KUALA LUMPUR, 5 Jun (Bernama) -- RHB Islamic Bank Berhad (“RHB Islamic” atau “Bank”) menyempurnakan Majlis Penyerahan Cek Cura berjumlah RM1.5 juta bagi pelaksanaan B40 Education Empowerment Program (“BEEP”) untuk tempoh tahun 2026 hingga 2028 kepada Yayasan Pelajaran MARA (YPM) pada 4 Jun 2026. Penyerahan sumbangan tersebut telah disempurnakan oleh Pengarah Urusan & Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic Bank Berhad, Dato’ Adissadikin Ali kepada Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (“MARA”), Datuk Zulfikri Osman.
Di bawah Program BEEP, RHB Islamic akan meneruskan sumbangan berjumlah sehingga RM1.5 juta bagi menyokong pelaksanaan inisiatif-inisiatif YPM sepanjang tempoh tiga tahun (2026-2028). Pengagihan yang berjumlah RM1.5 juta ini merupakan peningkatan berbanding RM1 juta yang disalurkan bagi tempoh 2023–2025, mencerminkan komitmen berterusan RHB Islamic dalam memperluas akses pendidikan kepada komuniti B40.
Antara inisiatif utama di bawah Program BEEP adalah Program Tuisyen Pintar YPM@KKDW RHB Islamic Bank yang menyediakan sokongan pembelajaran akademik kepada pelajar, serta Seminar Motivasi dan Teknik Menjawab Soalan SPM bagi membantu persediaan peperiksaan.
Inisiatif ini juga merangkumi Program Selangkah ke Universiti yang memberi pendedahan awal mengenai hala tuju pendidikan tinggi dan Skim Anak Angkat YPM–RHB Islamic yang menyediakan sokongan pembangunan pendidikan secara berterusan kepada pelajar terpilih.
Kerjasama strategik antara RHB Islamic dan YPM ini membuka peluang kepada pelajar daripada segmen B40 untuk mendapatkan akses bimbingan secara percuma serta pendedahan akademik melalui pelbagai program yang dilaksanakan di lokasi terpilih di seluruh negara. Sepanjang tiga tahun yang lalu, lebih 7,000 pelajar dan ibu bapa daripada golongan B40 serta guru telah mendapat manfaat melalui pelaksanaan program-program di bawah BEEP.
Dato’ Adissadikin Ali, Pengarah Urusan & Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic berkata, “Melihat kepada impak positif dan pencapaian yang telah direkodkan sepanjang tiga tahun pelaksanaan BEEP, RHB Islamic kekal komited untuk meneruskan kerjasama strategik bersama YPM. Kerjasama ini akan terus diperkukuh melalui peluasan skop inisiatif bagi mempertingkatkan akses dan impak terhadap pembangunan pendidikan pelajar B40, termasuk meneroka penglibatan dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (“TVET”) sebagai sebahagian daripada usaha menyokong agenda pembangunan bakat negara.”
Lebih membanggakan, inisiatif BEEP turut menerima pengiktirafan daripada
Malaysia Book of Records pada tahun 2024 bagi penyertaan serentak terbesar di Malaysia di bawah Program Selangkah ke Universiti yang melibatkan seramai 1,999 peserta. Pencapaian ini turut memperkukuh usaha bersama RHB Islamic dan YPM dalam memperluas akses pendidikan kepada masyarakat.
Menurut Ketua Pengarah MARA, Datuk Zulfikri Osman, “Komitmen berterusan RHB Islamic Bank dalam menyokong agenda pembangunan pendidikan MARA amatlah dihargai dan kerjasama strategik antara sektor korporat dan agensi kerajaan seperti ini amat penting dalam memastikan lebih ramai pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan mendapat akses kepada pendidikan berkualiti dan seterusnya melahirkan modal insan yang cemerlang”.
Sejak tahun 2023, kerjasama antara RHB Islamic dan YPM terus memainkan peranan dalam memperluas akses pendidikan berkualiti kepada komuniti asnaf B40 serta memperkasa pembangunan akademik pelajar ke arah masa depan yang lebih cemerlang. Inisiatif ini diharapkan dapat terus memberi impak yang lebih besar serta melahirkan lebih ramai pelajar yang berdaya saing dan berpotensi tinggi.
SUMBER: RHB Islamic Bank Berhad
UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI:
Nama: Nishanthi Palani
Vice President, Group Corporate Communications
Emel: nishanthi.palani@rhbgroup.com
--BERNAMA