MALAYSIA PERKUKUH KEDUDUKAN FRANCAIS GLOBAL: MISI DAGANGAN STRATEGIK KE DUBAI LONJAK PELABURAN DAN AKSES PASARAN TIMUR TENGAH

Khamis 27/11/2025

Table
Encik Adila Sabri Muhammad, Setiausaha Bahagian, Bahagian Pembangunan Francais dan Vendor, KUSKOP berucap di Majlis Perasmian program Misi Perdagangan Khas ke Dubai.
 
KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), dengan kerjasama Persatuan Francais Malaysia (MFA), telah melaksanakan program Special Business Matching (SBM) sempena Misi Perdagangan Khas di Queen Elizabeth 2, Dubai, Emiriah Arab Bersatu. Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha strategik kerajaan untuk memperkukuh kehadiran francais Malaysia di pasaran global.
 
Misi ini menetapkan sasaran nilai potensi jualan mencecah RM20 juta, merangkumi rundingan pelaburan, pembukaan cawangan baharu dan peluasan rangkaian francais Malaysia di pasaran Timur Tengah. Sasaran ini dijangka dicapai melalui sesi padanan perniagaan berfokus serta penyertaan jenama francais tempatan berprestasi tinggi.
 
Delegasi yang diketuai oleh KUSKOP bersama MFA menghimpunkan jenama francais Malaysia yang berpotensi besar untuk berkembang di peringkat antarabangsa, termasuk Bonda Kiddo, Global Art, Little Caliphs, Brainy Bunch, FTW Racing dan US Pizza. Penyertaan ini membuka peluang kepada syarikat terlibat untuk meneroka pelaburan baharu melalui hubungan strategik dengan rakan industri serta pelabur yang telah dikenal pasti oleh MFA.
 
Dubai, sebagai hab perdagangan dan pelaburan global, menyediakan kedudukan strategik bagi francais Malaysia memperluas operasi dan memanfaatkan akses pasaran yang merangkumi Asia, Eropah dan Afrika. MFA turut memainkan peranan penting dengan menyediakan senarai potensi pelabur (pre-identified leads) bagi memastikan proses padanan perniagaan yang lebih terarah, berkualiti dan berimpak tinggi.
 
Delegasi turut mengadakan sesi libat urus industri bersama Persatuan Francais Emirates, Dewan Perniagaan Dubai dan rakan strategik utama lain. Perbincangan memberi tumpuan kepada trend pertumbuhan industri francais, peluang kerjasama jangka panjang serta potensi penembusan lebih meluas jenama Malaysia ke pasaran Timur Tengah.

Penganjuran misi ini dijangka mewujudkan kesan pengganda ekonomi yang signifikan melalui peningkatan potensi pelaburan langsung; pengembangan rantaian bekalan industri francais; pewujudan peluang pekerjaan bernilai tinggi; pemindahan pengetahuan dan teknologi serta peningkatan keterlihatan global jenama Malaysia di rantau MENA (Timur Tengah dan Afrika Utara).
 
Pelaksanaan siri misi ini membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh kapasiti eksport dan daya saing syarikat tempatan di peringkat global, selaras dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan Dasar Francais Negara 2030 (DFN2030).
 
MFA turut memaklumkan bahawa program padanan perniagaan dan misi perdagangan antarabangsa akan diteruskan pada tahun 2026 dengan pendekatan lebih strategik dan berfokus kepada pasaran berkeupayaan tinggi, bagi mempertingkat keberhasilan industri francais negara.
 
KUSKOP dan MFA kekal komited untuk melaksanakan program berimpak tinggi dalam memperkukuh ekosistem francais negara dan merealisasikan aspirasi menjadikan Malaysia sebagai hab francais serantau menjelang 2030.
 
KEMENTERIAN PEMBANGUNAN USAHAWAN DAN KOPERASI
26 November 2025 

SUMBER: Persatuan Francais Malaysia (MFA)​

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: 
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi
Emel: ukk@kuskop.gov.my 

--BERNAMA 
+