Pejabat CRM Pulau Pinang Baharu Memacu Pertumbuhan Penyelidikan Klinikal yang Ditaja di Malaysia

Selasa 25/11/2025

Table
Menteri Kesihatan bersama kepimpinan CRM, pasukan Johnson & Johnson (J&J) dan penyelaras kajian yang menerima Sijil Penghargaan J&J di Pejabat Operasi CRM Pulau Pinang yang baharu dilancarkan


GEORGE TOWN, Pulau Pinang, 25 Nov (Bernama)  -- Clinical Research Malaysia (CRM) telah melancarkan pejabat operasinya di Pulau Pinang semalam, yang telah dirasmikan oleh Menteri Kesihatan dan Pengerusi CRM, YB Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. Perkembangan ini menandakan langkah penting dalam mengukuhkan kapasiti penyelidikan klinikal Malaysia dan menyokong peningkatan bilangan penyelidikan klinikal di wilayah utara. Dalam tempoh tiga tahun ini, sebanyak 723 kajian klinikal yang dibiayai oleh industri telah direkodkan di dalam negara, sekali gus menjana RM665 juta dalam Pendapatan Negara Kasar serta mewujudkan lebih 3,000 pekerjaan mahir dalam penyelidikan klinikal.

Pejabat baharu di Pulau Pinang akan berfungsi sebagai pangkalan bagi 24 kakitangan CRM yang berdedikasi dalam menyokong kajian klinikal yang ditaja di Hospital Pulau Pinang—tapak kajian paling aktif di negeri ini, di mana 80% daripada kajian klinikal yang ditaja dijalankan. Sebahagian besar penyelidikan di hospital ini memberi tumpuan kepada terapi kanser terkini, menawarkan akses awal kepada rawatan inovatif untuk pesakit yang memerlukannya. Pulau Pinang juga merupakan penyumbang utama kepada landskap penyelidikan klinikal Malaysia, dengan satu daripada empat kajian klinikal yang ditaja di seluruh negara dijalankan di negeri ini.

Sebelum program perasmian, Dr Dzulkefly mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengarah CRM, yang menonjolkan trajektori kukuh Malaysia dalam penyelidikan klinikal, termasuk inisiatif strategik yang berterusan untuk menarik lebih banyak kajian global ke rantau ini. 

 “Saya  berbangga dengan pengaruh CRM di rantau Asia Tenggara yang semakin meningkat, terutamanya melalui inisiatif seperti Persidangan CRM Trial Connect dan kepimpinan organisasi dalam meletakkan penyelidikan klinikal sebagai pemangkin kepada kemajuan ekonomi dan saintifik ASEAN,” kata Dr Dzulkefly. “Usaha ini meningkatkan kedudukan Malaysia dan mengukuhkan keupayaan kami untuk membentuk masa depan penyelidikan klinikal di Asia Tenggara.” 

Program pada hari sama turut menyaksikan pengiktirafan kecemerlangan dalam kalangan warga kerja CRM, dengan enam penyelaras kajian menerima Sijil Penghargaan Johnson & Johnson atas prestasi cemerlang mereka dalam pelaksanaan penyelidikan klinikal berkualiti tinggi. 

Dengan Pulau Pinang muncul sebagai hab utama untuk penyelidikan terapeutik yang pelbagai, Pejabat CRM Pulau Pinang yang baharu akan mengukuhkan lagi sokongan tapak, memperdalam penglibatan doktor dalam kajian klinikal dan meluaskan laluan kerjaya penyelidikan klinikal di Malaysia. 
 
Mengenai Clinical Research Malaysia (CRM)  

Clinical Research Malaysia (CRM) adalah Organisasi Pengurusan Penyelidikan Dipercayai Global yang ditubuhkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2012. Organisasi ini mengutarakan prinsip Kemanusiaan, Kestabilan, dan Kemampanan dalam mengutamakan penyelesaian kajian klinikal global dan membolehkan ekosistem penyelidikan klinikal berkembang maju di negara ini. CRM pada asasnya bertujuan untuk memupuk penyelidikan klinikal yang menangani keperluan pesakit yang belum dapat dipenuhi oleh ubat-ubatan sedia ada, dan memajukan natijah kesihatan di Malaysia.     

CRM memastikan kajian klinikal tajaan dijalankan dengan kepantasan, keandalan dan mutu (SpeedReliability and Quality) dengan mengutamakan kecemerlangan operasi, serta kerjasama dengan pihak berkepentingan dalam menyediakan perkhidmatan sokongan penyelidikan klinikal yang menyeluruh. Seluruh CRM berfungsi berlandaskan nilai teras dan kod tatalaku yang berpandukan perakuan seperti ISO 9001:2015 (Sistem Pengurusan Kualiti) dan ISO 37001:2016 (Sistem Pengurusan Anti-Rasuah) dan peraturan kawal selia antarabangsa. Kekuatan CRM berdiri sepenuhnya dengan junjungan warganya yang berkongsi visi untuk menjadikan Malaysia sebagai hab penyelidikan klinikal pilihan di rantau Asia. https://clinicalresearch.my 

Sumber: Clinical Research Malaysia (CRM) 

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:  
Nama: Siti Nazatul Tokshim
Pegawai Eksekutif Komunikasi Korporat
Tel: +6019-784 2080 / +603-7931 5566 (ext. 123)
E-mel: siti.nazatul@clinicalresearch.my

--BERNAMA​



 

+