ULAANBAATAR, Mongolia, 29 Jan (Bernama-GLOBE NEWSWIRE) -- Kerajaan Mongolia telah menerima
National Productivity Master Plan Mongolia 2026-2035 di pejabat Timbalan Perdana Menteri, Istana Kerajaan, Ulaanbaatar, pada 26 Januari 2026. Pelan induk tersebut telah diserahkan secara rasmi kepada Timbalan Perdana Menteri Mongolia, YBhg. Gankhuyag Khassuuri, oleh Setiausaha Agung Asian Productivity Organization (APO), Dr. Indra Pradana Singawinata, dalam majlis rasmi yang dianjurkan bersama oleh Kementerian Keluarga, Buruh dan Perlindungan Sosial, Mongolian Productivity Organization serta APO.
Pelan induk ini menyediakan hala tuju nasional bagi memperkukuh daya saing serta meningkatkan ketahanan negara, dengan menjadikan produktiviti sebagai agenda utama yang dirancang dan boleh diukur. Pelan ini menyampaikan mesej asas yang jelas: Jika Mongolia terus berada pada trajektori “business-as-usual” tanpa melaksanakan reformasi produktiviti yang signifikan, pertumbuhan KDNK tahunan dijangka menurun daripada 6.2% (2000–2024) kepada 4.2% bagi tempoh 2026–2035 dan seterusnya kepada 2.8% antara 2036 hingga 2050. Penurunan ini didorong terutamanya oleh kemerosotan sumbangan produktiviti buruh, yang dijangka menurun daripada 4.0% kepada 1.4% dalam tempoh yang sama.
Pelan Induk ini bukan sekadar sebuah laporan. “Ia merupakan instrumen strategik dalam tadbir urus negara,” kata Setiausaha Agung, Dr. Indra. Selain itu, beliau menegaskan bahawa produktiviti, apabila dijadikan agenda nasional yang dirancang secara strategik, berupaya meningkatkan taraf hidup, memperkukuh daya saing serta memperluas peluang secara serentak.
Dalam ucapannya, Timbalan Perdana Menteri Mongolia, Gankhuyag, menegaskan semula objektif pembangunan negara yang berasaskan produktiviti, termasuk usaha untuk “meningkatkan produktiviti buruh dan pendapatan rakyat Mongolia” serta mengekalkan pertumbuhan stabil “melebihi 6 peratus” melalui pemprosesan pembuatan yang lebih tinggi, produktiviti yang dipertingkat serta kepelbagaian ekonomi. Beliau turut menekankan kepentingan reformasi produktiviti sektor awam di bawah New Revival Policy. Reformasi ini merangkumi pendigitalan perkhidmatan awam, pengurangan birokrasi, penyeragaman proses pemeriksaan serta penstrukturan semula permit khas. Beliau menegaskan bahawa “produktiviti bukan sekadar penunjuk ekonomi” tetapi suatu konsep yang memberi kesan langsung terhadap kualiti perkhidmatan awam dan mutu kehidupan rakyat.
Menteri Keluarga, Buruh dan Perlindungan Sosial, Aubakir Telukhan, menekankan hala tuju dasar nasional Mongolia untuk memacu “Productivity Revolution,” mengurangkan pengangguran, serta meningkatkan produktiviti buruh dan pendapatan secara berterusan. Beliau menekankan bahawa reformasi ini perlu diselaraskan dengan perubahan pesat persekitaran global dalam teknologi, perdagangan dan dasar iklim. Menyerlahkan skala cabaran yang dihadapi, beliau menyatakan: “Di Mongolia, purata produktiviti buruh ialah USD11.300, iaitu 3.6 kali lebih rendah berbanding purata global.”
Bagi menangani cabaran tersebut, pelan induk ini distrukturkan berdasarkan lima teras strategik:
1. Memperluas akses pasaran dan prospek ekonomi
2. Memacu penerapan teknologi dan pendigitalan
3. Meningkatkan kuantiti dan kualiti modal insan
4. Mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif dan cekap
5. Membentuk keterangkuman dan ekuiti
Pelan ini turut mengenal pasti lapan sektor keutamaan bagi pemecutan produktiviti yang lebih fokus: pertanian, perhutanan dan perikanan; industri pemprosesan (pembuatan); perdagangan borong dan runcit (termasuk pembaikan kenderaan); perkhidmatan pendidikan; penginapan dan perkhidmatan makanan; kesihatan manusia dan aktiviti kerja sosial; bekalan air serta pembetungan, pengurusan sisa dan pemulihan; serta pengangkutan dan penyimpanan.
Setiausaha Agung, Dr. Indra merakamkan penghargaan beliau kepada Kerajaan Mongolia, Mongolian Productivity Organization, kementerian dan pihak berkepentingan atas kepimpinan serta sumbangan substantif mereka. Beliau turut menegaskan komitmen berterusan APO untuk merealisasikan National Productivity Master Plan Mongolia dengan menghasilkan pencapaian yang boleh diukur.
Mengenai APO Asian Productivity Organization (APO) ialah sebuah organisasi antara kerajaan serantau yang ditubuhkan untuk meningkatkan produktiviti di rantau Asia-Pasifik melalui kerjasama bersama. Ia bebas daripada politik, bukan berasaskan keuntungan dan tidak mendiskriminasi. Ditubuhkan pada tahun 1961 dengan lapan ahli pengasas, APO kini merangkumi 21 ekonomi anggota: Bangladesh; Kemboja; Republik China; Fiji; Hong Kong; India; Indonesia; Republik Islam Iran; Jepun; Republik Korea; Lao PDR; Malaysia; Mongolia; Nepal; Pakistan; Filipina; Singapura; Sri Lanka; Thailand; Turkiye dan Vietnam.
APO sedang membentuk masa depan rantau ini dengan memupuk pembangunan sosioekonomi negara anggotanya melalui perkhidmatan nasihat dasar kebangsaan, berperanan sebagai badan pemikir, inisiatif pembinaan kapasiti institusi, serta perkongsian ilmu untuk meningkatkan produktiviti.
Untuk maklumat lanjut, hubungi APO Digital Information Unit:
pr@apo-tokyo.org.
Laman Web:
https://www.apo-tokyo.org Foto yang mengiringi pengumuman ini tersedia di
https://www.globenewswire.com/NewsRoom/AttachmentNg/42ba291c-06de-464d-b487-74b8445f1b0bSUMBER: Asian Productivity Organization--BERNAMA