Prestasi FY2025 Mencerminkan Pasaran yang Mencabar; PCG Mengutamakan Kecemerlangan Operasi dan Komersial, serta Mengekalkan Disiplin Kos

Isnin 23/02/2026

• Kadar Penggunaan Loji pada 88%
• Pendapatan sebanyak RM27.5 bilion
• EBITDA sebanyak RM1.9 bilion
• Jumlah dividen sebanyak RM560 juta  


KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG), hari ini mengumumkan keputusan kewangan bagi suku keempat (4Q 2025) dan tahun kewangan diaudit berakhir 31 Disember 2025 (FY2025). 

Pendapatan bagi tahun 2025 berjumlah RM27.5 bilion, disokong oleh jumlah jualan yang stabil merentas portfolio komoditi dan bahan kimia khusus. Walau bagaimanapun, harga produk yang lebih rendah, margin yang semakin mengecil serta lambakan bekalan berterusan, khususnya dalam pasaran Olefin & Derivatif (O&D) dan bahan kimia khusus telah menyebabkan Pendapatan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) menurun sebanyak 46% tahun ke tahun kepada RM1.9 bilion.  

Kumpulan merekodkan Kerugian Selepas Cukai (LAT) sebanyak RM2.1 bilion, terutamanya disebabkan oleh penurunan EBITDA, kemerosotan nilai aset di Perstorp, pendapatan kewangan yang lebih rendah susulan pelarasan masa pembayaran perdagangan belum bayar, serta kerugian pertukaran mata wang asing belum terealisasi daripada penilaian semula pinjaman pemegang saham kepada Pengerang Petrochemical Company Sdn. Bhd. (PPCSB).

PCG telah mengisytiharkan dividen interim sebanyak 4 sen sesaham biasa dengan pengagihan berjumlah RM320 juta kepada para pemegang saham dan memperkukuh komitmen berterusan Kumpulan dalam meningkatkan nilai kepada pemegang saham walaupun dalam persekitaran operasi yang mencabar. 

Sorotan Portfolio bagi FY2025

Sektor kimia berdepan dengan cabaran pada tahun 2025, berikutan dengan kapasiti berlebihan yang berterusan, permintaan global yang lemah serta tekanan persaingan yang meningkat di rantau AsiaPasifik berikutan kapasiti baharu di pasaran. Keadaan lebihan bekalan yang berterusan dari Asia Timur Laut dan Timur Tengah, serta perubahan dasar geo-ekonomik serta ketegangan perdagangan dan gangguan tarif terus menjejaskan akses pasaran, harga dan margin. 

Kumpulan mencatatkan kadar pengunaan loji sebanyak 88% bagi tahun ini, walaupun menghadapi kerja penyelenggaraan besar yang telah dijadualkan termasuk aktiviti pemulihan di PC Fertiliser Sabah. PCG juga berdepan gangguan pengeluaran akibat gangguan utiliti yang tidak dijadualkan di Kertih Integrated Petrochemical Complex (KIPC) pada Januari, serta gangguan stok suapan di PC Fertiliser Kedah susulan insiden Putra Heights pada April 2025.  

PCG menunjukkan daya tahan merentasi portfolio yang pelbagai, disokong oleh prestasi kukuh untuk segmen Baja & Metanol (F&M). Pencapaian ini didorong oleh permintaan urea yang stabil di India, Australia dan Amerika Latin, serta peningkatan jualan metanol melalui inisiatif perolehan strategik. 

Segmen O&D telah mencatatkan prestasi yang lebih sederhana disebabkan harga purata produk yang lebih rendah berikutan permintaan hiliran yang menurun, ketegangan geoekonomi yang berterusan serta jumlah jualan yang lebih rendah. Prestasi segmen juga dipengaruhi oleh pengukuhan Ringgit Malaysia berbanding Dolar Amerika Syarikat, kerugian pertukaran mata wang asing belum terealisasi daripada penilaian semula perdagangan belum bayar yang lebih tinggi, pendapatan kewangan yang lebih rendah susulan pelarasan masa pembayaran perdagangan belum bayar, serta susut nilai dan kos kewangan tinggi di PPCSB. 

Portfolio bahan kimia khusus turut mencatatkan prestasi yang lebih rendah berikutan keadaan pasaran yang tidak menentu, tekanan harga yang berterusan serta perbezaan serantau yang semakin ketara. Bekalan berlebihan dari rantau Asia Pasifik mengekalkan tahap persaingan sengit dan menekan harga, dengan impak yang semakin ketara susulan ketegangan perdagangan serta ketidaktentuan tarif. Prestasi portfolio turut dipengaruhi oleh jumlah jualan yang lebih rendah, terutamanya dalam unit perniagaan Pengantaraan, peningkatan perbelanjaan operasi, kemerosotan nilai aset, serta perubahan bersih pertukaran asing yang kurang menguntungkan. 

Sorotan Utama Bagi 4Q 2025  

Ringkasan kewangan berbanding tahun sebelumnya: 
 4Q 20253Q 2025
Pendapatan (RM juta)6,6006,787
EBITDA (RM juta)115497
EBITDA tidak termasuk kesan pertukaran mata wang asing369535
EBITDA Margin (%)1.77.3
(LAT)/PAT (RM juta) (730)(291)
(LAT)/PAT tidak termasuk kesan pertukaran mata wang asing(312) (217)
(LATANCI)/PATANCI (RM juta)(754)(289)
LATANCI: Kerugian Selepas Cukai dan Kepentingan Tanpa Kawalan
PATANCI: Keuntungan Selepas Cukai dan Kepentingan Tanpa Kawalan 

Kadar purata penggunaan loji Kumpulan direkodkan pada 96%, menyumbang kepada peningkatan dalam pengeluaran dan jumlah jualan bagi kimia komoditi. Pendapatan menurun sebanyak 3% kepada RM6.6 billion, dipengaruhi oleh harga jualan purata yang lebih rendah serta kesan pertukaran asing yang negatif 

Pendapatan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) menurun sebanyak 77% kepada RM115 juta, berikutan kerugian pertukaran asing yang tidak direalisasi yang lebih tinggi atas penilaian semula hutang pada PPCSB, serta kos pembaikan dan penyelenggaraan yang lebih tinggi 

Kerugian Selepas Cukai (LAT) berjumlah RM730 juta, disebabkan oleh EBITDA yang lebih rendah serta peningkatan kerugian pertukaran asing yang kurang menguntungkan susulan penilaian semula pinjaman pemegang sahan kepada PPCSB

Dividen interim kedua sebanyak 4 sen sesaham telah diisytiharkan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025. Dividen berjumlah RM320 juta yang akan dibayar pada 18 Mac 2026 menjadikan jumlah keseluruhan dividen bagi FY2025 sebanyak RM560 juta, mencerminkan komitmen berterusan PCG dalam memberikan pulangan kepada pemegang saham

Mazuin Ismail, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif PCG berkata: 

“PCG terus komited dalam memperkukuhkan asas perniagaan dan meningkatkan daya tahan operasi bagi memastikan kemampanan dan kestabilan jangka panjang. Sepanjang tahun ini, Kumpulan berhadapan dengan pelbagai cabaran luaran dan dalaman yang kompleks, yang memerlukan penyesuaian berterusan bagi memastikan prestasi dan pelaksaanan kekal mampan. Berikutan gangguan tidak dirancang yang berlaku seiring sepanjang pelaksanaan program berjadual, Kumpulan telah melaksanakan semakan operasi dan membuat keputusan untuk menangguhkan sebahagian besar aktiviti penutupan loji ke tahun ini sebagai langkah proaktif bagi memastikan kesinambungan operasi dan kelangsungan perniagaan. Walaupun menghadapi persekitaran yang mencabar, Kumpulan mengekalkan operasi yang stabil, dengan segmen O&D dan F&M yang mencatatkan kadar penggunaan loji melebihi 85%. 

Sepanjang 2025, Kumpulan turut memacu projek pertumbuhan utama, termasuk loji Isononanol (INA) di Pengerang yang kini beroperasi secara komersial, dan loji Melamin di Gurun yang telah sedia untuk beroperasi. Pencapaian ini menandakan kejayaan dalam perluasan portfolio derivatif serta mengukuhkan pencapaian nilai jangka panjang. 

Dalam portfolio bahan kimia khusus, kami terus memajukan peralihan ke arah pasaran bernilai tinggi. Pemerolehan OQ Chemicals Nederland B.V. pada Disember 2024 membolehkan kami menawarkan penyelesaian ester sintetik untuk aplikasi bendalir pengubah, dengan penghantaran pertama kepada pelanggan pada Julai 2025.  

Kumpulan mengekalkan kawalan kos yang ketat dengan mengutamakan kebolehpercayaan operasi dan melindungi kecairan, dan ini telah menjana RM574 juta melalui penciptaan nilai dan pengoptimuman kos melaluipengurusan kos yang berdisiplin, intervensi prestasi dan pengoptimuman komersial.  

Kami juga terus memperkukuh agenda kelestarian dengan meningkatkan kecekapan tenaga, mengoptimumkan proses serta mengurangkan aktiviti pembakaran gas (flaring) di seluruh operasi kami. Sepanjang tahun, kami memperluas penggunaan Sijil Tenaga Boleh Baharu berbundel serta memajukan kajian teknikal dalam laluan penyahkarbonan lain, selaras dengan kesiapsiagaan aset dan penciptaan nilai jangka panjang.” 

Prospek Masa Depan

Persekitaran operasi bagi tahun 2026 dijangka terus mencabar, selaras dengan sektor kimia global yang menghadapi ketidakpastian ekonomi, ketidaktentuan harga minyak, perkembangan pasaran yang pesat, serta perningkatan tekanan geo-ekonomik dan perdagangan. Kumpulan menjangkakan pasaran O&D akan terus menghadapi tekanan berikutan penambahan kapasiti baharu di China serta permintaan yang perlahan. Sementara itu, permintaan agrikultur yang kukuh di India dan Australia terus menyokong penggunaan baja, manakala bekalan metanol dijangka kekal terhad berikutan aktiviti penutupan loji berjadual di Asia Tenggara. Kumpulan turut kekal berwaspada pada segmen bahan kimia khusus, memandangkan permintaan dalam sektor pembinaan dan automotif masih perlahan, manakala pertumbuhan dalam sektor berkaitan pengguna juga sederhana. 

PCG akan terus memperkukuh daya tahan portfolionya melalui pengoptimuman aset, kecekapan kos dan operasi. Perniagaan teras syarikat akan terus menjadi keutamaan, disokong oleh keselamatan dan kebolehpercayaan operasi yang kukuh, peruntukan modal yang berdisiplin, serta kecekapan berterusan bagi mengekalkan margin dan aliran tunai sepanjang kitaran pasaran.

Mengenai PETRONAS Chemicals Group Berhad 

PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) merupakan pengeluar bahan kimia bersepadu terkemuka di Malaysia dan antara yang terbesar di Asia Tenggara. Syarikat ini mengendalikan beberapa tapak pengeluaran bertaraf dunia di Malaysia, Asia Pasifik, Eropah dan Amerika Utara, dengan jumlah kapasiti pengeluaran gabungan sebanyak 16.8 juta tan metrik setahun (mtpa). PCG terlibat terutamanya dalam aktiviti pembuatan, pemasaran dan penjualan rangkaian produk kimia yang pelbagai, termasuk olefin, polimer, baja, metanol, bahan kimia asas lain, produk derivatif serta bahan kimia khusus,  

Disenaraikan di Bursa Malaysia dengan empat dekad pengalaman dalam industri bahan kimia, PCG telah ditubuhkan sebagai sebahagian daripada Kumpulan PETRONAS untuk memaksimumkan nilai daripada sumber gas asli Malaysia. 

PCG komited untuk memastikan amalan perniagaannya selaras dengan piawaian yang diiktiraf di peringkat global bagi amalan Ekonomi, Alam Sekitar, Sosial & Tadbir Urus (EESG). PCG kini disenaraikan dalam Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia (F4GBM) dan Dow Jones Best-in-Class Indices. 

Maklumat lanjut berkenaan PCG boleh didapati di www.petronaschemicals.com 

SUMBER: PETRONAS

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: 
Nama: Yogeswari Thangavelu
Corporate Communications Department
PETRONAS CHEMICALS GROUP BERHAD (PCG)
Tel: (6) 017 2000919
Emel: yogeswari.thangavel@petronas.com

--BERNAMA 
+