PENYERTAAN MALAYSIA DALAM SESI RUNDINGAN INTERGOVERNMENTAL WORKING GROUP KE-6 (IGWG6)

Selasa 24/03/2026


KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama agensi-agensi Kerajaan berkaitan, termasuk Jabatan Peguam Negara (AGC), akan mewakili Malaysia dalam sesi rundingan Intergovernmental Working Group ke-6 (IGWG6) yang dijadualkan berlangsung di Ibu Pejabat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Geneva, Switzerland, bermula 23 hingga 28 Mac 2026 secara dalam talian

Bagi memastikan input dan pendirian Malaysia diselaraskan secara kolektif dan strategik, delegasi Malaysia yang terdiri daripada pakar teknikal dan perundangan akan berkumpul di satu lokasi penyelarasan di Malaysia untuk mengikuti serta menyertai sesi rundingan tersebut secara aktif demi memelihara kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat.

Keputusan penyertaan secara dalam talian ini diambil setelah mempertimbangkan situasi konflik di Timur Tengah serta kekangan logistik yang kritikal pada masa ini. Malaysia melalui KKM menyedari kepentingan rundingan Sistem Akses Patogen dan Perkongsian Manfaat (Pathogen Access and Benefit-Sharing System - PABS) dalam memperkukuh kesiapsiagaan pandemik global.  

Sebelum ini, Malaysia sentiasa memastikan kehadiran perwakilan dalam rundingan sedemikian dan tidak pernah gagal menghantar delegasi fizikal. Malaysia menerusi kerjasama erat antara KKM dan agensi-agensi berkaitan, sentiasa bersedia untuk bekerjasama secara kolaboratif dengan Negara-Negara Anggota serta pihak berkepentingan demi mencapai hasil yang adil, saksama, dan seimbang, di samping memelihara kepentingan nasional serta mendukung prinsip solidariti dan tanggungjawab bersama. 

KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
23 MAC 2026

SUMBER: KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI: 
Nama: Effaizah binti Shahidan

Pegawai Perhubungan Awam 
Unit Komunikasi Korporat 
Tel : +603-8883 3478 / 012-3417379
Faks : +603-8888 6187 

--BERNAMA

 

+