Keputusan Peperiksaan Cambridge International AS & A Level Sesi Jun Akan Diumumkan Lebih Awal Mulai Tahun 2027

Rabu 04/11/2026

Keputusan peperiksaan Cambridge International AS & A Level sesi Jun akan diumumkan dua minggu lebih awal

Memberikan lebih banyak masa kepada pelajar antarabangsa untuk mengesahkan tawaran tempat di universiti, memohon visa dan mengatur perjalanan
 

CAMBRIDGE, England, 4 Nov (Bernama-BUSINESS WIRE) -- Pelajar yang menduduki peperiksaan Cambridge International AS & A Levels akan menerima keputusan peperiksaan sesi Jun hampir dua minggu lebih awal mulai 2027. Keputusan peperiksaan sesi Jun 2027 akan diumumkan pada 28 Julai 2027, menurut pengumuman yang dibuat hari ini oleh kumpulan International Education di Cambridge University Press & Assessment (Cambridge).

Perubahan ini dibuat susulan maklum balas daripada pihak sekolah, pelajar dan keluarga bahawa pengumuman keputusan lebih awal akan memberikan manfaat praktikal yang ketara. Pengumuman keputusan lebih awal memberikan lebih banyak masa kepada pelajar untuk mengesahkan tawaran tempat di universiti, melengkapkan proses pendaftaran, memohon visa dan mengatur perjalanan. Perubahan tarikh ini juga membolehkan pelajar memulakan pengajian di universiti dalam tahun kalendar yang sama di sesetengah negara, sesuatu yang sebelum ini tidak dapat dilakukan.

Pengumuman keputusan lebih awal turut memberikan lebih banyak masa kepada universiti untuk menyemak permohonan, mengesahkan tawaran kemasukan dan menyelesaikan pertanyaan, di samping meningkatkan kepastian dalam perancangan pengambilan pelajar antarabangsa. Proses kemasukan universiti dan kalendar akademik berbeza antara negara, justeru manfaat pengumuman keputusan lebih awal juga berbeza mengikut negara. Panduan mengikut negara boleh didapati di sini.

Rod Smith, Pengarah Urusan Kumpulan, International Education, berkata: “Banyak sekolah dan pelajar di seluruh dunia telah memaklumkan kepada kami bahawa pengumuman keputusan lebih awal akan membawa perubahan yang bermakna kepada mereka. Dengan mengumumkan keputusan lebih awal, pelajar mempunyai lebih banyak masa untuk mengurus langkah seterusnya. Kami telah merancang perubahan ini dengan amat teliti bagi memastikan sekolah dan universiti dapat terus menaruh tahap keyakinan yang sama terhadap keputusan peperiksaan seperti sekarang.”

Permintaan terhadap Cambridge International AS & A Levels Terus Meningkat

Jumlah pendaftaran peperiksaan Cambridge International AS & A Levels pada sesi Jun tahun ini meningkat 5% berbanding tahun sebelumnya, dengan hampir 368,000 pelajar dari 3,492 sekolah di 122 negara menerima keputusan peperiksaan. Diiktiraf oleh lebih 2,500 universiti di seluruh dunia, kelayakan ini melengkapkan pelajar dengan pengetahuan akademik, kemahiran berfikir secara berdikari dan kemahiran menyelesaikan masalah yang diperlukan untuk berjaya di universiti dan dalam kehidupan selepas tamat pengajian. Pengiktirafan terhadap kelayakan ini kini semakin meluas, bukan sahaja di destinasi pengajian tradisional seperti UK, A.S., Kanada dan Australia, malah turut diterima oleh universiti terkemuka di semakin banyak negara lain.

Tarikh pengumuman keputusan bagi peperiksaan Cambridge International AS & A Levels sesi Mac dan November kekal tidak berubah, begitu juga tarikh pengumuman keputusan peperiksaan Cambridge IGCSE dan O Level sesi Jun. Tarikh akhir bagi perkhidmatan selepas pengumuman keputusan juga kekal sama. Permohonan pertanyaan mengenai keputusan peperiksaan dan akses kepada skrip jawapan akan dibuka pada hari keputusan diumumkan. Cambridge akan berkongsi panduan lanjut dengan pihak sekolah menjelang peperiksaan sesi Jun 2027.

Teks bahasa sumber asal pengumuman ini adalah versi rasmi yang sahih. Terjemahan yang disediakan hanya sebagai penyesuaian sahaja, dan hendaklah di silang-rujuk dengan teks bahasa sumber, yang satu-satunya versi teks dengan kesan undang-undang.

Hubungi

Dr Karen Birmingham
karen.birmingham@cambridge.org
 
Sumber: Cambridge International Education

--BERNAMA
+