VM2026 DILANCARKAN: MALAYSIA MENYAMBUT MESRA PELAWAT DI SELURUH NEGARA

Jumaat 02/01/2026

KUALA LUMPUR, 2 Jan (Bernama) -- Tourism Malaysia menyambut ketibaan tahun baharu dengan penganjuran sambutan khas di pintu masuk antarabangsa dan hab pengangkutan utama negara bagi mengalu- alukan ketibaan pelawat antarabangsa bersempena pelancaran rasmi kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 atau Visit Malaysia 2026 (VM2026).
 
YB Dato Sri Tiong King Sing, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya turut hadir memeriahkan majlis sambutan yang berlangsung di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), salah satu lokasi utama bagi inisiatif pembukaan kempen ini. Sambutan serentak turut diadakan di 55 pintu masuk utama dan lokasi terpilih di kesemua 13 negeri di Malaysia.
 
Visit Malaysia 2026 (VM2026) bukan sekadar sebuah kempen pelancongan, sebaliknya merupakan satu gerakan nasional yang mencerminkan semangat perpaduan, keharmonian, kemesraan serta kepelbagaian kaum dan budaya di negara kita. Sambutan ketibaan pelawat pada hari pertama tahun 2026 melambangkan komitmen Malaysia dalam menawarkan pengalaman pelancongan yang inklusif, kreatif dan mesra pengunjung sepanjang tahun,” kata YB Dato Sri Tiong King Sing.
 
Penganjuran sambutan peringkat nasional ini direalisasikan menerusi kerjasama erat antara kerajaan negeri, syarikat penerbangan, pihak berkuasa lapangan terbang, penggiat industri pelancongan dan rakan strategik berkaitan. Sumbangan yang disalurkan merangkumi sokongan logistik, penyediaan lokasi, serta penganjuran bersama rakan strategik dan penaja seperti BOH, D&D Beauty House Kuala Lumpur, DSR Taiko Berhad, Express Rail Link Sdn. Bhd. (ERL), Gamuda Land, Grab Malaysia, Guardian, JINS Health Group, Ladang Sari International, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), MAMEE, MITEC, Oriental Coffee, ParagonCorp MY, Photobook Charm, Seri Spa, Syarikat Permainan Malaysia Sdn. Bhd., Trans Eco-Farm dan lain-lain. Penajaan dalam bentuk baucar, produk makanan dan minuman, cenderamata serta diskaun pusat tarikan ini telah menambah nilai kepada pengalaman ketibaan pelawat, sekali gus melambangkan kesiapsiagaan Malaysia dalam menyambut kunjungan pelancong dari seluruh dunia.
 
Bagi memeriahkan acara sambutan, ketibaan pelawat terawal di lokasi terpilih disambut dengan pelbagai persembahan kebudayaan Malaysia termasuk persembahan pemuzik jalanan dan persembahan kontemporari yang menampilkan elemen warisan negara di samping penampilan maskot rasmi VM2026, Wira dan Manja. Para pelawat turut menerima cenderamata bertemakan VM2026, termasuk rantai kunci eksklusif maskot kempen menjadikan percutian di Malaysia sempena VM2026 satu pengalaman unik dan sukar dilupakan.

Kalendar acara VM2026 turut diperkenal yang menampilkan lebih 300 program dan acara sepanjang tahun merangkumi elemen seni dan budaya, warisan serta kepelbagaian kaum melalui sambutan dan tradisi perayaan di Malaysia. Antara acara utama yang diketengahkan ialah VM2026 Chinese New Year Festival, VM2026 Aidilfitri Festival, VM2026 Deepavali Festival, VM2026 Christmas Fest dan keunikan perayaan tradisi tempatan seperti Pesta Kaamatan (Tadau Kaamatan) dan Pesta Gawai.
 
Menerusi kempen VM2026, Malaysia menyasarkan untuk menarik 43 juta pelawat antarabangsa pada tahun 2026, selari dengan usaha berterusan memperkukuh sektor pelancongan sebagai salah satu pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara. Momentum positif ini diperkukuh oleh prestasi ketibaan pelawat antarabangsa yang memberangsangkan dari Januari hingga November 2025 dengan jumlah 38.3 juta pelawat antarabangsa. Berteraskan lagu tema Surreal Experiences, kempen VM2026 akan menampilkan rangkaian program yang meriah sepanjang tahun merangkumi festival, acara kebudayaan, pameran dan sambutan komuniti yang direka khas bagi memukau serta menarik pelawat dari seluruh dunia.
 
Memanfaatkan potensi Malaysia sebagai destinasi pelancongan unggul, VM2026 dijangka mampu meningkatkan ketibaan pelawat, menjana peluang pekerjaan, serta memperkukuh imej negara di peringkat antarabangsa. Selain itu, kempen ini juga akan memberi manfaat kepada perkembangan ekonomi komuniti setempat sambil menyokong kemajuan pelbagai sektor berkaitan termasuk pengangkutan, peruncitan, kraftangan serta industri kecil dan sederhana (IKS) yang lain.
 
Tourism Malaysia

Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia giat memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam industri pelancongan antarabangsa.

Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) menekankan komitmen Malaysia terhadap pembangunan pelancongan mampan, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDGs). Kempen ini bertujuan untuk mengetengahkan kepelbagaian tarikan semula jadi, kekayaan warisan budaya, serta tawaran pelancongan negara yang dinamik, di samping memacu pertumbuhan inklusif dan nilai jangka panjang buat komuniti setempat serta pemain industri.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web Tourism Malaysia di www.tourism.gov.my serta akaun media sosial rasmi di Facebook, Instagram, X, YouTube, dan TikTok. 


SUMBER: Tourism Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Zurina Abdul Samad
Timbalan Pengarah Kanan
Sekretariat Visit Malaysia 2026
E-mel: zurina@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8702

Nama: Mohd Akbal Setia
Pengarah Kanan
Bahagian Pengiklanan & Digital Ketua Sekretariat Visit Malaysia 2026
E-mel: akbalsetia@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8000 

Nama: Norshariza Mohd Saad
Timbalan Pengarah
Bahagian Komunikasi Korporat
E-mel: norshariza@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8775 

--BERNAMA

 
+