterusan serta kesan pertukaran asing yang lebih rendah meskipun berdepan pasaran kimia yang mencabar. Kumpulan telah mengurangkan Kerugian Selepas Cukai (LAT) berikutan kesan pertukaran asing yang lebih rendah daripada penilaian semula pinjaman pemegang saham kepada Pengerang Petrochemical Company Sdn. Bhd. (PPCSB) dan ketiadaan butiran luar biasa yang direkodkan pada 2Q 2025.

Sorotan utama 3Q 2025 berbanding 2Q 2025:

• Pendapatan meningkat 5% kepada RM6.8 bilion (2Q 2025: RM6.4 bilion) hasil daripada jumlah jualan yang lebih tinggi.
• EBITDA meningkat 26% kepada RM497 juta (2Q 2025: RM395 juta) disebabkan oleh penyebaran produk yang lebih tinggi terutamanya bagi urea dan ammonia serta kerugian pertukaran asing yang tidak direalisasi yang lebih rendah atas penilaian semula hutang pada PPCSB. 
• LAT berjumlah RM291 juta (2Q 2025: RM1 bilion) berikutan kesan negatif pertukaran asing yang lebih rendah daripada penilaian semula pinjaman pemegang saham kepada PPCSB serta ketiadaan perosotan nilai aset di Perstorp dan kerugian pengukuran semula yang timbul daripada pelarasan masa pembayaran hutang dagangan, yang direkodkan pada 2Q 2025.
• Kadar penggunaan loji purata Kumpulan adalah lebih tinggi pada 90% (2Q 2025: 77%) berikutan prestasi loji yang lebih baik secara keseluruhan walaupun kerja pemulihan loji berkala telah dilaksanakan di PC Fertiliser Sabah.

Ringkasan kewangan perbandingan:​
 
 3Q 20252Q 2025
Pendapatan (RM juta)6,7876,437
EBITDA (RM juta)497395
Margin EBITDA (%)7.36.1
(LAT)/PAT (RM juta)(291)(1,047)
(LATANCI)/PATANCI (RM juta)(289)(1,081)
LATANCI: Kerugian Selepas Cukai dan Kepentingan Tanpa Kawalan
PATANCI: Keuntungan Selepas Cukai dan Kepentingan Tanpa Kawalan

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Mazuin Ismail berkata, ‘Prestasi kami pada suku ini mencerminkan faedah nyata daripada disiplin operasi dengan peningkatan prestasi loji secara keseluruhan, sementara kami melaksanakan kerja-kerja pemuilihan yang dirancang pada loji baja kami di Sipitang, Sabah. Penutupan ini telah dilaksanakan dengan selamat dan disiapkan mengikut jadual.

Kumpulan terus memberi tumpuan kepada peningkatan kecekapan operasi, pelaksanaan inisiatif pengoptimuman kos dan pencarian peluang secara aktif untuk penciptaan nilai. Pendekatan berdisiplin ini telah menghasilkan peningkatan melebihi RM400 juta dalam EBITDA bagi tempoh tahun sehingga kini.

Kami kekal komited untuk memacu inovasi dan memperluas portfolio untuk memenuhi keperluan pelanggan dengan lebih baik. Dalam segmen bahan termaju dan salutan di bawah perniagaan Kimia Khusus, permintaan terhadap penyelesaian salutan yang lebih kukuh dan tahan lama terus meningkat. Melalui segmen bahan kimia khusus, kami telah memperkukuh penawaran dengan pengenalan rangkaian Neptem™ sebagai bahan pengemulsi untuk alkid bawaan air, yang bertujuan untuk mengurangkan sebatian organik yang meruap dalam produk cat dan salutan. Dengan ini jumlah keseluruhan produk baharu yang dibangunkan setakat tahun ini adalah 15.

Menjelang akhir bulan Jun, kami telah memulakan Ujian Kebolehpercayaan Pemiutang (CRT) di Pengerang Integrated Complex. Namun, berikutan keadaan pasaran yang kekal lemah, kami telah mengambil keputusan untuk menangguhkan pelaksanaan CRT dan akan memulakannya semula apabila keadaan pasaran kembali pulih. Sementara itu, loji kami terus beroperasi pada tahap optimum bagi memastikan margin terbaik serta memenuhi keperluan pelanggan. Kami yakin bahawa dengan mengekalkan fleksibiliti dan fokus kepada penciptaan nilai, PCG akan berada pada kedudukan yang kukuh untuk merebut peluang baharu.”

PCG menjangkakan persekitaran operasi akan kekal mencabar dalam jangka masa terdekat berikutan industri terus berdepan dengan keadaan bekalan yang berlebihan dan pertumbuhan permintaan yang perlahan, yang memberi tekanan berterusan ke atas margin. PCG kekal berhati-hati terhadap segmen Olefin & Derivatif memandangkan kebanyakan produk menghadapi lebihan bekalan di tengah-tengah kelembapan bermusim. Segmen Baja & Metanol pula berpotensi mencatat peningkatan, susulan sekatan eksport dari China yang dijangka menyokong harga urea menjelang musim penanaman di India, manakala harga metanol juga dijangka mendapat sokongan berikutan keutamaan keperluan tenaga pada musim sejuk. PCG mengekalkan pandangan konservatif terhadap segmen kimia khusus kerana pasaran akhir seperti pembinaan dan automotif terus berdepan cabaran akibat permintaan yang lebih rendah.

Mengenai PETRONAS Chemicals Group Berhad

PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) merupakan pengeluar bahan kimia bersepadu terulung di Malaysia dan antara yang terbesar di Asia Tenggara. Ia mengendalikan beberapa tapak pengeluaran bertaraf dunia di Malaysia, Asia Pasifik, Eropah dan Amerika Utara. Dengan jumlah kapasiti pengeluaran gabungan sebanyak 16.8 juta tan metrik setahun (mtpa), aktiviti perniagaan utama PCG melibatkan pengeluaran, pemasaran dan penjualan beraneka produk kimia, termasuk olefin, polimer, baja, metanol serta bahan kimia, produk derivatif dan bahan kimia khusus.

Disenaraikan di Bursa Malaysia dengan empat dekad pengalaman dalam industri bahan kimia, PCG telah ditubuhkan sebagai sebahagian daripada Kumpulan PETRONAS untuk memaksimumkan nilai daripada sumber gas asli Malaysia.
PCG komited untuk memastikan amalan perniagaannya selaras dengan piawaian yang diiktiraf di peringkat global bagi amalan Ekonomi, Alam Sekitar, Sosial & Tadbir Urus (EESG). PCG kini disenaraikan dalam Indeks FTSE4 Good Bursa Malaysia (F4GBM) dan Dow Jones Best-in-Class Indices.

Maklumat lanjut berkenaan PCG boleh didapati di www.petronaschemicals.com.my

Dikeluarkan oleh
PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG)

Sumber: PETRONAS Chemicals Group Berhad

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI: 
Nama: Yogeswari Thangavelu
Tel: (6) 017 2000919
E-mel : yogeswari.thangavel@petronas.com

--BERNAMA

+