Terrestar Solutions bergabung dengan Equatys, memperluaskan infrastruktur satelit bersama bagi perkhidmatan terus-ke-peranti global serta ketersambungan MSS termaju sambil mengekalkan kedaulatan negara

Jumaat 30/10/2026

 
  • Space42 dan Viasat, pengasas bersama Equatys serta Terrestar Solutions menandatangani memorandum persefahaman untuk membangunkan rangka kerja kebolehoperasian terbuka berasaskan piawaian antara Equatys dan konstelasi satelit CaStar milik Terrestar 
  • Setiap pengendali infrastruktur akan terus mengekalkan pemilikan dan kawalan ke atas aset angkasa lepas, aset darat serta pelanggan masing-masing, dengan CaStar beroperasi sebagai sistem berdaulat Kanada sambil berinteraksi dengan Equatys di peringkat global
  • Rangka kerja infrastruktur bersama ini menggabungkan aset yang dikawal di peringkat negara dengan infrastruktur satelit global yang digunakan bersama, sekali gus membolehkan skala yang lebih besar dan manfaat ekonomi serta penyediaan perkhidmatan terus ke peranti generasi baharu serta perkhidmatan satelit mudah alih termaju untuk negara, perusahaan dan pengguna di seluruh dunia

OTTAWA, Ontario, 30 Okt (Bernama-GLOBE NEWSWIRE) -- Space42 (ADX: SPACE42), syarikat SpaceTech dipacu AI yang berpangkalan di UAE, bersama Viasat, Inc. (NASDAQ: VSAT), peneraju global dalam komunikasi satelit dan komunikasi selamat, serta Terrestar Solutions Inc., satu-satunya pengendali perkhidmatan satelit mudah alih berdaulat di Kanada, hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk bekerjasama dalam membangunkan rangka kerja kebolehoperasian antara yang terbuka dan berasaskan piawaian antara CaStar, konstelasi satelit orbit Bumi rendah (LEO) Kanada yang dirancang oleh Terrestar dengan Equatys, platform infrastruktur bersama global yang dirancang bagi perkhidmatan terus-ke-peranti (D2D) serta Perkhidmatan Satelit Mudah Alih (MSS) termaju yang lain. MoU tersebut ditandatangani bersempena lawatan rasmi Yang Teramat Mulia Sheikh Khaled bin Mohamed bin Zayed Al Nahyan, Putera Mahkota Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu, ke Kanada, Yang Teramat Mulia menghadiri perbincangan dengan Perdana Menteri Kanada, Yang Amat Berhormat Mark Carney.

Rangka kerja ini bertujuan membolehkan kedua-dua sistem tersebut, bersama-sama segmen daratan masing-masing, beroperasi bersama sebagai infrastruktur rangkaian bukan daratan (NTN) berbilang sistem yang diselaraskan, sementara setiap pengendali mengekalkan pemilikan serta kawalan penuh ke atas aset masing-masing. Pendekatan ini direka bagi membolehkan peluasan skala global tanpa menjejaskan kedaulatan negara terhadap infrastruktur komunikasi kritikal.

MoU ini memajukan model perkongsian yang menggabungkan kedudukan Terrestar sebagai penyedia MSS yang dikawal dan dikendalikan oleh Kanada dengan peranan Equatys sebagai infrastruktur global bersama yang menyokong kebolehoperasian serta operasi berbilang penyewa. Melalui model ini, perkhidmatan terus ke peranti (D2D) dan perkhidmatan satelit mudah alih termaju dapat disediakan dalam persekitaran rangkaian 5G. Kerjasama antara pengasas Equatys dan Terrestar merupakan contoh pertama pendekatan “sovereign shell” Equatys yang menggabungkan sistem komersial global dengan konstelasi satelit yang dioptimumkan untuk negara atau wilayah tertentu, yang masing-masing dilengkapi dengan segmen daratan khusus dan dikendalikan oleh pengendali tempatan yang dipercayai, serta dibangunkan berasaskan piawaian yang sama bagi memastikan kebolehoperasian penuh antara sistem-sistem tersebut.

Daripada bergantung kepada penyepaduan proprietari titik ke titik, pihak-pihak terbabit berhasrat untuk mewujudkan lapisan kebolehoperasian bersama yang terbuka dan berasaskan piawaian. Pendekatan ini dijangka dapat memupuk kerjasama, mempercepat penggunaan, mengurangkan perbelanjaan modal dan perbelanjaan operasi, di samping membolehkan penyelarasan yang lebih berkesan bagi kuasa, pancaran isyarat, kapasiti dan akses kepada gerbang daratan dalam kalangan sistem yang terlibat.

Pengumuman hari ini dibuat susulan pemeteraian perjanjian mengikat antara Space42 dan Viasat pada September 2026 untuk menubuhkan Equatys sebagai entiti pengasas bersama, disokong oleh komitmen ekuiti gabungan yang bernilai sehingga USD 1 bilion.

Ketua Pengarah Space42, Karim Michel Sabbagh, berkata: “MoU ini menunjukkan bagaimana sistem satelit berdaulat dan infrastruktur global bersama boleh berfungsi secara saling melengkapi untuk menyediakan perkhidmatan D2D di peringkat global. Terrestar mengekalkan kedudukannya sebagai pengendali MSS bebas Kanada sambil meneroka peluang untuk menyertai ekosistem yang lebih luas. Kami memperkenalkan model yang memperkukuh keupayaan nasional melalui kerjasama antarabangsa, bukannya meletakkan kedua-duanya sebagai saingan antara satu sama lain.”

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Viasat, Mark Dankberg, berkata: “Dengan memajukan seni bina terbuka global berasaskan piawaian melalui rangka kerja kebolehoperasian dan model infrastruktur bersama, kami terus memperluaskan ekosistem yang berada pada kedudukan unik untuk memacu penerimagunaan secara besar-besaran dalam pasaran D2D dan MSS generasi baharu yang berkembang pesat. Kerjasama dengan Terrestar ini menyerlahkan pendekatan inovatif Equatys dalam menyediakan asas bagi pilihan dan kebolehoperasian, di samping menawarkan manfaat ekonomi yang menarik hasil kecekapan geografi dan spektrum kepada pengendali angkasa global, serantau dan nasional yang terlibat. Equatys komited untuk bekerjasama merentas industri angkasa global serta dengan ekosistem yang lebih luas, termasuk pengendali rangkaian mudah alih (MNO), pengeluar peralatan asal (OEM), pembekal cipset, pihak pengawal selia dan badan piawaian.”

Jacques Leduc, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Terrestar Solutions, berkata: “Masa depan ketersambungan satelit mudah alih tidak akan dibina oleh negara atau konstelasi satelit yang bertindak secara bersendirian. Sebaliknya, ia akan dibentuk melalui rangkaian terbuka berasaskan piawaian yang menggabungkan kedaulatan negara dengan capaian global, sekali gus membolehkan kami bersaing pada skala yang lebih besar. Sambil bekerjasama rapat dengan ekosistem angkasa Kanada, CaStar merupakan sumbangan Kanada ke arah masa depan tersebut. Ia dikawal oleh Kanada, berhubung secara global dan direka untuk beroperasi bersama negara kuasa sederhana lain seperti Kanada. Kami menantikan peluang untuk bersama-sama membina rangkaian yang sememangnya global dengan rakan kongsi kami di Space42 dan Viasat. Aspirasi Terrestar adalah untuk mengintegrasikan rangkaian satelit dan rangkaian mudah alih daratan secara lancar bagi membawa ketersambungan kepada peranti harian. Matlamat kami adalah untuk menjadikan ketersambungan satelit mudah alih satu realiti buat setiap rakyat Kanada, tidak kira di mana mereka tinggal, bekerja atau mengembara di seluruh dunia. MoU ini hanyalah permulaan.”

His Excellency Dr. Thani bin Ahmed Al Zeyoudi, Menteri Perdagangan Luar Negeri, berkata: “Hubungan perdagangan dan pelaburan yang semakin kukuh antara UAE dan Kanada, yang dizahirkan menerusi Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif (Comprehensive Economic Partnership Agreement) yang baharu ditandatangani, sedang meletakkan asas bagi kerjasama jangka panjang yang saling menguntungkan dalam sektor-sektor kritikal. Memorandum persefahaman antara Space42, Viasat dan Terrestar Solutions merupakan contoh jelas pendekatan ini. Ia menghimpunkan syarikat dari UAE, Amerika Syarikat dan Kanada untuk membangunkan infrastruktur bersama berasaskan piawaian bagi menyokong generasi seterusnya ketersambungan satelit. Kerjasama seumpama ini mencerminkan visi UAE ke arah integrasi ekonomi yang lebih mendalam, di mana perkongsian memacu inovasi yang mampu merentas sempadan, berkembang dengan pantas dan menarik modal jangka panjang.”

Rangka Kerja Perkongsian

MoU ini mencerminkan peralihan daripada sistem satelit tertutup yang dikendalikan oleh satu pengendali kepada model terbuka berasaskan piawaian, yang membolehkan konstelasi satelit bebas beroperasi secara saling berhubung sebagai infrastruktur NTN berbilang sistem yang diselaraskan. Di bawah rangka kerja yang dicadangkan, pihak-pihak terbabit akan mewujudkan lapisan kebolehoperasian piawai bersama yang menghubungkan segmen angkasa lepas dan segmen darat masing-masing. Lapisan ini akan bergantung pada antara muka yang diterbitkan dan neutral vendor, selaras dengan spesifikasi NTN 3GPP, rangka kerja perayauan dan saling hubungan GSMA serta piawaian industri lain yang diiktiraf, sekali gus mengelakkan keterikatan kepada penyelesaian proprietari.

Setiap pengendali yang mengambil bahagian akan mengekalkan kawalan ke atas aset angkasa lepas dan daratan, kebenaran operasi serta hubungan pelanggan masing-masing dan hanya berinteraksi dengan sistem lain melalui antara muka yang dipersetujui. Dalam lingkungan tersebut, setiap sistem akan menyediakan sumber dan keupayaan yang telah ditetapkan, termasuk kuasa, rasuk isyarat dan akses gerbang kepada sistem lain. Penyediaan ini akan disokong oleh mekanisme bersama untuk permintaan sumber, peruntukan, pemantauan, perakaunan penggunaan dan penyelesaian.

Rangka kerja ini juga direka bentuk untuk menghormati aspek kedaulatan dan keselamatan negara. Infrastruktur sistem yang menyediakan perkhidmatan dalam sesuatu bidang kuasa boleh ditempatkan dan dikendalikan bagi memenuhi keperluan peraturan tempatan, keselamatan serta akses yang sah di sisi undang-undang. Di Kanada, sebagai contoh, konstelasi satelit CaStar akan beroperasi sebagai sistem nasional yang berdaulat, dengan gerbang dan rangkaian daratan Kanada mengekalkan data domestik dalam bidang kuasa Kanada, sambil beroperasi bersama Equatys pada skala global.

Akhir sekali, rangka kerja ini direka bentuk agar boleh diperluas bagi menampung penyertaan sistem satelit tambahan, pengendali rangkaian mudah alih dan penyedia perkhidmatan dari semasa ke semasa, serta terus berkembang seiring dengan keluaran piawaian industri yang seterusnya.

Perihal Equatys
Equatys ialah platform infrastruktur angkasa lepas dan daratan bersama yang bebas serta neutral untuk pemegang lesen perkhidmatan terus-ke-peranti dan perkhidmatan satelit mudah alih termaju. Ia diasaskan bersama oleh Space42 dan Viasat menerusi perjanjian mengikat yang disokong oleh komitmen ekuiti gabungan sehingga USD 1 bilion. Beroperasi berasaskan model Tower Company, platform ini direka untuk menawarkan manfaat ekonomi dan prestasi yang menarik kepada pengendali global, serantau dan nasional yang memiliki lesen MSS dan/atau SCS yang berkaitan, di samping menyediakan pilihan, kebolehoperasian dan akses NTN yang berdaya maju dari segi ekonomi kepada peserta ekosistem. Dengan pertambahan pangkalan pengguna melalui akses kepada spektrum yang diselaraskan secara global, Equatys berhasrat untuk menjana pertumbuhan berterusan dan nilai mampan kepada pemegang saham. Platform ini dibangunkan berasaskan piawaian NTN 3GPP.
Untuk maklumat lanjut, layari www.equatys.com

Perihal SPACE42
Space42 (ADX: SPACE42) ialah syarikat SpaceTech berpangkalan di UAE yang dipacu AI dan menggabungkan komunikasi satelit dengan risikan geospatial bagi menghasilkan pemahaman yang lebih mendalam tentang Bumi dari angkasa lepas. Syarikat ini beroperasi melalui dua unit perniagaan. Space Services mengendalikan armada satelit geopegun, termasuk rangkaian mudah alih Thuraya, yang menyediakan ketersambungan selamat merentasi daratan, lautan dan ruang udara di lebih 120 negara. Smart Solutions pula mengendalikan konstelasi satelit radar apertur sintetik (SAR) di orbit Bumi rendah yang meliputi 90% daripada populasi dunia, serta memanfaatkan AI untuk menukarkan imejan tersebut kepada cerapan yang boleh digunakan untuk tindakan lanjut. Space42 menyediakan perkhidmatan kepada kerajaan dan perusahaan dalam sektor pertahanan dan keselamatan, tenaga, pemuliharaan alam sekitar serta mobiliti autonomi. Antara pemegang saham utamanya ialah G42, Mubadala dan International Holding Company (IHC).

Untuk maklumat lanjut, layari: space42.ai
LinkedIn: Space42ai
Instagram: Space42ai
X: Space42ai

Perihal Viasat
Viasat ialah sebuah syarikat komunikasi global yang percaya bahawa semua orang dan segala-galanya di dunia boleh dihubungkan. Dengan pejabat di 24 buah negara di seluruh dunia, misi kami adalah untuk membentuk cara pengguna, perniagaan, kerajaan dan tentera berkomunikasi serta berhubung. Viasat sedang membangunkan rangkaian komunikasi global yang komprehensif untuk menyediakan sambungan berkualiti tinggi, boleh dipercayai, selamat, mampu milik dan pantas yang memberi impak positif kepada kehidupan manusia tidak kira sama ada mereka berada di darat, di udara atau di laut, sambil membina masa hadapan angkasa lepas yang mampan. Pada Mei 2023, Viasat telah menyelesaikan pengambilalihan Inmarsat, menggabungkan pasukan, teknologi dan sumber kedua-dua syarikat untuk mewujudkan rakan komunikasi global baharu. Ketahui lebih lanjut di www.viasat.com, Viasat News Room atau ikuti kami di LinkedIn, X, Instagram, Facebook, Bluesky, Threads, dan YouTube.

Perihal Terrestar Solutions
Terrestar Solutions Inc. ialah satu-satunya pengendali satelit mudah alih yang dikawal oleh Kanada yang sedang bersaing untuk membawa perkhidmatan satelit terus-ke-peranti kepada telefon pintar dan peranti Internet Benda (IoT), sekali gus menjadikan komunikasi di mana-mana lokasi di Kanada suatu realiti. Terrestar komited dalam memupuk ekosistem rangkaian yang sentiasa berkembang, yang berasaskan piawaian dan terbuka, membolehkan Operator Rangkaian Mudah Alih menyampaikan perkhidmatan komunikasi di mana-mana. Dengan sokongan satelit EchoStar T1, infrastruktur rangkaian daratnya dan 40MHz spektrum mudah alih-satelit jalur-S, Terrestar menghubungkan warga Kanada dari hampir mana-mana sahaja di negara ini, walaupun di rantau terpencil di Kanada, melalui Strigo Mobile Satellite Service (MSS). Perkhidmatan Strigo juga menyokong organisasi bukan untung dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Pertama, membuktikan rasa tanggungjawab Syarikat yang kuat terhadap kebajikan dan kemajuan komuniti yang dilayaninya. Konstelasi satelit orbit Bumi rendah (LEO) CaStar yang bakal dilancarkan pula akan menyokong evolusi perkhidmatan satelit ke arah pengalaman komunikasi yang menyerupai rangkaian selular merentasi seluruh kawasan daratan Kanada. Untuk maklumat lanjut, layari terrestarsolutions.ca atau ikuti mereka di LinkedIn.

Hubungan Media
Media.relations@equatys.com

Space42
media@space42.ai

Viasat
PR@viasat.com

Terrestar Solutions
Marie-Eve Francoeur
media@terrestar.ca

Notis Undang-Undang dan Kenyataan Berjaga-jaga Berhubung Maklumat Berpandangan Ke Hadapan

Pengumuman ini mengandungi kenyataan berpandangan ke hadapan yang berasaskan jangkaan dan andaian semasa mengenai peristiwa masa hadapan, yang tertakluk kepada perlindungan undang-undang (safe harbor provisions) di bawah Securities Act 1933 dan Securities Exchange Act 1934 Amerika Syarikat. Kenyataan ini, yang dikenal pasti melalui istilah seperti “menjangkakan”, “akan”, “mengantisipasi”, “merancang”, “direka untuk”, “menyasarkan” atau ungkapan lain yang seumpamanya, tertakluk kepada pelbagai risiko dan ketidakpastian serta mungkin terbukti tidak tepat. Kenyataan berpandangan ke hadapan tersebut termasuk, antaranya, kenyataan yang merujuk kepada penubuhan Equatys; masa dan jumlah sumbangan ekuiti masing-masing pihak yang terlibat; penyediaan perkhidmatan D2D global dan perkhidmatan satelit mudah alih termaju, termasuk masa pelancaran komersialnya; pemerolehan, reka bentuk, pembuatan, pelancaran dan penempatan konstelasi satelit generasi pertama Equatys serta rangkaian darat yang berkaitan; reka bentuk, model perniagaan, ciri, prestasi dan manfaat platform Equatys; rangka kerja pelaburan termasuk manfaat, risiko dan pulangan yang dijangkakan; memuktamadkan perjanjian muktamad termasuk pemenuhan keperluan kawal selia dan syarat penutupan yang lain; serta rancangan, objektif dan strategi bagi operasi masa hadapan. Pembaca dinasihatkan bahawa keputusan sebenar mungkin berbeza dengan ketara daripada yang dinyatakan dalam mana-mana kenyataan berpandangan ke hadapan tersebut. Faktor yang boleh menyebabkan keputusan sebenar berbeza termasuk risiko dan ketidakpastian berkaitan penubuhan Equatys dan pemuktamadan perjanjian muktamad, termasuk kegagalan memperoleh kelulusan kawal selia yang diperlukan; kegagalan memenuhi syarat penutupan mengikut tempoh yang ditetapkan atau secara keseluruhannya; keupayaan pihak-pihak terbabit untuk memenuhi komitmen ekuiti masing-masing; risiko yang berkaitan dengan pembinaan, pelancaran dan pengoperasian satelit, termasuk kesan sebarang anomali, kegagalan pelancaran, operasi atau penempatan, atau kemerosotan prestasi satelit; perubahan dalam hubungan dengan pelanggan utama, pembekal atau rakan ekosistem, atau perubahan keadaan kewangan mereka; keupayaan untuk berjaya membangunkan, memperkenalkan dan memasarkan teknologi, produk serta perkhidmatan baharu; peningkatan tahap persaingan dalam pasaran sasaran; keupayaan Equatys untuk melaksanakan pelan perniagaannya dengan berjaya dalam tempoh yang dijangkakan atau sama sekali; risiko kawal selia; serta risiko lain yang secara amnya menjejaskan industri komunikasi dan D2D. Di samping itu, sila rujuk faktor risiko yang dinyatakan dalam pemfailan Viasat kepada Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Amerika Syarikat (SEC), yang tersedia di www.sec.gov, termasuk Laporan Tahunan terkini Viasat melalui Borang 10-K dan Laporan Suku Tahun melalui Borang 10-Q. Pembaca dinasihatkan supaya tidak terlalu bergantung pada mana-mana kenyataan berpandangan ke hadapan yang hanya sah setakat tarikh kenyataan tersebut dibuat. Pihak-pihak yang terlibat tidak mempunyai sebarang kewajipan untuk menyemak semula atau mengemas kini mana-mana kenyataan berpandangan ke hadapan atas apa jua alasan.

Foto yang mengiringi pengumuman ini tersedia di:
https://www.globenewswire.com/NewsRoom/AttachmentNg/ba97aa0a-966f-446f-9712-3e92618092ab
https://www.globenewswire.com/NewsRoom/AttachmentNg/5d62d71c-0bc0-44f9-82b9-9e1ec8b44d0f

SUMBER: Space42 PLC

--BERNAMA

 
+