FESTIVAL CITRA MUTIARA 2026 MERIAHKAN LEBUH ARMENIAN, GEORGE TOWN

Khamis 17/09/2026


Table
Tun Ramli Ngah Talib (tengah) bersama tetamu kehormat bergambar kenangan bersama peserta yang terlibat dalam persembahan pada Majlis Perasmian Penutup Festival Citra Mutiara 2026


GEORGE TOWN, 17 Sept (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menganjurkan Festival Citra Mutiara 2026 pada 11 hingga 13 September 2026 bertempat di Lebuh Armenian, George Town, Pulau Pinang. 

Majlis perasmian penutup diadakan pada 13 September 2026 telah disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dato’ Seri Utama Haji Ramli Ngah Talib. Turut menyerikan acara ialah Yang Mulia Toh Puan Raja Dato’ Seri Utama Noora Ashikin binti Raja Abdullah.

Turut hadir Yang Amat Berhormat Tuan Chow Kon Yeow, Ketua Menteri Pulau Pinang, Yang Berbahagia Dato’ Mohd Yusri bin Mohd Yusoff, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) MOTAC, Yang Berhormat Tuan Wong Hon Wai, EXCO Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Negeri Pulau Pinang, Yang Berhormat Tuan Teh Lai Heng, Ahli Dewan Undangan Negeri Komtar dan Yang Berusaha Encik Mohd Amran bin Mohd Haris, Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).

Penganjuran Festival Citra Mutiara 2026 mengetengahkan keunikan seni, budaya dan warisan Pulau Pinang, selain memperkukuh daya tarikan George Town sebagai destinasi pelancongan budaya. Lebuh Armenian yang terletak di tengah-tengah lokasi George Town turut menjadi lokasi strategik bagi penganjuran festival kali ini di mana lokasi tersebut merupakan Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Antara tarikan utama festival ini ialah Perarakan Budaya Citra Mutiara yang mengetengahkan kepelbagaian identiti, tradisi dan budaya pelbagai kaum di Pulau Pinang. Perarakan yang disertai seramai 200 peserta ini telah memeriahkan suasana di sekitar Lebuh Armenian, George Town. Sementara itu, Majlis Perasmian Penutup turut berlangsung meriah dengan pelbagai persembahan yang melibatkan 157 orang peserta.

Sepanjang tiga (3) hari program berlangsung, pelbagai aktiviti dan pengisian menarik turut diadakan, antaranya Pertandingan Boria Kategori Cilik dan Terbuka, Pertandingan Peragaan Busana Boria Cilik, Pertandingan Mewarna Keluarga, Pertandingan Sepak Raga Ratus, Diabolo dan Kolam, Sembang Santai Anak Seni, persembahan kesenian serta pameran oleh pelbagai agensi dan NGO seni budaya.

Selain itu, Jabatan Warisan Negara turut mengedarkan makanan warisan kepada para pengunjung, antaranya Nasi Lemak, Serabai, Teh Tarik dan Air Sarbat. Manakala, Nasi Kandar Mamu Daun Pisang pula mengedarkan hidangan Nasi Kandar kepada pengunjung sepanjang program berlangsung.

JKKN komited memperkasa program seni, budaya dan warisan bagi mendekatkan masyarakat dengan warisan tempatan serta menjadikan seni budaya sebagai salah satu tarikan pelancongan budaya di Pulau Pinang.

Bagi mendapatkan keterangan lanjut mengenai program ini, orang ramai boleh melayari media sosial JKKN melalui pautan www.mysenibudaya dan laman web JKKN.

Dikeluarkan Oleh:
Unit Komunikasi Korporat, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara
Tel : 03-2614 8200  Faks : 03-2697 0786
Website: www.jkkn.gov.my  E-mel: ukk@jkkn.gov.my 
Platform Media Sosial Rasmi JKKN:
Facebook: @Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dan @mysenibudaya
Instagram, Twitter & You Tube: @mysenibudaya 

SUMBER: Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:

Nama: Nurfatin Fatini binti Norazlan
Penolong Pengarah
Unit Komunikasi Korporat
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara
Tel: 017-869 8807
E-mel: nurfatin@jkkn.gov.my

Nama: Muhammad Nizam bin Ahmad
Pegawai Kebudayaan
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Pulau Pinang
Tel: 04-2817791 / 017-524 1480
E-mel: mnizam@jkkn.gov.my 

--BERNAMA
+