PENGANJURAN FESTIVAL KRAF PERAK 2026 RANCAKKAN INDUSTRI KRAF DI NEGERI PERAK

Selasa 01/09/2026

TELUK INTAN, 1 Sept (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) telah menganjurkan Sesi Jelajah Mesra Festival Kraf Perak (FKP) 2026 yang disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Shaharuddin bin Abu Sohot, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), di Dataran Menara Condong, Teluk Intan, Perak pada 29 Ogos 2026.
 
Turut hadir YBrs. Encik Abdul Halim bin Ali, Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia serta Pengurusan Tertinggi MOTAC dan Kraftangan Malaysia.
 
Penganjuran FKP 2026 edisi ke-10 berlangsung selama sembilan (9) hari dari 29 Ogos hingga 6 September 2026, bermula jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam. Festival ini menyediakan platform kepada usahawan kraf untuk mempromosi dan mengkomersialkan produk tempatan, di samping meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap warisan kraf negara.
 
FKP 2026 menghimpunkan 61 usahawan kraf dari seluruh negara dalam bidang tekstil, hasil rimba, hasil tanah, hasil logam dan aneka kraf. Turut terlibat ialah komuniti kraf baharu Negeri Perak menerusi tujuh (7) Projek Pembangunan Kemahiran Komuniti (PPKK) sebagai platform simulasi perniagaan dan pengembangan kemahiran keusahawanan.
 
Sesi Jelajah Mesra turut menampilkan persembahan Tarian Singa oleh Persatuan Tarian Singa Hong De Teluk Intan serta demonstrasi ukiran kayu yang menampilkan tiga generasi penggiat kraf. Penglibatan ini memperlihatkan kesinambungan usaha Kraftangan Malaysia dalam melahirkan tenaga mahir dan memastikan kelangsungan seni ukiran kayu sebagai warisan negara.
 
Pada sesi sama, YBhg. Dato’ Ketua Setiausaha MOTAC turut menyampaikan sijil penghargaan kepada rakan strategik yang menyokong penganjuran festival, termasuk Pejabat Daerah Hilir Perak, Majlis Perbandaran Teluk Intan, Polis Diraja Malaysia, Tourism Perak dan beberapa agensi serta organisasi lain.
 
Kerjasama strategik pelbagai pihak turut menyokong penganjuran FKP buat kali ke-10 di lokasi ikonik Menara Condong Teluk Intan, sekali gus memperkukuh usaha mempromosi produk dan warisan kraf tempatan kepada masyarakat serta pelancong.
 
Pelbagai aktiviti menarik turut disediakan sepanjang festival antaranya Padanan Perniagaan, Pameran Produk Kraf Baharu, Pameran Institut Kraf Negara, aktiviti interaktif kraf, persembahan kesenian, lawatan berpandu, Larian Kraf Perak serta pelbagai pertandingan dan kuiz interaktif.
 
Penganjuran FKP 2026 mencerminkan komitmen berterusan MOTAC dan Kraftangan Malaysia dalam memelihara serta memartabatkan seni warisan bangsa, di samping memperkasakan sosioekonomi usahawan kraf tempatan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan persediaan menuju Kempen Melawat Malaysia 2026-2027.
 
Sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi Kraftangan Malaysia Cawangan Perak di talian 05 – 757 6200.  
 
LINK GAMBAR
https://drive.google.com/drive/folders/1tT2uxa3YGQMVbeKOnJil8sm1ItFgBfjC?usp=drive_link 
 
SUMBER: Kraftangan Malaysia 

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Nuraishah Ya
Tel: +6018 3844780
Emel: nuraishah@kraftangan.gov.my
 
--BERNAMA 
+