MBI SELANGOR PACU AGENDA ESG DENGAN LAPORAN KELESTARIAN PERTAMA 2024/2025

Rabu 04/02/2026

 
Table
“YAB Dato’ Sri Amirudin Shari, Dato Menteri Besar Selangor (tengah) bersama-sama YB Dato’ Dr Haniff Zainal Abidin, Pegawai Kewangan Negeri Selangor, (kiri) dan YBhg. Dato’ Ts. Saipolyazan M. Yusop, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI Selangor (kanan) ketika pelancaran Laporan Kelestarian Pertama Kumpulan MBI Selangor 2024/2025”


PORT DICKSON, 4 Feb (Bernama) -- Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Selangor telah melancarkan Laporan Kelestarian yang pertama bagi tahun 2024/2025 sempena MBI Selangor Group Board Retreat di Port Dickson, baru-baru ini.

Pelancaran laporan ini telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Amirudin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor sambil disaksikan oleh YB Dato’ Dr Haniff Zainal Abidin, Pegawai Kewangan Negeri Selangor, dan YBhg. Dato’ Ts. Saipolyazan M. Yusop, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI Selangor.

Laporan Kelestarian edisi sulung ini merangkumi tempoh pelaporan selama 18 bulan, meliputi inisiatif kelestarian yang dilaksanakan oleh MBI Selangor dan syarikat-syarikat milikannya. Dokumen komprehensif ini mengetengahkan usaha menyeluruh Kumpulan MBI Selangor dalam tiga teras utama kelestarian iaitu, pemeliharaan alam sekitar, impak sosial, dan keteguhan tadbir urus.

Selaras dengan piawaian Global Reporting Initiative (GRI) dan 17 Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), dokumen ini turut menyokong aspirasi Rancangan Selangor Pertama (RS-1) melalui kandungan yang dibina berdasarkan 12 isu materialiti utama merangkumi empat fokus alam sekitar, lima fokus sosial, dan tiga fokus tadbir urus.

Di bawah teras alam sekitar, Kumpulan MBI Selangor melaksanakan Inventori Gas Rumah Kaca (GHG) Peringkat Kumpulan pertama dengan nilai asas 36,000 tan, di samping merekodkan pengurangan penggunaan tenaga sebanyak 4% dan penurunan intensiti pelepasan GHG sebanyak 125 tan di Bangunan Darul Ehsan, Shah Alam.

Usaha kelestarian turut diperkukuh melalui pengurangan pencetakan sebanyak 8% dan kos 3%, serta penubuhan Rizab Biodiversiti Anjung Utara Selangor (AUSBR) seluas hampir 300,000 hektar. Dalam aspek sosial, RM13.2 juta diperuntukkan untuk pendidikan dan RM41 juta bagi pembangunan komuniti, manakala 41,500 usahawan menerima sokongan melalui Platform Selangor (PLATS). Kumpulan MBI Selangor juga melaksanakan 11,404 jam latihan melalui 90 program bagi memperkukuh modal insan.

Selain itu, Kumpulan MBI Selangor terus memacu pertumbuhan ekonomi mampan melalui pembinaan 21,120 unit Rumah Idaman serta menerajui pembangunan Sabak Bernam Development Area (SABDA) seluas 101,700 hektar sebagai pemangkin pembangunan luar bandar yang mampan dan inklusif.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Dato’ Saipolyazan M. Yusop, Kumpulan MBI Selangor komited untuk memperkukuh integrasi ESG serta membangunkan keupayaan dalaman yang mantap bagi memenuhi keperluan RS-2 yang semakin mencabar. Usaha ini merangkumi langkah-langkah daya tahan iklim, penyelarasan antara entiti Negeri untuk memupuk sinergi pembangunan, serta memperkasa komuniti.

Laporan Kelestarian ini mencerminkan iltizam Kumpulan MBI Selangor untuk menjadikan agenda kelestarian sebagai pemacu penciptaan nilai jangka panjang negeri Selangor. Laporan ini akan diterbitkan di laman sesawang rasmi MBI Selangor untuk rujukan para pemegang taruh dan orang awam.

MBI Selangor:
Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) telah ditubuhkan di bawah Enakmen Menteri Besar Selangor [Enakmen No: 3 1994] pada 21 September 1994. MBI Selangor berperanan sebagai sebuah badan korporat yang telah ditubuhkan khas untuk mentadbir pengurusan aset dan pelaburan milik Kerajaan Negeri Selangor serta mewakili kerajaan negeri dalam melaksanakan aktiviti berunsur perniagaan yang di luar bidang kuasa pihak kerajaan negeri. MBI Selangor juga berperanan mempromosi dan mendokong usaha pembangunan Kerajaan Negeri Selangor di samping melunaskan kewajiban tanggungjawab sosial kepada masyarakat.  

SUMBER: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) 

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI: 
Nama: Mohd Fauzi Mohd Ghazali
Ketua Komunikasi Korporat dan Kelestarian
Tel: +012 6723632
E-mel: mohdfauzi@mbiselangor.com.my  

--BERNAMA
+