PENJELASAN MENGENAI PERBELANJAAN UBAT-UBATAN KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA (KKM) BAGI TAHUN 2025 DAN KEUTAMAAN PENGGUNAAN UBAT GENERIK

Rabu 15/07/2026

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum laporan media yang memetik bahawa kerajaan membelanjakan lebih banyak bagi perolehan ubat inovator berbanding ubat generik pada tahun 2025 berdasarkan analisis yang dikongsikan oleh Pharmaniaga Berhad. Sebagai makluman, Pharmaniaga Berhad melalui anak syarikatnya, Pharmaniaga Logistics Sdn. Bhd. merupakan syarikat yang dilantik untuk melaksanakan Konsesi Perkhidmatan Logistik Bekalan Perubatan KKM.

KKM ingin menjelaskan bahawa terdapat perbezaan antara dapatan yang dilaporkan ini dengan rekod rasmi KKM, berkemungkinan berikutan perbezaan sumber data dan skop perolehan yang digunakan dalam analisis tersebut. Data bernilai RM3.495 bilion yang dilaporkan oleh Pharmaniaga Berhad secara amnya merujuk kepada dua (2) sumber data iaitu daripada IQVIA yang merupakan pangkalan data komersial yang menyediakan maklumat dan analisis berkaitan pasaran farmaseutikal serta analisis dalaman Pharmaniaga Berhad.

Berdasarkan rekod perolehan pada tahun 2025, KKM membelanjakan sejumlah RM3.86 bilion bagi ubat-ubatan, yang merangkumi ketiga-tiga kaedah perolehan kerajaan, termasuk melalui Konsesi Perkhidmatan Logistik Bekalan Perubatan KKM, Kontrak Pusat dan Pembelian Terus oleh fasiliti kesihatan KKM di seluruh negara.

Ubat generik merupakan komponen utama dalam perbelanjaan ubat KKM dengan nilai perolehan sebanyak RM3.01 bilion (77.88%), melibatkan 3,170 (79.61%) daripada 3,982 jenis ubat yang diperolehi, manakala ubat inovator berjumlah RM0.85 bilion (22.12%). Peratusan nilai perolehan ubat generik juga menunjukan trend yang meningkat daripada 54.22% pada tahun 2021 kepada 77.88% pada tahun 2025 selaras dengan Dasar Ubat Nasional (DUNas) yang mengutamakan penggunaan ubat generik.

Pada masa yang sama, KKM kekal komited dalam menyokong pembangunan industri farmaseutikal tempatan sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh keterjaminan bekalan ubat negara. Komitmen ini dizahirkan melalui nilai perolehan ubat generik buatan tempatan yang telah meningkat daripada RM1.14 bilion (44.21%) pada tahun 2023 kepada RM1.49 bilion (49.57%) pada tahun 2025.

Bagi mengelakkan sebarang kekeliruan berkaitan perolehan ubat-ubatan di KKM, semua pihak diingatkan supaya menyemak dan memastikan ketepatan data, sumber maklumat serta skop analisis terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan atau rumusan kepada umum.

KKM sentiasa mengutamakan perolehan ubat yang berkualiti, selamat dan berkesan, di samping memastikan pengurusan penggunaan sumber awam dilaksanakan secara berhemah dan mampan. KKM juga akan terus memperkukuh dasar perolehan ubat berasaskan keperluan klinikal, dan jaminan kesinambungan bekalan, demi memastikan akses yang saksama kepada ubat-ubatan berkualiti untuk seluruh rakyat Malaysia.

KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
15 JULAI 2026
 
SUMBER: Kementerian Kesihatan Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Effaizah binti Shahidan
Pegawai Perhubungan Awam
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
Tel: +603-8883 3478 / 012-3417379
Faks: +603-8888 6187
E-mel: effaizah@moh.gov.my 

--BERNAMA
+