Festival Kota Selatan 2026 Serlah Keunikan Seni dan Warisan Johor

Selasa 29/09/2026

Table


Cukur Jambul antara adat istiadat yang diketengahkan menerusi persembahan pentas sempena Festival Kota Selatan 2026


SEGAMAT, 29 Sept (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Johor melalui Majlis Perbandaran Daerah Segamat serta Majlis Kebudayaan Negeri Johor menganjurkan Program Pelancongan Budaya: Festival Kota Selatan 2026 (FKS) dari 24 hingga 27 September 2026 di Dataran Segamat, Johor bermula pukul 9.00 pagi hingga 11.00 malam.
 
Memasuki penganjuran kali keenam, FKS 2026 menjadi platform mengetengahkan seni dan budaya tempatan. Penganjuran FKS 2026 turut menyokong usaha mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Johor 2026.
 
Sambutan terhadap Festival Kota Selatan 2026 amat menggalakkan dengan lebih 1,030 penyertaan direkodkan menerusi pelbagai aktiviti yang dianjurkan. Festival ini turut mencatatkan kehadiran seramai 85,043 orang pengunjung, sekali gus melepasi sasaran yang ditetapkan.
 
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB Tuan Pannir Selvam a/l Paliksina Siwalinggam, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri Johor. Turut hadir ialah YBrs. Encik Mohd Amran bin Mohd Haris, Ketua Pengarah JKKN dan YBrs. Encik Abd. Rashid bin Abdullah, Pengarah JKKN Johor.
 
Majlis Perasmian dan Malam Gala FKS 2026 dijayakan seramai 175 penggiat seni dan peserta persembahan yang menampilkan kepelbagaian kesenian menerusi persembahan Zapin, Ghazal, Silat, Kuda Kepang Patuh Syariah dan Kompang, selain mengetengahkan kesenian masyarakat Orang Asli Seletar, Cina, India, adat perkahwinan, berkhatan dan berendoi. Turut menjadi tumpuan ialah Teluk Belanga Fun Walk yang mendapat sambutan lebih 500 peserta.
 
YB Tuan Pannir Selvam a/l Paliksina Siwalinggam, berkata kekayaan budaya, sejarah dan warisan menjadi antara kekuatan Johor sebagai destinasi pelancongan. Beliau berkata Festival Kota Selatan mampu menarik pelancong serta merancakkan ekonomi setempat.
 
Sementara itu, Mohd Amran Mohd Haris berkata persembahan Kuda Kepang Patuh Syariah menjadi antara pengisian istimewa yang diketengahkan pada festival berkenaan, sekali gus menyumbang kepada usaha memelihara dan pelestarian kesenian tersebut.
 
FKS 2026 dirangka dengan pelbagai pengisian menarik antaranya Konsert Pentas Seni Johor x Festival Kota Selatan yang menampilkan Senario dan Amir Ukays, Yok Mangan Fest, Pertandingan Gubahan Sirih Junjung, Kompang Rentap Menyalu, Inspirasi Tari Johor, Pertandingan Lagu Irama Malaysia, Urumee Melam, Rentap Gasing Pangkah Terbuka Negeri Johor, Bicara Inspirasi Seni: Modul Kuda Kepang Patuh Syariah, Senam Seni 2.0, rewang memasak bubur kacang durian serta reruai pameran dan kaunter kerjaya.
 
Penganjuran FKS 2026 turut diperkukuh menerusi kerjasama strategik antara Majlis Kebudayaan Negeri Johor (MKNJ) dan Yayasan Johor Corporation (Yayasan JCorp) melalui program Jelajah Pentas Seni Johor. 

Dikeluarkan Oleh:
Unit Komunikasi Korporat
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara
Tel: 03-2614 8200  Faks: 03-2697 0786
Laman Sesawang: www.jkkn.gov.my  E-mel: ukk@jkkn.gov.my
Platform Media Sosial Rasmi JKKN:
Facebook: @Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dan @mysenibudaya
Instagram, Twitter & YouTube: Mysenibudaya 


SUMBER: Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:

Nama: Muhammad Zahiruddin bin Dzolkipli
Penolong Pegawai Penerangan
Unit Komunikasi Korporat JKKN
E-mel: zahiruddin@jkkn.gov.my
Tel: 017-3004801

Nama: Siti Sahara binti Usli
Pegawai Kebudayaan, JKKN Johor
E-mel: saharausli@jkkn.gov.my
Tel: 011-2800 0613 

--BERNAMA
+