
Datuk Ng Wei Wei, Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, menyampaikan cek hasil kutipan UOB Malaysia kepada empat benefisiari.
Dana yang dikumpul bakal memanfaatkan lebih 6,000 kanak-kanak, belia dan keluarga di seluruh Malaysia
KUALA LUMPUR, Malaysia, 2 Sept (Bernama) -- UOB Malaysia baru-baru ini berjaya mengumpul RM2.288 juta menerusi acara tahunannya, UOB Heartbeat Run 2026. Kutipan tersebut akan disalurkan kepada empat benefisiari utama, iaitu Yayasan SOLS, Yayasan PINTAR, Food Aid Foundation dan HOPE Worldwide Malaysia, selain menyokong inisiatif tanggungjawab sosial korporat Bank di seluruh Malaysia yang memberi tumpuan kepada seni, kanak-kanak dan pendidikan.
Datuk Ng Wei Wei, Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, berkata, “Kini memasuki tahun ke-18 di Malaysia, UOB Heartbeat Run terus menunjukkan apa yang boleh tercapai apabila masyarakat berganding bahu demi membawa perubahan. Sikap pemurah serta komitmen warga kerja, pelanggan dan rakan kongsi kami membolehkan UOB menyokong program yang diterajui rakan benefisiari bagi menangani keperluan komuniti yang kritikal, daripada meningkatkan sekuriti makanan kepada memperkasa belia melalui pendidikan digital dan kemahiran masa depan. Sebagai sebahagian daripada inisiatif UOB Heartbeat yang lebih luas di seluruh ASEAN dan rantau lain, kami terus komited untuk mewujudkan impak yang bermakna dan berkekalan dalam komuniti yang kami berkhidmat.”
Dalam tempoh dua bulan menjelang UOB Heartbeat Run, pelbagai aktiviti amal termasuk bazar makanan, jualan amal dan kelas kecergasan telah diadakan bagi menyumbang kepada jumlah kutipan keseluruhan. Program ini kemudiannya mencapai kemuncak di Pavilion Bukit Jalil, di mana kira-kira 5,000 pekerja, pelanggan dan rakan kongsi telah hadir untuk menjadi sukarelawan, mengumpul dana dan mengambil bahagian dalam acara larian tersebut.
Dana yang dikumpul akan menyokong program yang diterajui benefisiari yang membantu membina masa depan yang lebih mampan melalui pendidikan, selain meningkatkan kualiti hidup komuniti kurang mendapat perhatian di seluruh Malaysia. Antara inisiatif yang akan disokong termasuk penajaan 50 belia kurang berkemampuan untuk mengikuti program vokasional Solar Academy melalui Yayasan SOLS, penyediaan sistem solar rumah kepada komuniti luar grid serta pemasangan panel solar di rumah kebajikan kanak-kanak. Dana tersebut juga akan menyokong HOPE Worldwide Malaysia, Food Aid Foundation, Yayasan PINTAR dan tujuan amal lain, dengan tumpuan kepada pembinaan masyarakat inklusif serta pembangunan komuniti yang mampan melalui pendidikan digital, sekuriti makanan dan program yang menggalakkan daya tahan serta kesejahteraan mental. Secara keseluruhan, program-program ini dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 6,000 kanak-kanak, belia dan keluarga yang kurang mendapat perhatian di seluruh Malaysia.
UOB Heartbeat Run merupakan sebahagian daripada komitmen lebih luas UOB untuk mencipta impak sosial jangka panjang bagi golongan yang kurang mendapat perhatian. Selain UOB Heartbeat, Bank terus melabur dalam program yang mewujudkan impak sosial jangka panjang, khususnya dalam pendidikan dan keterangkuman digital. Pada awal tahun ini, UOB melancarkan UOB My Digital Space (MDS) di Malaysia. Program ini memperkasa pelajar untuk menggunakan teknologi secara yakin dan bertanggungjawab dengan memperkukuh pemikiran kritis serta literasi digital mereka. Sebagai sebahagian daripada inisiatif serantau yang dijangka menjangkau lebih 100,000 pelajar di seluruh ASEAN, MDS kini berkembang sebagai program berbilang tahun di Malaysia, sekali gus menyokong usaha negara memperkukuh keterangkuman digital dan menyediakan generasi akan datang untuk ekonomi digital.
Lampiran: Penerima sumbangan UOB Global Heartbeat Run 2026
| Food Aid Foundation | Dana yang dikumpul akan menyokong kanak-kanak rentan dari 30 rumah anak yatim di seluruh Malaysia dengan menyediakan makanan dan keperluan harian, serta program literasi digital dan daya tahan emosi. |
| HOPE Worldwide Malaysia | Dana yang dikumpul akan menyokong pusat HOPE Worldwide di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur dengan program literasi digital untuk 1,000 kanak-kanak daripada komuniti terpinggir. Program ini termasuk Program Pendidikan STEAM & AI, Program Pendidikan Seni Terapeutik dan Program Penajaan Sekolah. |
| Yayasan SOLS | Dana yang dikumpul akan menaja belia kurang bernasib baik untuk mendaftar dalam program vokasional Akademi Solar melalui Yayasan SOLS, serta menyediakan sistem solar rumah kepada komuniti luar grid dan memasang panel solar di rumah kebajikan kanak-kanak. |
| Yayasan PINTAR | Dana yang dikumpul akan digunakan untuk menjalankan Bengkel Kesedaran AI di 40 sekolah di seluruh Malaysia, menjangkau lebih 3,000 pelajar bagi merapatkan jurang digital dan membina kemahiran untuk masa hadapan. |
SUMBER: UOB Malaysia
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Yashwini Mohan
Brand, Media and Communications
Tel: 6012 223 7050
E-mel: yashwini.mohan@uob.com.my
Nama: Nizam Arop
Brand, Media and Communications
Tel: 6017 333 6329
E-mel: nizam.arop@uob.com.my
--BERNAMA