PENYERTAAN KALI PERTAMA DAN KEJAYAAN PMKS MENYUMBANG KEPADA REKOD JUALAN RM1.76 BILION DI GULFOOD 2026

Jumaat 13/02/2026

Table
Pengerusi MATRADE, Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican


KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) hari ini mengumumkan bahawa penyertaan Malaysia dalam edisi ke-31 Gulfood telah menjana rekod jualan eksport berjumlah RM1.76 bilion, melampaui sasaran awal sebanyak RM1.50 bilion. Pencapaian bersejarah ini mencatatkan peningkatan sebanyak 5.4% berbanding tahun sebelumnya.

Kejayaan Penyertaan Kali Pertama dan Syarikat Bumiputera
Kejayaan tahun ini juga dipacu oleh keupayaan dan iltizam syarikat tempatan terutamanya syarikat Perusahaan Medium, Kecil dan Sederhana (PMKS) meneroka pasaran global buat kali pertama serta pengukuhan syarikat Bumiputera.

Sebanyak 25 syarikat baharu telah membuat penampilan sulung mereka di Gulfood dengan mencatatkan nilai jualan sebanyak RM220.97 juta atau 13% daripada keseluruhan jualan eksport. Pencapaian ini menunjukkan komitmen yang tinggi daripada usahawan tempatan untuk mengembangkan sayap ke peringkat antarabangsa.

Selain itu, sejumlah 38 syarikat atau 33% penyertaan daripada keseluruhan pempamer adalah syarikat bertaraf Bumiputera yang berjaya meraih jualan sebanyak RM593.36 juta (menyumbang 34% daripada jumlah jualan keseluruhan). Ini membuktikan daya saing, kemampuan, serta ketersediaan mereka untuk bersaing secara agresif di pasaran global.

Sinergi Holistik ‘Whole-of-Government’ 
Kejayaan ini adalah hasil daripada sokongan holistik melalui kerjasama sembilan buah Kementerian dan Agensi Kerajaan di bawah platform Jawatankuasa Penyelarasan Eksport (JK-X). Penglibatan pelbagai pihak ini memastikan PMKS mendapat sokongan yang bersepadu dalam program promosi eksport luar negara:

  1. Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) 
  2. Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) 
  3. SME BANK 
  4. Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) 
  5. Majlis Amanah Rakyat (MARA) 
  6. Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) 
  7. Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM/MPIB) 
  8. Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah (MIDS) 
  9. Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA)

Pengerusi MATRADE, Dato' Seri Reezal Merican Naina Merican, mengucapkan tahniah kepada pasukan MATRADE atas kejayaan penyertaan tersebut. 

"Kejayaan ini adalah hasil daripada persiapan dan penyelarasan strategik yang memerlukan semua pihak bertindak segerak untuk mengangkat jenama Malaysia secara bersepadu. Program MATRADE yang bersasar, terutamanya menerusi padanan perniagaan (B2B) berimpak tinggi, sangat membantu PMKS dalam menghasilkan hasil eksport yang berterusan bagi merealisasikan potensi sebenar mereka. Ini selaras dengan visi MADANI untuk membina ekonomi yang lebih mampan dan inklusif bagi semua lapisan usahawan." 

Tambah beliau, “Memandangkan Gulfood merupakan program promosi eksport pertama yang dilaksanakan oleh MATRADE bagi tahun 2026, keputusan ini menjadi penanda aras bagi baki 52 program promosi yang akan dijalankan oleh MATRADE tahun ini.”

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Encik Abu Bakar Yusof “MATRADE akan terus memperkukuh kerjasama antara agensi bagi memastikan Malaysia kekal sebagai hab sumber pilihan global yang kompetitif. Perjanjian CEPA Malaysia-UAE yang berkuat kuasa pada Oktober 2025 telah memperkasa PMKS dan pengeksport kita untuk menawarkan harga yang lebih kompetitif melalui pengurangan tarif. Kami melihat kejayaan kali ini sebagai bukti bahawa program padanan perniagaan yang dirancang dengan teliti mampu membuahkan hasil yang signifikan, terutamanya bagi syarikat yang baru pertama kali menyertai pameran ini.”

Melangkah ke hadapan, MATRADE kekal komited untuk terus menyelaras penyertaan Malaysia yang lebih besar bagi memperkasa eksport makanan dan minuman (F&B) negara serta memastikan Malaysia kekal sebagai hab sumber pilihan bagi rantau Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA) bagi edisi Gulfood tahun hadapan yang dijadualkan pada 15 - 19 Mac 2027.

Mengenai MATRADE
Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) telah ditubuhkan di bawah Akta MATRADE 1992 pada 1 Mac 1993 sebagai agensi promosi perdagangan nasional di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Misi MATRADE untuk mempromosikan eksport Malaysia yang membolehkan syarikat tempatan berada di barisan hadapan pasaran global. MATRADE terus meletakkan syarikat Malaysia yang berpotensi bertaraf antarabangsa dan menjadikan frasa 'Made In Malaysia' sinonim dengan maksud berkualiti tinggi dan boleh dipercayai.

SUMBER: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI: 

Nama: Puan Aninawati Saleh
Ketua Komunikasi Korporat
Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE)
Tel.: 03 - 6207 7826
Emel: communication@matrade.gov.my/ aninawati@matrade.gov.my

--BERNAMA

 
 
 
+