Pertandingan Projek Transformasi Perkhidmatan Awam Melalui Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) Peringkat Negeri Pulau Pinang pada 22 hingga 23 Julai 2026 di Kepala Batas, Pulau Pinang
KEPALA BATAS, 24 Ogos (Bernama) -- Menyahut seruan Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang menegaskan bahawa “AI mampu membantu meningkatkan kecekapan analisis data, produktiviti dan mempercepatkan penyampaian perkhidmatan awam”, Pejabat Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Utara telah menganjurkan Pertandingan Projek Transformasi Perkhidmatan Awam Melalui Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) Peringkat Negeri Pulau Pinang pada 22 hingga 23 Julai 2026 di Kepala Batas, Pulau Pinang. Penganjuran pertandingan ini membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam mempergiat penggunaan teknologi AI bagi memantapkan penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat.
Program ini melibatkan penyertaan seramai 14 agensi dan jabatan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang mempertandingkan sebanyak 19 projek transformasi berasaskan teknologi Kecerdasan Buatan (AI). Projek-projek yang dipertandingkan mampu meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam, memperkukuh produktiviti organisasi serta menawarkan pengalaman perkhidmatan yang lebih pantas, cekap dan mesra rakyat. Antara bidang tumpuan projek yang diketengahkan ialah pembangunan chatbot berasaskan AI, analitik ramalan, automasi proses kerja, aplikasi pemantauan pintar, pengurusan data serta pelbagai penyelesaian digital lain bagi meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Antara agensi dan jabatan yang terlibat ialah Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Pulau Pinang, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pulau Pinang, Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi Negeri, Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang, Pejabat Daerah dan Tanah, serta Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, di samping beberapa agensi lain.
Pengarah MPC Wilayah Utara, En. Mohamad Azrol Mohamad Dali, dalam ucapan perasmiannya menegaskan bahawa penerimagunaan teknologi Kecerdasan Buatan bukan lagi sekadar pilihan, sebaliknya merupakan satu keperluan strategik bagi memastikan sektor awam terus relevan, tangkas dan responsif dalam menghadapi cabaran era digital.
Beliau berkata:
"Teknologi AI merupakan pemangkin strategik kepada transformasi sektor awam, meningkatkan produktiviti, kecekapan operasi serta kualiti penyampaian perkhidmatan. Yang lebih penting, setiap jabatan perlu mengintegrasikan AI secara strategik dalam proses kerja harian bagi menghasilkan impak nyata kepada rakyat. MPC komited menyokong Kerajaan Negeri Pulau Pinang memperkasa budaya inovasi dan mempercepatkan pendigitalan sektor awam demi meningkatkan produktiviti dan daya saing negeri."
Beliau turut menambah bahawa kejayaan transformasi digital menuntut komitmen kepimpinan, kesediaan warga kerja serta kolaborasi erat antara kerajaan, industri dan institusi penyelidikan bagi memastikan penyelesaian AI yang dibangunkan benar-benar memberi nilai tambah kepada penyampaian perkhidmatan awam.
Pertandingan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif MPC bagi menggalakkan agensi kerajaan negeri menggunakan teknologi AI dalam pelaksanaan projek Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB), seterusnya memperkukuh usaha meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam menerusi pengurangan kerenah birokrasi, mempercepatkan proses penyampaian perkhidmatan serta meningkatkan produktiviti organisasi. Menerusi inisiatif ini, MPC berharap lebih banyak penyelesaian berasaskan AI dapat diterapkan dalam sektor awam bagi menyokong aspirasi Malaysia MADANI dan agenda transformasi digital negara ke arah penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cekap, inklusif dan berimpak tinggi.
SUMBER: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Hanisah Ramli
E-mel: hanisah@mpc.gov.my
Nama: Kasturi Devi Appanna
E-mel: kasturi@mpc.gov.my
--BERNAMA