ISU BERKAITAN PENGLIBATAN PROGRAM “GLAMPING WITH PRIDE”

Isnin 12/01/2026


KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) -- Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) mengambil maklum berhubung penganjuran program “Glamping With Pride” oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berasaskan komuniti lelaki gay, biseksual dan lelaki lain yang melakukan hubungan sejenis di Malaysia. Program tersebut dilaporkan memberi tumpuan kepada aspek kesihatan dan sokongan komuniti, khususnya berkaitan isu HIV.

IKIM berpandangan bahawa isu ini perlu ditangani dengan pendekatan berasaskan ilmu, kefahaman dan hikmah, selaras dengan prinsip Islam yang menyeru kepada kasih sayang, bimbingan dan pemulihan. Islam menolak sebarang bentuk perlakuan yang bercanggah dengan fitrah manusia dan hukum syarak, namun dalam masa yang sama menekankan pendekatan dakwah yang berhikmah serta pendidikan yang membina kesedaran moral. Dalam hal ini, IKIM menegaskan bahawa sebarang usaha yang menormalisasikan gaya hidup yang bertentangan dengan ajaran Islam tidak wajar disokong. Walau bagaimanapun setiap isu sosial hendaklah ditangani dengan kebijaksanaan dan empati, mengambil kira dimensi kesihatan awam, kesejahteraan mental serta tanggungjawab sosial yang berpaksikan nilai-nilai Islam.

Dalam konteks negara Malaysia yang berbilang kaum dan agama, IKIM menghormati hak asasi individu seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, namun setiap hak perlu diseimbangkan dengan tanggungjawab moral dan nilai-nilai Islam yang menjadi tunjang kepada keharmonian masyarakat dan pembentukan akhlak bangsa.

IKIM berpandangan bahawa penyelesaian jangka panjang terhadap isu ini perlu berasaskan pendidikan nilai, pengukuhan institusi keluarga serta kerjasama erat antara agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak media dan masyarakat. Sehubungan itu, IKIM bersedia untuk menjadi rakan strategik dalam pelaksanaan program pendidikan, wacana dan penyelidikan yang memperkukuh kefahaman Islam dalam konteks kemanusiaan, kesihatan dan kesejahteraan sosial, selaras dengan prinsip rahmah, hikmah dan maqasid syariah.

Prof. Madya Dato' Dr. Mohamed Azam bin Mohamed Adil
Ketua Pengarah
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

10 Januari 2026 | 20 Rajab 1447H

SUMBER: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Hajah Nik Hasnah binti Ismail
Ketua Unit Komunikasi Korporat 
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
Tel:03-6204 6329
Faks:03-6201 4189
Email : nikhasnah@ikim.gov.my 

--BERNAMA
 
+