YB Menteri Hal Ehwal Agama (tengah) bersama Ketua Pengarah IKIM, Pengarah Pusat Media dan Penyampai IKIMfm ketika Majlis Pelancaran IKIMHubKUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) hari ini melancarkan Platform digital bersepadu, IKIMHub sebagai inisiatif strategik bagi memperkukuh ekosistem media Islam negara serta menyokong aspirasi Malaysia sebagai peneraju Global Halal Media Hub.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, yang menyifatkan pembangunan IKIMHub sebagai satu lagi langkah penting dalam transformasi digital dakwah negara selaras dengan perkembangan teknologi dan keperluan masyarakat.
“IKIMHub menghimpunkan keseluruhan ekosistem media dan komersial IKIM dalam satu platform yang membolehkan pengguna mengakses siaran langsung IKIMfm, tvIKIM, podcast, berita semasa, Video on Demand (VOD) serta platform e-dagang IKIMNiaga menerusi satu aplikasi,” beliau bekata demikian ketika bersiaran di IKIMfm, pagi tadi.
Selain menjadi medium penyebaran ilmu kepada umat Islam, beliau berharap IKIMHub dapat menjadi jambatan memperkenalkan keindahan Islam kepada seluruh masyarakat melalui pendekatan berteraskan ilmu, hikmah, dialog dan nilai Rahmatan lil 'Alamin.
"IKIMHub membuktikan bahawa kemajuan teknologi digital mampu digerakkan seiring dengan pembangunan insan, pengukuhan nilai, integriti serta prinsip Maqasid Syariah. Ia menjadi platform yang menghubungkan ilmu, dakwah dan teknologi demi manfaat masyarakat," tambah beliau.
IKIMHub yang mula boleh diakses sejak 1 Ogos 2026 menawarkan kandungan digital yang lebih segar seperti podcast, video digital dan VOD bagi memastikan penyampaian dakwah kekal relevan dengan perkembangan teknologi serta gaya hidup masa kini.
Beliau turut menyeru orang ramai melayari ikimhub.my atau memuat turun aplikasi IKIMHub menerusi Google Play Store dan Apple App Store, sambil berharap platform itu menjadi teman digital yang membawa ilmu, inspirasi dan manfaat kepada masyarakat serta mengangkat Malaysia sebagai rujukan utama media halal di persada dunia.
7 Ogos 2026 |
23 Safar 1448H SUMBER: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT IKIM
Nama: Pn. Hajah Fairuz binti Hj Noordin
Tel: 019-388 7600
Emel: fairuz@ikim.gov.my
Nama: Haji Mohd Faiz bin Othman
Tel: 012-2105658
Emel: faiz@ikim.gov.my
--BERNAMA