MELAKA PACU REFORMASI PENTADBIRAN TANAH, TINGKAT PRODUKTIVITI PERKHIDMATAN

Selasa 04/08/2026

Table
Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Melaka dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Selatan mempergiat usaha pelaksanaan Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) 

MELAKA, 4 Ogos (Bernama) -- Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Melaka dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Selatan mempergiat usaha pelaksanaan Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) melalui penambahbaikan proses, prosedur dan dasar berkaitan pentadbiran tanah di Negeri Melaka.  

Inisiatif ini memberi tumpuan kepada empat projek strategik, iaitu penandaan pelan kuota Melayu bagi hakmilik strata, penambahbaikan pengeluaran Hakmilik Muktamad (FT) bagi Permohonan Tanah Kerajaan (PTK), pembangunan Prosedur Operasi Standard (SOP) Penguatkuasaan Bersepadu Sumber Mineral serta semakan Arahan PTG bagi tempoh 1979 hingga 2023. 

Penambahbaikan yang dikenal pasti dijangka dapat mengurangkan proses dan dokumentasi berulang, menyeragamkan tatacara pelaksanaan, memperjelas keperluan permohonan serta memperkukuh pemantauan dan penyelarasan antara agensi. Langkah ini akan memberi kepastian kepada rakyat dan peniaga, mengurangkan masa menunggu, kos pematuhan serta keperluan untuk berulang kali berurusan dengan pihak berkuasa. 

Bagi semakan Arahan PTG, sebanyak 29 arahan telah dinilai, melibatkan 16 arahan yang dicadangkan untuk dimansuhkan, 4 arahan dimansuhkan dan diperbaharui, 6 arahan dikekalkan dengan pindaan serta 3 arahan dikekalkan tanpa pindaan. Semakan ini penting bagi memastikan arahan pentadbiran tanah kekal relevan, jelas dan selaras dengan keperluan semasa.

YBhg. Datuk Anis binti Ali Hasan, Timbalan Pengarah PTG Melaka berkata, penambahbaikan tersebut akan menjadi asas kepada pembentukan dasar dan tatacara yang lebih konsisten, telus dan responsif. 

“Usaha ini bukan sekadar menyelesaikan isu operasi, tetapi bertujuan menghasilkan sistem penyampaian perkhidmatan tanah yang lebih cekap dan mudah difahami. Proses yang jelas dan seragam akan membantu rakyat, agensi serta pihak berkepentingan merancang dan melaksanakan urusan dengan lebih teratur,” katanya. 

Pelaksanaan inisiatif ini juga selaras dengan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam(ARPA) yang menekankan penyampaian perkhidmatan berpaksikan rakyat, peningkatan kecekapan, pengurangan kerenah birokrasi serta penambahbaikan berterusan berdasarkan outcome. Pembaharuan ini akan memastikan setiap proses kerajaan memberi nilai yang lebih tinggi kepada pelanggan melalui pengurangan masa, kos dan ketidakpastian. 

YBrs. Encik Mohd Azwan Mohd Salleh, Pengarah MPC Wilayah Selatan berkata, peningkatan produktiviti dalam pentadbiran tanah merupakan antara faktor penting dalam memperkukuh daya saing negeri.

“Produktiviti bukan sekadar menyelesaikan lebih banyak urusan, tetapi memastikan setiap urusan dapat dilaksanakan dengan lebih pantas, tepat dan menggunakan sumber secara optimum. Apabila proses pentadbiran tanah dipermudah dan mempunyai kepastian, rakyat menerima perkhidmatan yang lebih baik, peniaga dapat mengurangkan kos menunggu dan pelabur lebih yakin untuk melaksanakan projek di Melaka,” katanya.  

Pengurusan tanah yang lebih cekap turut berpotensi mempercepatkan pelaksanaan projek perindustrian dan komersial, merancakkan aktiviti ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan serta meningkatkan pendapatan rakyat. Pada masa yang sama, kepastian proses akan membantu peniaga dan pelabur membuat keputusan dengan lebih cepat dan mengurus perancangan perniagaan secara lebih berkesan. 

Sebagai langkah seterusnya, cadangan penambahbaikan akan diperincikan melalui sesi libat urus pemegang taruh, pemurnian SOP dan garis panduan, pembangunan arahan baharu serta pelaksanaan projek rintis. Hasil akhir akan diangkat kepada Pihak Berkuasa Negeri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka untuk pertimbangan dan kelulusan. 

SUMBER: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) 

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: 
Nama: Mazuan Salih
Emel: mazuan@mpc.gov.my

--BERNAMA 
+