Selasa 20/01/2026

Pengerusi MATRADE, Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican
KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Prestasi perdagangan Malaysia mencatat satu pencapaian bersejarah pada tahun 2025 apabila secara rasmi melepasi paras RM3 trilion buat pertama kali, berdasarkan statistik rasmi yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). Jumlah perdagangan global Malaysia mencecah RM3.061 trilion, meningkat sebanyak 6.3% berbanding tahun 2024. Pencapaian ini membuktikan daya tahan dan daya saing global Malaysia yang kekal kukuh meskipun berdepan landskap geopolitik yang mencabar serta penstrukturan semula rantaian bekalan global.
SETAHUN PENUH PENCAPAIAN REKOD
Prestasi tahun 2025 merekodkan nilai tertinggi sepanjang sejarah merangkumi semua tonggak utama perdagangan:
Jumlah Eksport: Mencapai paras tertinggi sebanyak RM1.607 trilion, meningkat 6.5% dan mengatasi rekod terdahulu RM1.550 trilion yang dicatatkan pada tahun 2022. Ini merupakan tahun kelima berturut-turut eksport melepasi paras RM1 trilion. Pencapaian ini dipacu oleh penghantaran tertinggi ke rakan dagang utama iaitu ASEAN (↑4.5% kepada RM457.62 bilion), Amerika Syarikat (AS) (↑17.2% kepada RM233.08 bilion), Taiwan (↑31.2% kepada RM87.95 bilion) dan Kesatuan Eropah (EU) (↑11.5% kepada RM129.17 bilion), sekali gus menyerlahkan peranan kritikal Malaysia dalam rantaian bekalan teknologi maju global.
Jumlah Import: Bagi tahun keempat berturut-turut, import melepasi paras RM1 trilion dengan mencatatkan RM1.455 trilion, meningkat 6.2%. Import utama terdiri daripada barangan perantaraan dan barangan modal dengan gabungan sumbangan sebanyak 64.2%, terutamanya bekalan industri diproses, alat ganti dan aksesori barangan modal bukan pengangkutan serta peralatan pengangkutan industri. Import ini secara langsung menyokong industri berorientasikan eksport, khususnya dalam sektor bernilai tinggi dan berintensif teknologi bagi memenuhi permintaan global serta mengekalkan pertumbuhan eksport.
Imbangan Perdagangan: Malaysia mencatat lebihan perdagangan sebanyak RM151.80 bilion, meneruskan rekod lebihan perdagangan selama 28 tahun berturut-turut sejak 1998. Ini adalah peningkatan sebanyak 9.2% berbanding RM139 bilion pada tahun 2024, hampir mencapai pertumbuhan dua digit.
DIPLOMASI EKONOMI STRATEGIK BAGI MENYOKONG PENGEMBANGAN PASARAN
Perdagangan dengan rakan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) melepasi RM2 trilion buat pertama kali, meningkat 4% berbanding 2024 dan merangkumi 65.5% daripada jumlah perdagangan. Sementara itu, eksport ke rakan FTA meningkat untuk tahun kedua berturut-turut sebanyak 3.0% kepada RM1.067 trilion. Negara-negara yang mencatat pertumbuhan eksport termasuk Hong Kong SAR (↑8.4% kepada RM96.23 bilion), Mexico (↑59.7% kepada RM30.12 bilion), Kanada (↑2.1% kepada RM6.65 bilion) dan Chile (↑15.3% kepada RM832.2 juta).
Strategi kepelbagaian eksport Malaysia yang dilaksanakan sejak tahun 2022 telah membawa kepada peningkatan ketara eksport ke pasaran-pasaran sedang pesat membangun seperti Kenya (↑9.9% tahun ke tahun kepada RM6.06 bilion), Nigeria (↑13.6% kepada RM2.85 bilion), Tanzania (↑38.8% kepada RM2.02 bilion), Togo (↑27.6% kepada RM1.82 bilion), Yemen (↑49.7% kepada RM937.0 juta), Maghribi (↑3.8% kepada RM497.7 juta), Algeria (↑15.3% kepada RM636.9 juta), Uzbekistan (↑27.0% kepada RM463.4 juta), Angola (↑18.9% kepada RM1.06 bilion), Puerto Rico (↑10.0% kepada RM143.0 juta) dan Kyrgyzstan (↑225.8% kepada RM111.9 juta), dengan beberapa pasaran mencatatkan nilai eksport tertinggi pernah direkodkan.
Antara eksport utama negara merangkumi minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit, produk petroleum, produk kayu serta produk elektrik dan elektronik (E&E).
PENGHARGAAN KEPADA KERAJAAN MADANI
Mengulas pencapaian ini, Pengerusi MATRADE, Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican, menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan MADANI.
“Pertumbuhan kukuh pada tahun 2025, khususnya di pasaran sedang pesat membangun dan dalam kalangan rakan FTA, telah diperkukuhkan melalui lawatan rasmi peringkat tinggi oleh YAB Perdana Menteri ke rantau seperti Afrika, Amerika Latin dan Asia Tengah yang telah membuka laluan kepada hubungan ekonomi yang lebih mendalam serta peluasan akses pasaran,” katanya.
“Pencapaian bersejarah ini mencerminkan kepimpinan mantap Kerajaan MADANI serta komitmen tidak berbelah bahagi semua pihak berkepentingan. Sokongan dasar menerusi Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030) telah memainkan peranan penting dalam memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan global bernilai tinggi dan berteraskan teknologi.”
Dato’ Seri Reezal Merican turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) yang baharu dilantik, YB Datuk Seri Johari Abdul Ghani, yang telah mengetuai beberapa misi perdagangan yang telah berjaya mempromosi dan memperluas eksport komoditi utama negara, khususnya minyak sawit, ke pasaran utama dan baharu semasa memegang jawatan sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi. Eksport minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit yang merangkumi 7.8% daripada jumlah eksport Malaysia meningkat 9.2% kepada RM124.86 bilion, didorong oleh harga eksport yang lebih tinggi serta pengembangan ke pasaran utama dan baharu seperti India, China, Turkiye, Afghanistan, Togo, Tanzania, Kenya, Nigeria, Mozambique and Yemen.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Encik Abu Bakar Yusof,
“Pada masa hadapan, MATRADE kekal komited dalam peranannya untuk memudah cara dan menyokong PKS serta komuniti perniagaan dalam menangani cabaran global. Kami akan terus mempergiatkan program promosi dan pembangunan eksport bagi memastikan produk dan perkhidmatan Malaysia berjaya menembusi pasaran eksport baharu. Fokus kami adalah untuk memperkasa pengeksport tempatan, khususnya PKS, dalam mengharungi penstrukturan semula rantaian bekalan dan risiko perlindungan perdagangan dengan memanfaatkan rangkaian global serta Perjanjian Perdagangan Bebas yang dimiliki Malaysia.”
“Pencapaian cemerlang tahun 2025 ini juga adalah hasil pendekatan ‘keseluruhan kerajaan’ di bawah JK-X yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) serta disokong oleh kementerian dan agensi berkaitan, yang telah memperkemas pelaksanaan aktiviti promosi perdagangan di luar negara melalui kerjasama dan perkongsian yang lebih erat,” tambah beliau.
Mengenai MATRADE
Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) telah ditubuhkan di bawah Akta MATRADE 1992 pada 1 Mac 1993 sebagai agensi promosi perdagangan nasional di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Misi MATRADE untuk mempromosikan eksport Malaysia yang membolehkan syarikat tempatan berada di barisan hadapan pasaran global. MATRADE terus meletakkan syarikat Malaysia yang berpotensi bertaraf antarabangsa dan menjadikan frasa 'Made In Malaysia' sinonim dengan maksud berkualiti tinggi dan boleh dipercayai.
SUMBER: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE)
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Puan Aninawati Saleh
Ketua Komunikasi Korporat
Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE)
Tel.: 03 - 6207 7826
Emel: communication@matrade.gov.my/ aninawati@matrade.gov.my
--BERNAMA