Kajian Baharu TOURISE dan LIONS Advisory Mendedahkan Cara Kreativiti Mewujudkan Kelebihan Komersial bagi Pertumbuhan Destinasi

Jumaat 23/10/2026

Table
 Kajian Baharu TOURISE dan LIONS Advisory Mendedahkan Cara Kreativiti Mewujudkan Kelebihan Komersial bagi Pertumbuhan Destinasi 

· 50% pengembara tidak dapat mengingati iklan terakhir yang mereka lihat untuk syarikat pelancongan atau destinasi, manakala 7% lagi tidak pasti
· Sektor pelancongan berdepan jurang pelaburan pemasaran sebanyak $11 bilion: untuk mengembalikan share of voice (SOV) kategori tersebut kepada 3%, perbelanjaan pengiklanan global bagi sektor pelancongan dan pengangkutan perlu mencecah $43.4 bilion menjelang tahun 2027
· Sebanyak 63% keterlihatan dalam Model Bahasa Besar (LLM) didorong oleh ekuiti jenama jangka panjang, berbanding 22% daripada aktiviti pemasaran semasa dan 11% daripada jumlah petikan
 
RIYADH, Arab Saudi, 23 Okt (Bernama-BUSINESS WIRE) -- TOURISE, platform terkemuka dunia dalam membentuk masa depan pelancongan global, hari ini menerbitkan IDEAS That Travel, laporan baharu yang dibangunkan dengan kerjasama LIONS Advisory. Kajian tersebut mendapati bahawa walaupun permintaan terhadap perjalanan semakin meningkat, jenama pelancongan kini bersaing untuk mendapatkan perhatian dalam persekitaran yang semakin berpecah, dipacu sosial dan dipengaruhi AI, dengan keterlihatan semata-mata tidak lagi mencukupi untuk meraih keutamaan pengguna serta memacu pertumbuhan.

“Pengembara kini menemui destinasi pada peringkat yang lebih awal dan menerusi lebih banyak saluran berbanding sebelum ini, daripada suapan media sosial dan pencipta kandungan hinggalah komuniti dan alat AI. Keadaan ini meningkatkan jangkaan terhadap jenama pelancongan. Kreativiti, keunikan dan kepercayaan semakin menjadi faktor utama dalam cara destinasi meraih perhatian, membina keutamaan dan kekal relevan sepanjang keseluruhan perjalanan pengembara,” kata Yang Amat Mulia Ahmed Al Khateeb, Menteri Pelancongan Arab Saudi dan Pengerusi TOURISE.

IDEAS That Travel berasaskan tinjauan dalam talian terhadap 8,374 pengguna di 13 pasaran yang telah melakukan perjalanan antarabangsa dalam tempoh 12 bulan sebelumnya, yang dijalankan pada Disember 2025, di samping temu bual mendalam dengan pemimpin industri global serta analisis penyelidikan pemasaran dan kajian kes LIONS.

Individu yang ditemu bual termasuk Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A dan Pengasas Bersama AirAsia; David Droga, Naib Pengerusi Accenture; Gonzalo Brujó, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengerusi Global Interbrand; serta Joanne Chehab, Ketua Penyelesaian Perniagaan Global MENA di ByteDance / TikTok.

Peluangnya besar, namun begitu juga persaingannya. Sebanyak 39% pengembara menjangkakan akan melakukan lebih banyak perjalanan dalam tempoh 12 bulan akan datang berbanding pada tahun 2025, meningkat kepada 51% dalam kalangan Gen Z dan 47% dalam kalangan Milenial. Namun, pemasaran pelancongan masih menghadapi kesukaran untuk kekal diingati dan tampil berbeza: 60% pengembara berkata iklan pelancongan kelihatan serupa, 43% mendapati sukar untuk membezakan antara jenama pelancongan, manakala 50% tidak dapat mengingati iklan pelancongan terakhir yang mereka lihat dan 7% lagi tidak pasti.

Pada masa yang sama, 55% pengembara telah menggunakan AI dalam perancangan percutian dan 62% menjangkakan akan menggunakannya dengan lebih kerap sepanjang tahun akan datang. Laporan tersebut berhujah bahawa pertumbuhan masa depan akan bergantung pada keupayaan jenama membina relevansi sebelum pengembara memasuki corong tempahan, dan melakukannya secara konsisten merentasi penemuan yang dipacu manusia mahupun AI.

“Kreativiti ialah satu kelebihan komersial,” kata Paul Coxhill, Ketua Pegawai Operasi & Presiden, LIONS. “Pelbagai kajian empirikal membuktikan peranan kreativiti dalam pertumbuhan perniagaan. Sektor pelancongan merupakan medan yang sangat sesuai untuk keberkesanan kreatif. Hanya segelintir kategori yang berkait begitu rapat dengan emosi, pengalaman dan ingatan. Namun, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, sektor ini telah menyaksikan perubahan besar dalam cara individu menemui, menempah dan berinteraksi dengan destinasi. Walaupun permintaan semakin meningkat, begitu juga tahap persaingan dan kerumitan.”

Laporan tersebut turut mengenal pasti cabaran keterlihatan yang semakin melebar. Perbelanjaan pengiklanan global bagi sektor pelancongan dan pengangkutan meningkat semula kepada anggaran $32.4 bilion pada tahun 2025, namun share of voice kategori itu masih berada di bawah paras sebelum pandemik. Untuk mengembalikannya kepada 3%, pelaburan perlu mencecah $43.4 bilion menjelang tahun 2027, iaitu peningkatan sebanyak $11 bilion dalam tempoh dua tahun. Laporan itu menegaskan bahawa penyelesaiannya bukan sekadar meningkatkan perbelanjaan, tetapi membuat pelaburan yang lebih bijak dalam persekitaran sosial, pencipta kandungan, video dan hiburan, tempat niat untuk melancong semakin terbentuk.

Berdasarkan latar belakang ini, IDEAS That Travel mengemukakan rangka kerja praktikal untuk jenama pelancongan berasaskan lima pemacu keberkesanan: Pelaburan, Keunikan, Penglibatan, Keaslian dan Kelancaran. Secara bersama, kelima-lima pemacu ini direka untuk membantu jenama membina keterlihatan, mewujudkan perkaitan yang mudah diingati, meraih perhatian menerusi penceritaan, memperkukuh kepercayaan melalui pengalaman yang diyakini serta menghubungkan perjalanan pelanggan merentasi titik sentuh fizikal dan digital.

Kajian kes daripada Airbnb, Tourism Australia, Visit Sweden, Visit North Carolina dan Southwest Airlines menunjukkan cara prinsip-prinsip tersebut boleh diterapkan dalam amalan. Laporan itu menyimpulkan bahawa jenama pelancongan yang berada pada kedudukan terbaik untuk pertumbuhan masa depan bukan sahaja akan bersaing untuk mendapatkan tempahan, tetapi juga perhatian dan relevansi budaya, dengan menghubungkan penceritaan, pencipta kandungan, AI, media dan pengalaman sebenar ke dalam satu sistem yang koheren.

Laporan penuh kini tersedia di TOURISE.com. 

Maklumat tentang TOURISE

TOURISE ialah platform terunggul dunia untuk mentakrifkan semula dan membentuk masa depan pelancongan.

Diterajui oleh Kementerian Pelancongan Arab Saudi, TOURISE Summit yang julung kali diadakan berlangsung pada 11–13 November 2025 di Riyadh. TOURISE menghimpunkan tokoh berwawasan daripada komuniti kerajaan, perniagaan, pelaburan, pelancongan dan teknologi untuk merealisasikan inisiatif berimpak tinggi serta urus niaga transformatif yang akan membentuk semula industri dan membangunkan sektor pelancongan yang mampan, saksama dan berorientasikan masa hadapan.

Sebagai platform sepanjang tahun, TOURISE menghimpunkan pemimpin yang berkongsi visi untuk membentuk ekonomi pengembara. Di sinilah masa depan pelancongan untuk 50 tahun akan datang dibentuk.

Untuk maklumat lanjut tentang TOURISE, sila layari www.TOURISE.com.

Maklumat tentang LIONS Advisory

LIONS Advisory ialah cabang perundingan LIONS yang membantu pemimpin pemasaran bercita-cita tinggi menjadikan pemasaran sebagai pemacu pertumbuhan perniagaan menerusi penyelidikan, penanda aras, strategi dan keberkesanan kreatif. LIONS merupakan sebahagian daripada Informa plc.

Teks bahasa sumber asal pengumuman ini adalah versi rasmi yang sahih. Terjemahan yang disediakan hanya sebagai penyesuaian sahaja, dan hendaklah di silang-rujuk dengan teks bahasa sumber, yang satu-satunya versi teks dengan kesan undang-undang.

Galeri Multimedia/Foto Sedia Ada:
https://www.businesswire.com/news/home/20261021160141/en

Contacts
Untuk maklumat lanjut hubungi: media@TOURISE.com
 
Sumber: TOURISE 

--BERNAMA 
+