Segmen Gema Inovasi MADANI antara tarikan utama pada Sambutan Hari Kebangsaan 2026KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) tampil dengan pendekatan yang lebih segar sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2026 menerusi dua (2) persembahan utama “Gema Inovasi MADANI” dan “Rentak MADANI, Paluan Tradisi”. Kelainan utama pada tahun ini adalah penerapan elemen inovasi terhadap seni pergendangan tradisional tanpa mengetepikan identiti serta dekat dengan citarasa masyarakat masa kini.
Segmen pembukaan “Gema Inovasi MADANI” menghimpunkan kira-kira 150 pemain pergendangan utama dengan menampilkan kepelbagaian instrumen daripada pelbagai tradisi dan komuniti di Malaysia, antaranya 10 unit Rebana Ubi Inovasi, Rebana Ubi tradisi, Gendang 24 Musim, Tavil, Buluh Centong, Gendang Pampat, Jidur, Kulintangan serta Gong bersaiz besar. Penggunaan alat muzik ini merupakan simbolik kesejahteraan, keharmonian, muhibah dan kesetiaan.
Persembahan turut diserikan dengan penglibatan kira-kira 1,500 pelajar daripada 36 sekolah di bawah seliaan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor. Menerusi gabungan kompang inovasi dan kompang tradisi, segmen ini turut mencerminkan usaha memperkasa dan memastikan kelangsungan seni tradisional dalam kalangan generasi masa kini.
Antara inovasi yang diketengahkan ialah 10 unit Rebana Ubi Inovasi yang direka dengan lebih ringan berbanding rebana ubi tradisional yang boleh mencecah sehingga 70 kilogram. Selain itu, penggunaan filem X-ray terpakai sebagai bahan dalam penghasilan 400 buah kompang turut memberikan perspektif baharu terhadap kreativiti, kelestarian dan penerokaan inovasi dalam penghasilan instrumen muzik tradisional.
Manakala, persembahan “Rentak MADANI, Paluan Tradisi” melibatkan 2,350 peserta dengan mengetengahkan gambaran Malaysia yang progresif dan terus melangkah maju, selaras dengan usaha kerajaan dalam memperkukuh kesejahteraan serta peranan rakyat dalam memacu kemajuan negara.
Menampilkan koreografi yang energetik, persembahan ini menggabungkan sentuhan moden dengan elemen tradisional. Tarian Zapin diketengahkan sebagai salah satu elemen utama “Rentak MADANI, Paluan Tradisi”, diserikan dengan kepelbagaian identiti budaya melalui kostum dan props yang digunakan. Persembahan ini turut mendapat sokongan daripada rakan strategik, Vantris Energy dan Les’ Copaque Production Sdn. Bhd.
Persembahan diakhiri dengan lagu tema
“Aku Berjanji” nyanyian Faizal Tahir yang turut diserikan dengan penglibatan para peserta tarian. Acara Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan 2026 berlangsung meriah dengan penglibatan
10,819 peserta, melibatkan 76 kontinjen, 22 pasukan pancaragam, 11 kereta berhias, 328 aset darat, laut dan udara serta 112 ekor haiwan dalam perkhidmatan daripada pelbagai agensi kerajaan, pasukan keselamatan, GLC dan sektor swasta.
Menurut Ketua Pengarah JKKN, Mohd Amran Mohd Haris, menerusi kedua-dua persembahan ini, JKKN bukan sahaja mengetengahkan seni dan budaya kepada masyarakat, malah turut membawa mesej bahawa kesenian tradisional sentiasa mempunyai ruang untuk berkembang dan terus relevan dalam landskap Malaysia yang moden dan progresif. Beliau berkata, setiap pengisian dirangka bagi menerjemahkan aspirasi kerajaan menerusi tema “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”, agar mesej tersebut dapat dirasai dan difahami oleh seluruh rakyat.
Dikeluarkan Oleh:Unit Komunikasi Korporat, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara
Tel : 03-2614 8200
Website:
www.jkkn.gov.my E-mel:
ukk@jkkn.gov.myMedia Sosial: mysenibudaya
SUMBER: Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI: