Isnin 24/11/2025

Pelan Induk Produktiviti Kebangsaan untuk Sri Lanka telah diserahkan secara rasmi kepada Perdana Menteri Sri Lanka, YABhg. Harini Amarasuriya (tengah), semasa kunjungan hormat.
COLOMBO, Sri Lanka, 24 Nov (Bernama-BUSINESS WIRE) -- Pada 20 November 2025, Kerajaan Sri Lanka secara rasmi melancarkan Pelan Induk Produktiviti Kebangsaan, sebuah rangka tindakan lima tahun yang direka khusus untuk mengalihkan negara itu daripada pemulihan krisis kepada pertumbuhan yang dipacu produktiviti dan berorientasikan eksport.
Meliputi tahun 2024–29, pelan induk itu dibangunkan oleh Sekretariat Produktiviti Kebangsaan dan Kementerian Perindustrian dan Pembangunan Keusahawanan Sri Lanka dengan sokongan teknikal daripada Organisasi Produktiviti Asia (APO), yang melibatkan Pusat Pembangunan Antarabangsa Institut Pembangunan Korea untuk mengetuai kerja analisis dan penggubalan bersama APO.
Ketua Setiausaha APO Dr. Indra Pradana Singawinata menekankan bahawa pelan itu bertujuan untuk merapatkan peralihan Sri Lanka daripada penstabilan jangka pendek kepada transformasi struktur jangka panjang: “Penstabilan telah bermula, tetapi transformasi belum dijamin. Pelan Induk Produktiviti Kebangsaan ini ialah jambatan antara penstabilan jangka pendek dan kemakmuran jangka panjang yang berdikari.”
Pelan induk ini menggesa pembaharuan bersasar yang mengutamakan inovasi; pembangunan modal insan; infrastruktur moden; institusi awam yang lebih pintar dan tersusun; serta strategi khusus sektor untuk industri boleh niaga utama. Dengan melabur dalam sektor boleh niaga yang berdaya saing dan menyelaraskan kemahiran dengan peluang, Sri Lanka boleh meningkatkan produktiviti sambil mengembangkan penampan fiskal, mengukuhkan kedudukan luaran, mempercepatkan pemulihan daripada kejutan, dan mengubah pekerjaan di luar negara daripada keperluan kepada pilihan.
Setiausaha Kementerian Perindustrian dan Pembangunan Keusahawanan, J. M. Thilaka Jayasundara, menyifatkan pelancaran itu sebagai "detik yang sangat menggembirakan" bagi pergerakan produktiviti Sri Lanka yang telah lama wujud dan menekankan cita-cita Sri Lanka untuk membenamkan produktiviti dalam setiap bahagian masyarakat. Beliau menekankan sasaran 2030 untuk meningkatkan sumbangan KDNK industri kepada 28%, membina ekonomi berasaskan pembuatan yang lebih kukuh, dan meningkatkan pendapatan eksport industri dan jumlah eksport masing-masing kepada USD 28 bilion dan USD 45 bilion.
Yang Berhormat Chathuranga Abeysinghe, Timbalan Menteri Perindustrian dan Pembangunan Keusahawanan, menyifatkan pelan induk itu sebagai "titik perubahan bagi negara" dan menyambut baik cadangan penubuhan Suruhanjaya Produktiviti Kebangsaan sebagai faktor kejayaan utama untuk pelaksanaan dan pemantauan.
Selepas majlis pelancaran, Ketua Setiausaha APO Dr. Indra, bersama delegasi APO dan Institut Pembangunan Korea serta pegawai Sekretariat Produktiviti Kebangsaan, telah membuat kunjungan hormat kepada Perdana Menteri Yang Amat Berhormat Harini Amarasuriya untuk menyerahkan pelan induk itu secara rasmi dan membincangkan laluan praktikal untuk pelaksanaannya. Kunjungan hormat itu mengesahkan semula bahawa produktiviti adalah perkara yang mendapat perhatian politik peringkat tertinggi dan pelan induk itu akan dianggap sebagai agenda yang berterusan untuk pembaharuan negara.
Maklumat tentang Pelan Induk Produktiviti Kebangsaan 2024–29
Pelan induk ini menetapkan strategi merentas kerajaan untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing dengan mengutamakan inovasi, kemahiran, infrastruktur, dan institusi awam yang lebih pintar sambil menyokong sektor-sektor utama pertanian, perikanan, pelancongan, tekstil dan pakaian, serta perisian dan ICT.
Maklumat tentang APO
Organisasi Produktiviti Asia (APO) ialah sebuah organisasi antara kerajaan serantau yang ditubuhkan untuk meningkatkan tahap produktiviti di rantau Asia Pasifik melalui kerjasama bersama. APO bersifat bebas politik, tidak berasaskan keuntungan, dan tidak mendiskriminasi. Ditubuhkan pada tahun 1961 dengan lapan negara pengasas, APO kini merangkumi 21 ekonomi ahli: Bangladesh, Kemboja, Republik China, Fiji, Hong Kong, India, Indonesia, Republik Islam Iran, Jepun, Republik Korea, Lao PDR, Malaysia, Mongolia, Nepal, Pakistan, Filipina, Singapura, Sri Lanka, Thailand, Turkiye dan Vietnam.
APO sedang membentuk masa depan rantau ini dengan memacu pembangunan sosioekonomi anggotanya melalui khidmat nasihat dasar negara, peranan sebagai badan pemikir, inisiatif pembangunan kapasiti institusi, dan perkongsian ilmu untuk meningkatkan produktiviti.
Teks bahasa sumber asal pengumuman ini adalah versi rasmi yang sahih. Terjemahan yang disediakan hanya sebagai penyesuaian sahaja, dan hendaklah di silang-rujuk dengan teks bahasa sumber, yang satu-satunya versi teks dengan kesan undang-undang.
Galeri Multimedia/Foto Sedia Ada:
https://www.businesswire.com/news/home/20251120954778/en
Hubungi
Untuk maklumat lanjut, hubungi Unit Maklumat Digital APO: pr@apo-tokyo.org.
Laman web: https://www.apo-tokyo.org
Sumber: Asian Productivity Organization
--BERNAMA