​Bandar Sains dan Teknologi Masa Hadapan Hangzhou: 15 Tahun Membina Asas Kukuh, Melakar Haluan Baharu

Selasa 10/11/2026

Table

Bandar Sains dan Teknologi Masa Hadapan Hangzhou


HANGZHOU, China, 10 Nov., 2026 /Xinhua-AsiaNet/--

Sidang Kemuncak Wuzhen Persidangan Internet Dunia 2026 telah berlangsung dari 2 hingga 5 November di Wuzhen, Wilayah Zhejiang. Dengan bertemakan "Sumber Terbuka dan Keterbukaan, Sumbangan Bersama dan Manfaat Bersama – Membina Komuniti dengan Masa Depan Bersama dalam Ruang Siber," Ekspo Cahaya Internet menghimpunkan lebih 670 perusahaan dari 54 buah negara dan wilayah dari seluruh dunia. Ekspo itu turut mempamerkan lebih 1,000 pencapaian teknologi canggih kepada umum, termasuk lebih 20 produk yang diperkenalkan buat julung kalinya di peringkat global.

Penyertaan satu kumpulan besar syarikat inovatif dari Bandar Sains dan Teknologi Masa Hadapan Hangzhou menjadi antara tarikan utama ekspo berkenaan apabila mereka memperkenalkan pelbagai inovasi, termasuk produk yang dilancarkan di peringkat global serta dipertontonkan kepada umum buat pertama kali. Antara yang mencuri perhatian ialah model besar pelbagai modal Qwen3.8-Max keluaran Alibaba, tangan robotik SG100 yang boleh dikonfigurasi semula untuk kegunaan industri hasil pembangunan Hangzhou Heiman Technology, serta MoWorld 2.0, sebuah model dunia 4D termaju keluaran Moxin Technology. Meliputi infrastruktur pengkomputeran, model besar serba guna, kecerdasan terkandung dan antara muka otak-komputer, syarikat-syarikat dari kawasan itu mempamerkan keupayaan merangkumi keseluruhan rantaian industri kecerdasan buatan (AI). Penyertaan tersebut menyerlahkan keupayaan teknologi yang kukuh serta momentum inovasi dinamik Hangzhou sebagai sebuah hab inovasi sains dan teknologi strategik peringkat kebangsaan.

Dilancarkan di Daerah Yuhang pada 2011, Bandar Sains dan Teknologi itu pada awalnya hanya mencatatkan hasil gabungan sebanyak RMB20.3 bilion bagi perusahaan yang memenuhi kriteria pelaporan statistik. Ketika itu, kawasan di sepanjang kedua-dua belah Jalan Wenyi Barat masih dikelilingi kawasan pertanian. Namun, hari ini, jumlah hasil perusahaan yang memenuhi kriteria berkenaan di kawasan itu telah melonjak kepada RMB1.2 trilion, iaitu lebih 60 kali ganda berbanding ketika penubuhannya, dengan kadar pertumbuhan tahunan kompaun melebihi 30%.

Lonjakan luar biasa ini bukanlah berlaku secara kebetulan, sebaliknya ia adalah hasil pembinaan sebuah ekosistem inovasi yang matang dan saling memperkukuh. Kini, Bandar Sains dan Teknologi itu menjadi pangkalan kepada 29 syarikat tersenarai serta berjaya menarik dan melahirkan lebih 7,400 bakat berkaliber tinggi dari dalam dan luar negara. Scantech, yang diasaskan oleh sekumpulan pemegang ijazah PhD dari luar negara dan pakar teknikal kanan yang menetap di Taman Haichuang pada 2015, secara beransur-ansur memecahkan monopoli asing yang telah lama menguasai bidang berkenaan sebelum disenaraikan di Pasaran STAR pada Januari 2025. Sebuah lagi syarikat yang berpangkalan di bangunan sama, Zhiyun Health, pula disenaraikan di Bursa Saham Hong Kong pada 2022. Kejayaan kedua-dua syarikat ini membuktikan keupayaan ekosistem berkenaan dalam memupuk dan membangunkan syarikat pemula niaga yang berpotensi tinggi.

Bandar Sains dan Teknologi itu turut menyediakan sokongan menyeluruh kepada pembangunan bakat, bermula daripada proses pengambilan, peningkatan kemahiran hinggalah usaha mengekalkan tenaga profesional. Antara inisiatif yang dilaksanakan ialah penubuhan Akademi Inovasi dan Keusahawanan Kedoktoran serta memperkenalkan program berwawasan seperti "profesor industri" dan "bakat yang diiktiraf perusahaan", selain program latihan pascasiswazah secara kerjasama dengan universiti terkemuka. Dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, jumlah tenaga mahir muda berusia bawah 35 tahun telah meningkat lebih 8% setiap tahun.

Disokong oleh infrastrukutur penyelidikan bertaraf dunia, kawasan itu menempatkan empat makmal peringkat wilayah, termasuk Zhejiang Lab dan Kemudahan Eksperimen Hipergraviti Hangzhou, selain lebih 200 institusi penyelidikan dan pembangunan (R&D) bertaraf wilayah atau lebih tinggi, pelbagai pusat pembuktian konsep serta rangkaian inkubator teknologi khusus. Bersama Zhejiang Lab, Bandar Sains dan Teknologi itu sedang membangunkan Pusat Inovasi Hab Data Haina bagi mempercepat proses mengkomersialkan hasil penyelidikan makmal yang berpotensi menjadi penyelesaian praktikal untuk pasaran. Dari 2013 hingga 2025, sebanyak 1,055 projek yang diasaskan oleh bakat-bakat ini telah dimeterai di sini; 716 projek masih beroperasi secara stabil, mencatatkan kadar kejayaan syarikat pemula niaga sebanyak 67.76%. Menurut Pengerusi Scantech, Wang Jiangfeng, dasar sokongan yang kondusif, perkhidmatan inkubasi yang mantap serta persekitaran perniagaan yang dinamik merupakan antara faktor utama yang mendorong golongan inovator untuk membina perniagaan mereka di sini.

Bandar Sains dan Teknologi itu turut mengambil langkah awal meneroka peluang dalam sektor baharu yang mempunyai potensi pertumbuhan tinggi. Pada 2018, ketika teknologi antara muka otak-komputer (BCI) masih belum dikenali secara meluas, pasukan promosi pelaburannya sanggup ke Boston bagi menarik BrainCo membuka operasi di kawasan itu. Sejak itu, BrainCo berkembang menjadi syarikat unikorn BCI yang dikenali di peringkat global dan muncul sebagai satu daripada "Enam Naga Kecil" yang terkenal di Hangzhou. Bagi separuh pertama 2026 sahaja, Bandar Sains dan Teknologi itu berjaya menarik 86 projek perindustrian utama dengan jumlah nilai pelaburan mencecah RMB14.456 bilion.

Pasukan perkhidmatannya secara aktif mengenal pasti keperluan syarikat, termasuk perkara yang tidak dinyatakan secara langsung dalam urusan harian. Antara contoh kejayaan pendekatan ini ialah tindakan pantas kakitangan menyelaras bantuan bagi mempercepat penyaluran dana sokongan dasar kepada Hangzhou Kangji Weijing Medical Robot. Bagi memastikan setiap syarikat menerima bantuan yang bersesuaian dengan keperluannya, jawatankuasa pengurusan tidak mengamalkan pendekatan sokongan secara umum yang sama untuk semua. Sebaliknya, lawatan berkala ke syarikat dilaksanakan, manakala mekanisme dialog antara kerajaan dengan sektor perniagaan bertemakan "Rabu, Sesi Bersemuka" turut diperkenalkan. Pada 11 Mei 2026, jawatankuasa itu mengeluarkan dokumen 12 Langkah Mewujudkan Ekosistem Inovasi yang Mesra dan Menyeluruh , sekali gus menginstitusikan pendekatan perkhidmatan ke dalam satu kerangka institusi yang mantap.

Sokongan pembiayaan turut diperkukuh menerusi model bersepadu yang merangkumi pelaburan, pinjaman, subsidi dan jaminan. Pada 2025, kawasan itu memperkenalkan produk insurans pertama seumpamanya di Zhejiang yang dikhususkan untuk pengkomersialan teknologi AI serta peralatan teras bioperubatan. Setakat ini, sebanyak 18 produk pensekuritian harta intelek (IP) berjaya mengumpulkan dana berjumlah RMB1.792 bilion untuk 189 syarikat teknologi tempatan. Pencapaian ini meletakkan zon tersebut di kedudukan pertama di Zhejiang, baik dari segi jumlah terbitan mahupun skala pembiayaan, sekali gus menukarkan harta intelek yang tidak ketara kepada aset pembangunan yang nyata.

Kemudahan seperti dewan pameran bandar, pusat demonstrasi BCI dan Ruang Imersif Lingjing turut disediakan bagi memperkenalkan teknologi serta produk termaju syarikat seperti BrainCo dan Rokid. Dalam pada itu, pembinaan beberapa kemudahan awam utama, termasuk Pusat Kebudayaan Sains dan Teknologi Masa Hadapan, Pusat Seni Persembahan Antarabangsa dan Pusat Sukan Antarabangsa, sedang giat dibina. Kehadiran sekolah berkualiti serta laluan kereta api berkelajuan tinggi baharu yang dihubungkan dengan Stesen Hangzhou Barat turut meningkatkan keselesaan kehidupan dan kemudahan perhubungan di kawasan berkenaan.

Pada masa hadapan, Bandar Sains dan Teknologi ini akan terus memperkemas sistem perindustriannya yang berorientasikan masa depan, merintis pembaharuan dalam pembangunan bakat, memacu inovasi asli serta pengkomersialan hasil inovasi, mendorong penaiktarafan industri berasaskan AI, dan menyediakan lebih banyak perkhidmatan khusus bagi menyokong pertumbuhan perusahaan yang berkualiti tinggi.

SUMBER: Jawatankuasa Pengurusan Bandar Sains dan Teknologi Masa Hadapan Hangzhou 

--BERNAMA
+