Maybank Salur Dana Zakat RM9.5 Juta untuk Memperkasa Komuniti dan Cipta Impak Berkekalan

Selasa 04/08/2026


Table
Foto 2 : Dari Kiri, Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Mohamad Yasin Abdullah, Dato’ Sri Khairussaleh Ramli, Senator Dr. Zulkifli Hasan, Pengerusi MAIWP, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer dan Ketua Pegawai Eksekutif, MAIWP Datuk Mohd Nizam Yahya.


- Sumbangan zakat perniagaan RM6.5 juta dan insentif awal perkahwinan RM3 juta bagi menyokong 600 pasangan asnaf yang baharu mendirikan rumah tangga 

KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Kumpulan Maybank hari ini memperkukuh komitmennya dalam memperkasa komuniti dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat menerusi penyaluran dana zakat perniagaan Kumpulan Kewangan Islam Maybank berjumlah RM6.5 juta kepada Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), termasuk pelaksanaan Insentif Awal Perkahwinan Asnaf Wilayah Persekutuan yang bertujuan membantu golongan asnaf membina kehidupan yang lebih sejahtera dan berdaya tahan.
 
Majlis yang disaksikan oleh YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), ini memperteguhkan peranan zakat sebagai pemangkin pembangunan sosioekonomi yang mampu meningkatkan kesejahteraan masyarakat, memperkukuh institusi keluarga dan membuka peluang kepada komuniti yang memerlukan untuk membina masa depan yang lebih berdaya tahan.
 
Melalui sumbangan bayaran zakat berjumlah RM6.5 juta ini, Maybank terus memperkukuh usaha MAIWP dalam meningkatkan kesejahteraan golongan asnaf melalui pelbagai inisiatif pemerkasaan komuniti. Sumbangan ini juga mencerminkan komitmen berterusan Kumpulan Maybank untuk mencipta impak sosial yang bermakna dan berkekalan, sejajar dengan aspirasinya untuk memperbaiki kehidupan dan memperkasa komuniti.
 
Sepanjang tempoh 2022 hingga 2025, Kumpulan Maybank telah menyalurkan lebih RM21.6 juta zakat perniagaan kepada PPZ-MAIWP.

Acara kemuncak majlis hari ini ialah simbolik penyerahan Insentif Awal Perkahwinan Asnaf Wilayah Persekutuan, hasil kerjasama strategik antara Maybank Islamic dan MAIWP dalam memperkukuh institusi keluarga serta meningkatkan kesejahteraan komuniti. Dengan peruntukan berjumlah RM3 juta, inisiatif ini dijangka memberi manfaat kepada sehingga 600 pasangan asnaf yang baharu mendirikan rumah tangga, membantu mereka memulakan kehidupan berkeluarga yang lebih yakin dan terancang.
 
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Dato' Sri Khairussaleh Ramli berkata, “Di Kumpulan Maybank, kami percaya bahawa kejayaan tidak seharusnya diukur semata-mata melalui prestasi kewangan, tetapi juga melalui impak positif yang dicipta dalam kehidupan masyarakat. Bayaran zakat dan Insentif Awal Perkahwinan Asnaf mencerminkan komitmen kami dalam merealisasikan misi Menginsankan Perkhidmatan Kewangan Kumpulan Maybank dengan memastikan kemakmuran dapat dikongsi bersama mereka yang memerlukan.”
 
Tambahnya, “Keluarga yang kukuh merupakan asas kepada komuniti yang berdaya tahan. Dengan menyokong pasangan asnaf yang baharu mendirikan rumah tangga, kami bukan sahaja menyediakan bantuan kewangan, malah membantu menyemarakkan harapan dan membuka peluang ke arah masa depan yang lebih baik. Usaha ini selari dengan aspirasi ROAR30 Maybank untuk meningkatkan taraf kehidupan dan mewujudkan impak sosial yang bermakna dalam komuniti di seluruh cawangan Maybank beroperasi.”
 
Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama strategik antara institusi kewangan, institusi zakat dan agensi kerajaan amat penting bagi memastikan instrumen zakat terus berfungsi secara berkesan dalam memperkukuh pembangunan sosioekonomi serta memacu pertumbuhan yang lebih inklusif.
 
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Pusat Pungutan Zakat-MAIWP, Datuk Haji Abdul Hakim Amir Osman berkata, komitmen berterusan Kumpulan Maybank dalam menunaikan zakat perniagaan mencerminkan tahap tadbir urus yang baik serta kesedaran tinggi sektor korporat terhadap tanggungjawab yang telah ditetapkan syarak.
 
"PPZ-MAIWP amat menghargai kepercayaan yang diberikan oleh Kumpulan Maybank untuk terus menunaikan zakat perniagaan melalui institusi zakat. Kepercayaan inilah yang menjadi asas kepada usaha kami dalam memperkukuh budaya berzakat, meningkatkan keyakinan para pembayar zakat serta memastikan urusan kutipan dilaksanakan secara profesional, telus dan berintegriti.”

"Kami berharap lebih banyak syarikat korporat akan tampil menunaikan zakat melalui saluran rasmi agar potensi kutipan zakat dapat terus diperhebat. Apabila syarikat-syarikat korporat terus konsisten menunaikan zakat, ia memberi contoh yang baik kepada dunia perniagaan bahawa keuntungan bukan sekadar diukur daripada prestasi kewangan, tetapi juga melalui keberkatan dan tanggungjawab terhadap masyarakat,” ujarnya.
 
Program ini melengkapi usaha berterusan MAIWP dalam membantu golongan asnaf melalui pelbagai skim bantuan yang bersasar, di samping menyokong aspirasi negara untuk memperkukuh kesejahteraan keluarga, memperluas keterangkuman sosial dan membina komuniti yang lebih berdaya tahan.
 
Selaras dengan komitmen Kumpulan Maybank untuk terus merealisasikan tujuan Menginsankan Perkhidmatan Kewangan, inisiatif seperti ini mencerminkan bagaimana sektor kewangan mampu menjadi pemangkin perubahan yang bermakna melalui penciptaan peluang, pemerkasaan komuniti dan peningkatan kualiti kehidupan demi generasi masa hadapan.

MENGENAI MAYBANK ISLAMIC

Maybank Islamic Berhad merupakan cabang perbankan Islam Kumpulan Maybank dan peneraju penyedia perkhidmatan kewangan Islam di ASEAN. Sebagai antara pemain global terkemuka dalam industri kewangan Islam, Maybank Islamic menawarkan penyelesaian kewangan berasaskan Syariah yang inovatif merangkumi perbankan runcit, korporat, pelaburan dan pengurusan kekayaan.
 
Maybank Islamic komited untuk memperkasakan individu, perniagaan dan komuniti melalui penyelesaian kewangan yang inklusif, mampan dan berasaskan nilai. Dengan menggabungkan prinsip kewangan Islam dan kelestarian, Maybank Islamic terus memperkukuh hubungan rentas sempadan serta memacu pertumbuhan yang bertanggungjawab, sekali gus menyumbang kepada kemakmuran yang lebih lestari dan inklusif di rantau ini.

MENGENAI PPZ-MAIWP

Pusat Pungutan Zakat (PPZ-MAIWP) adalah sebuah agensi yang dilantik oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk mengutip zakat harta di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya. Sejak ditubuhkan, PPZ-MAIWP telah merevolusikan pengurusan zakat menerusi pendekatan korporat, efisien dan mesra pelanggan, menjadikannya antara institusi zakat paling progresif di Malaysia. PPZ-MAIWP menyediakan pelbagai saluran bayaran zakat secara dalam talian dan fizikal, bagi memudahkan umat Islam menunaikan kewajipan berzakat dengan lebih mudah, cepat dan selamat.
 
Selain kutipan zakat, PPZ-MAIWP turut diberi tanggungjawab untuk mengurus kutipan wakaf tunai bagi pihak MAIWP. Wakaf tunai ini disalurkan ke pelbagai program pembangunan ummah seperti pendidikan, kesihatan, kebajikan dan pemerkasaan ekonomi asnaf.
 
Untuk maklumat lanjut, sila layari www.zakat.com.my atau www.wakafwilayah.com.my

SUMBER: Malayan Banking Berhad (MAYBANK)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI:
Unit Komunikasi Korporat
Maybank Islamic Berhad 


Nama: Roziana Hamsawi
Tel: +603 2297 2211 | +6012 324 6502 
E-mel: roziana.h@maybank.com  

Nama: Fadhli Asri
Tel: +603 2297 2479 | +6017 930 0485 
E-mel: mnfadhli.aa@maybank.com 


Unit Komunikasi Korporat
PPZ-MAIWP


Nama: Norazlina Mohd Nordin            
Tel: +6019 728 3839

Nama: Fatin Aqilah Zulkefli               
Tel: +6017 393 5432

Nama: Nor Athirah Mohd Hanapiah       
Tel: +6013 456 2603


--BERNAMA
 
 
+