AI PEMANGKIN TRANSFORMASI PERKHIDMATAN AWAM PULAU PINANG

Isnin 28/09/2026

Table

Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) menganjurkan Konvensyen Reformasi Perkhidmatan Awam @ Pulau Pinang 2026 di Bertam Resort, bertemakan “AI Memacu Reformasi Perkhidmatan Awam”


PULAU PINANG, 28 Sept (Bernama) -- Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) buat julung kalinya hari ini menganjurkan Konvensyen Reformasi Perkhidmatan Awam @ Pulau Pinang 2026 di Bertam Resort, bertemakan “AI Memacu Reformasi Perkhidmatan Awam”. Konvensyen ini menyatukan dua agenda utama negeri – Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) dan Kecerdasan Buatan (AI) – dalam satu platform bagi mempercepat, mempermudah dan meningkatkan produktiviti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
 
Turut dihadiri hampir 450 peserta daripada jabatan dan agensi Kerajaan Negeri Pulau Pinang serta wakil daripada Kedah, Perak dan Perlis, konvensyen ini menjadi ruang perkongsian amalan terbaik RKB dan AI merentas Wilayah Utara, sekali gus menegaskan hala tuju bersama ke arah perkhidmatan awam yang lebih cekap, produktif dan responsif.

Merasmikan majlis, Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Tuan Chow Kon Yeow berkata AI mesti digunakan untuk menyelesaikan masalah sebenar rakyat, bukan sekadar menukar borang fizikal kepada borang digital sambil mengekalkan proses kerja yang sama rumitnya.
 
“AI tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman kepada penjawat awam, sebaliknya sebagai pengganda keupayaan,” katanya.

Tugasan berulang, jelasnya, boleh diautomasikan supaya penjawat awam dapat memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah dan tugas yang memerlukan pertimbangan manusia – dengan syarat disertai akauntabiliti, keselamatan, privasi dan pengawasan manusia yang ketat. Ukuran sebenar kejayaan dan produktiviti, tegasnya, ialah masa yang dijimatkan dan masalah rakyat yang diselesaikan, bukan bilangan sistem yang dibangunkan.
 
Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, YB Dato’ Dr. Jafri bin Abdul Jalil berkata reformasi telah lama menjadi tunjang pentadbiran negeri di bawah kerangka Penang2030, dengan 29 projek RKB berjaya dilaksanakan setakat ini, menjana penjimatan kos sebanyak RM2.4 bilion sekali gus mencerminkan peningkatan produktiviti jabatan dan agensi kerajaan negeri.
 
“AI perlu dilihat bukan sekadar sebagai agenda teknologi, tetapi sebagai agenda pentadbiran dan reformasi. Ia membuka peluang untuk kita melihat semula bagaimana kerajaan boleh bekerja dengan lebih pintar,” katanya.
 
Bagaimana kerajaan “bekerja dengan lebih pintar” itu turut menjadi tumpuan forum bertajuk “AI dan Produktiviti: Memacu Transformasi Perkhidmatan Awam Masa Hadapan”, yang menghimpunkan Timbalan Ketua Pengarah MPC, YBrs. Dr. Mohamad Norjayadi Tamam, bersama Pendakwah Teknologi, YBrs. Ts. Adil Hidayat bin Rosli.
 
“Produktiviti sektor awam pada era AI bukan lagi diukur semata-mata pada bilangan sistem yang dibangunkan, tetapi pada sejauh mana teknologi ini benar-benar meringankan tugas penjawat awam dan mempercepat penyampaian kepada rakyat. MPC komited menjadi rakan strategik negeri dalam membina keupayaan ini secara berstruktur dan berasaskan data,” kata Dr. Mohamad Norjayadi.
 
Konvensyen turut menyaksikan pengiktirafan projek AI-RKB terbaik hasil penilaian terhadap 19 kumpulan daripada 13 agensi. Johan disandang Speedy Squad 1, Unit OSC Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP); naib johan jatuh kepada Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang menerusi projek “AI Photo Booth”; manakala tempat ketiga dimenangi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dengan sistem penderiaan jauh satelit bagi memantau kesihatan pokok bandar.
 
Menerusi konvensyen ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan MPC berharap penggunaan AI dapat diperluas secara bertanggungjawab bagi terus memacu produktiviti perkhidmatan awam, agar reformasi dan usaha peningkatan produktiviti sektor awam terus memberi hasil yang boleh dirasai rakyat.

SUMBER: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI: 
Nama: Hanisah Mohd Ramli
Tel: 012-655 4909
E-mel: hanisah@mpc.gov.my

--BERNAMA

 
+