Jumaat 23/10/2026
FUZHOU, China, 23 Okt., 2026 /Xinhua-AsiaNet/-- Persidangan Peralatan Maritim Sedunia 2026 telah berlangsung di Fuzhou, China, dari 16 hingga 19 Oktober, dengan bertemakan “Hijau, Pintar dan Kolaboratif: Mengemudi Bersama Lautan Biru”.
Lebih tiga dekad lalu, Fuzhou (ibu negeri bagi Wilayah Fujian) mendahului wilayah lain di China dengan melaungkan seruan untuk “bergerak ke arah laut”, sekali gus mengintegrasikan visi strategik “Fuzhou Maritim” ke dalam pelan induk pembangunan bandar itu. Sebagai sebuah zon perintis kebangsaan bagi pembangunan ekonomi marin, nilai keluaran kasar marin (GOP) Fuzhou secara konsisten menduduki tempat pertama di Wilayah Fujian dan di antara yang tertinggi di seluruh China. Sepanjang tempoh Rancangan Lima Tahun Ke-14, sektor ini mencatatkan pertumbuhan purata tahunan sebanyak 6.9% dan menyumbang lebih 20% secara purata setiap tahun kepada pertumbuhan ekonomi bandar berkenaan.
Fuzhou terus menerus melaksanakan pembaharuan terhadap mekanisme penyediaan institusi dengan memudahkan prosedur kelulusan bagi penggunaan kawasan laut, menjadi perintis dalam pelaksanaan projek rintis pendaftaran hak milik bagi platform akuakultur laut dalam, serta menyediakan dasar kewangan yang menyokong sektor ini. Langkah-langkah tersebut membantu menangani kekangan operasi, termasuk kos pembinaan yang tinggi dan kesukaran untuk mendapatkan pembiayaan bagi peralatan akuakultur luar pesisir berskala besar.
Dengan menjadikan inovasi teknologi sebagai pemacu, Fuzhou giat membangunkan “ladang ternakan marin pintar”. Penggunaan platform boleh tenggelam, robot pembersih jaring dan peralatan pemeriksaan di bawah permukaan air membolehkan bandar itu mengatasi masalah pengumpulan organisme marin pada permukaan peralatan yang terendam di luat. Melalui penyepaduan pelampung pemantauan lautan, stesen pengukur pasang surut, rangkaian 5G, komunikasi satelit dan sistem pengecaman berasaskan kecerdasan buatan (AI), Fuzhou turut membangunkan rangkaian penderiaan lautan bersepadu yang menghubungkan daratan dengan laut. Inisiatif ini bukan sahaja mengurangkan kos tenaga kerja dengan ketara, malah memperkukuh keupayaan amaran awal dan perlindungan daripada taufan serta kejadian cuaca ekstrem.
Kerjasama antarabangsa merupakan tonggak penting dalam pembangunan ekonomi biru Fuzhou. Di Mauritania, Fuzhou Hong Dong Fishery telah membangunkan pangkalan bersepadu perikanan laut jauh terbesar milik China di luar negara, dengan jumlah pelaburan AS$300 juta dan mewujudkan lebih 2,000 peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan. Sementara itu, projek “Dua Negara, Dua Taman Perindustrian” China-Indonesia, yang dirancang meliputi kawasan seluas 61 kilometer persegi dan menempatkan lebih 250 perusahaan perindustrian yang telah beroperasi, muncul sebagai sebuah platform kerjasama unggulan di bawah Inisiatif Belt and Road. Projek ini menghubungkan sektor perikanan marin, pemprosesan makanan dan rantaian bekalan rentas sempadan.
Dalam usaha memperluas kegiatan dari perairan pesisir ke kawasan luar pesisir, Fuzhou berjaya mengubah akuakultur laut dalam daripada sekadar “medan percubaan” kepada sebuah “model pembangunan yang standard” dan boleh dicontohi. Seiring peluasan kegiatan dari luar pesisir ke laut lepas, bandar itu turut memacu kerjasama antarabangsa ke arah penyepaduan menyeluruh merangkumi “keseluruhan rantaian industri”, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai sebuah model perintis kebangsaan dalam pembangunan perikanan moden. Pada 2025, nilai pengeluaran sektor perikanannya buat julung kali melepasi RMB 70 bilion, sekali gus mengekalkan kedudukan pertama di seluruh China selama 31 tahun berturut-turut. Menjadikan persidangan berprestij ini sebagai satu lagi mercu tanda penting, Fuzhou kini melangkah lebih jauh dalam meneroka potensi laut demi membina masa depan sektor maritim yang lebih gemilang.
SUMBER: Persidangan Peralatan Maritim Sedunia 2026
--BERNAMA