AIRASIA MEMBENARKAN PRAMUGARI BERHIJAB MULAI TAHUN HADAPAN

Selasa 09/12/2025

IKIM Menyambut Baik Dasar Baharu yang Menghormati Hak Beragama dan Martabat Pekerja Wanita
 
KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menyambut baik keputusan AirAsia untuk membenarkan para pramugari Muslimah berhijab bermula tahun hadapan. IKIM melihat langkah ini sebagai perkembangan positif yang selaras dengan prinsip kebebasan beragama, keadilan sosial, dan penghormatan terhadap identiti serta maruah wanita Muslim dalam sektor pekerjaan. Pendekatan al-Tadarruj dalam ijtihad kontemporari, iaitu pendekatan perubahan berperingkat akhirnya berjaya mengubah polisi yang sekian lama berkuatkuasa.
 
Keputusan ini mencerminkan kesedaran industri terhadap keperluan mewujudkan persekitaran kerja yang lebih inklusif, selamat dan menghormati pilihan serta pegangan agama para pekerja. Ia juga menunjukkan bahawa syarikat penerbangan moden mampu menyeimbangkan profesionalisme, kepelbagaian budaya dan kehendak operasi tanpa menjejaskan mutu perkhidmatan.
 
IKIM mengiktiraf inisiatif AirAsia ini sebagai satu model amalan terbaik (best practice) yang boleh dijadikan contoh kepada organisasi korporat lain dalam usaha menegakkan nilai harmoni, saling menghormati, dan keserasian antara tuntutan agama dan keperluan industri. Langkah ini turut memperkukuh imej Malaysia sebagai sebuah negara majmuk yang meraikan kepelbagaian dalam kerangka kehormatan dan integriti kemanusiaan.
 
IKIM menyokong penuh dasar-dasar tempat kerja yang menghormati hak berpakaian patuh Syariah, selari dengan prinsip maqāṣid Syariah dalam menjaga maruah (ḥifẓ al-‘ird), kebebasan beragama serta kesejahteraan pekerja. IKIM percaya persekitaran kerja yang inklusif dan sensitif kepada nilai agama akan memberi kesan positif kepada moral pekerja, reputasi organisasi, dan keharmonian negara.
 
IKIM akan terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan dalam mempromosikan nilai harmoni, kefahaman antara budaya, serta pengukuhan piawaian etika dan Syariah dalam sektor pekerjaan dan perkhidmatan negara.
 
Sekian, terima kasih.
 
Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil
Ketua Pengarah
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
 
8 Disember 2025 | 17 Jamadilakhir 1447H

SUMBER: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: 
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT IKIM
Nama: Pn. Hajah Nik Hasnah binti Ismail
Tel: 016-219 5345
E-mel: nikhasnah@ikim.gov.my

Nama: En. Sharuzi bin Ismail
Tel: 010-4026 6200
E-mel: jie@ikim.gov.my

--BERNAMA
+