Satu babak daripada persembahan langsung The Stargazers. HARBIN, China, 26 Okt., 2026 /Xinhua-AsiaNet/--
Baru-baru ini, The Stargazers, sebuah drama panoramik berskala besar yang dihasilkan oleh Institut Teknologi Harbin (HIT) hasil usaha selama tiga tahun, telah dipentaskan sebanyak tiga malam berturut-turut di Harbin. Pementasan ini menyentuh hati orang ramai dengan memaparkan semangat pendidik dan ahli sains. Gabungan pelakon profesional serta pensyarah dan mahasiswa universiti di atas satu pentas telah menghidupkan kisah tokoh-tokoh saintis dan pendidik yang mengabdikan diri di Timur Laut China; mereka mendidik pelajar di samping berusaha gigih untuk mencapai kejayaan besar dalam penyelidikan saintifik.
Mereka berkongsi satu gelaran yang sama — "800 Tonggak Fakulti" HIT. Pada tahun 1950-an, lebih daripada 800 orang tenaga pengajar muda dan pelajar dari seluruh pelosok China berkumpul di Institut Teknologi Harbin. Dengan purata usia hanya 27.5 tahun, kumpulan pendidik ini memikul tanggungjawab membangunkan bidang pengajian dan memperkukuhkan pendidikan, di samping melahirkan bakat-bakat yang amat diperlukan untuk menyokong usaha perindustrian China yang baharu.
Tanpa memaparkan tokoh wira dalam gambaran yang stereotaip, drama ini menyelami dengan teliti latar sejarah serta sisi kemanusiaan mereka. “Apabila berdiri di atas pentas ini, kami bukan sekadar menghidupkan kembali detik-detik luar biasa yang dilalui pendahulu kami, malah cuba menghayati dan menyampaikan keyakinan serta pegangan teguh yang dikongsi oleh satu generasi,” kata Zou Mingye, seorang pelajar dari Sekolah Seni Bina dan Reka Bentuk.
Kisah "800 Tonggak Fakulti" HIT itu, yang memilih untuk menetap di wilayah utara China dan berkhidmat kepada negara melalui sains dan teknologi, menjadi satu gambaran mikro yang jelas tentang perkembangan pendidikan tinggi di China yang baharu, khususnya pendidikan tinggi dalam bidang kejuruteraan. Dengan mengetengahkan tema "mencerap bintang" dan "pewarisan", drama ini menyampaikan gagasan "mencerap bintang sambil berakar di bumi" — terus melangkah dalam lumpuh dan menempuh jerih payah, namun tetap mendongak mencerap bintang di langit. Setiap generasi hadir sebagai insan yang mendongak mencerap bintang, dan akhirnya menjadi sumber inspirasi yang dipandang tinggi oleh generasi berikutnya.
Sastera dan seni menjadi suara yang meniup semangat zaman serta wadah yang membawa nilai dan aspirasi masyarakat. Pemerhati menyifatkan The Stargazers sebagai sebuah karya yang berjaya mengimbangi kedalaman mesej dengan daya tarikan artistik. Menerusi penulisan skrip yang bermutu tinggi serta persembahan visual pentas yang mengesankan, drama ini menyampaikan semangat ahli sains dan pendidik secara bersahaja, membolehkan nilai tersebut meresap ke dalam jiwa penonton secara halus di sebalik keindahan seni persembahan.
Drama ini turut disiarkan secara langsung menerusi platform penstriman media baharu dan ditonton oleh kira-kira 500,000 penonton dalam talian.
SUMBER: Harbin Institute of Technology (HIT)
--BERNAMA