SBC Medical Umum Kerjasama Modal dan Perniagaan dengan NeuroBrain Dynamics untuk Tingkatkan Keuntungan Klinik Menerusi AI Perubatan

Isnin 16/11/2026

Kedua-dua syarikat akan bersama-sama membangunkan enam penyelesaian AI perubatan untuk meningkatkan hasil dan mengurangkan kos. SBC Medical memperoleh hak keutamaan untuk menjual penyelesaian tersebut di Jepun dan Korea Selatan serta menyasarkan peluasan perniagaan B2B di seluruh Asia
 

IRVINE, California, 16 Nov (Bernama-BUSINESS WIRE) -- SBC Medical Group Holdings Incorporated (Nasdaq: SBC) (“Syarikat” atau “SBC Medical”), sebuah organisasi perkhidmatan perubatan (MSO) yang menyediakan sokongan pengurusan dalam pelbagai bidang penjagaan kesihatan, hari ini mengumumkan perjanjian kerjasama strategik dalam bidang modal dan perniagaan dengan NeuroBrain Dynamics Inc. (“NBD”), sebuah syarikat yang berpangkalan di Taipei dan mengkhusus dalam penyelesaian AI generatif untuk perusahaan. Sebagai sebahagian daripada perjanjian yang dimeterai pada 13 November 2026, SBC Medical telah melabur dalam NBD dengan memperoleh kepentingan ekuiti minoriti.

Menerusi kerjasama ini, SBC Medical merancang untuk memperkenalkan dua set penyelesaian AI generatif yang saling melengkapi dalam rangkaiannya yang merangkumi 287 klinik di Jepun dan di luar negara*. Set pertama, “AI untuk meningkatkan hasil”, menyediakan panduan yang disesuaikan dengan keperluan setiap pelanggan bagi meningkatkan purata hasil bagi setiap lawatan dan kadar pengekalan pelanggan. Set kedua, “AI untuk mengurangkan kos”, memperkemas penyediaan dokumentasi perubatan, penjadualan kakitangan dan aliran kerja promosi. Kedua-dua inisiatif ini bertujuan meningkatkan keuntungan setiap klinik.

SBC Medical turut memperoleh hak keutamaan untuk menjual produk sedia ada NBD di Jepun dan Korea Selatan. Syarikat merancang untuk menawarkan penyelesaian yang telah terbukti ini kepada institusi perubatan di luar rangkaiannya. Langkah ini bertujuan mewujudkan sumber hasil perniagaan kepada perniagaan (B2B) bermargin tinggi dan mempercepat peluasan operasi SBC Medical ke lebih banyak pasaran di Asia bersama NBD.

Perkara Utama Kerjasama
1. Mempercepat Pertumbuhan Hasil : Dengan memanfaatkan platform AI perusahaan NBD, “Argon”, kedua-dua syarikat akan membangunkan dan melaksanakan alat panduan pelanggan berasaskan AI serta ciri yang menggunakan rekod terdahulu untuk meramal keperluan pelanggan dan memberikan cadangan dalam sistem tempahan “MySBC” milik SBC Medical. Kedua-dua fungsi ini bertujuan memaksimumkan nilai sepanjang hayat pelanggan (LTV).
2. Mengoptimumkan Margin Operasi : AI generatif akan membantu menyediakan dokumentasi klinikal rutin, mengoptimumkan jadual kakitangan dan menghasilkan bahan pemasaran yang mematuhi keperluan berkaitan, tertakluk pada semakan akhir oleh doktor dan kakitangan. Dengan mengurangkan beban pentadbiran, doktor dan kakitangan klinik boleh memperuntukkan lebih banyak masa untuk penjagaan perubatan dan khidmat pelanggan yang bernilai tinggi.
3. Menyeragamkan Asas Operasi untuk Peluasan Rangkaian : Platform AI yang dibangunkan bersama ini akan menjadi asas operasi yang seragam bagi fasa pertumbuhan SBC Medical yang seterusnya. Platform itu akan mempercepat peluasan rangkaian klinik di seluruh Jepun melalui pembukaan klinik baharu serta penggabungan dan pemerolehan (M&A). Penyelesaian ini akan dibangunkan terutamanya pada platform model bahasa besar (LLM) berdaulat yang direka untuk memperkukuh privasi data dan pematuhan.

Enam Penyelesaian AI dan Manfaat yang Dijangkakan
Dengan rangkaian yang merangkumi 287 klinik, peningkatan kecil dalam kecekapan operasi boleh menghasilkan peningkatan margin yang ketara di seluruh Kumpulan. Kerjasama ini memberi tumpuan kepada pembangunan dan pelaksanaan enam penyelesaian utama.

Pertumbuhan Hasil dan Pengekalan Pelanggan
1. Alat Sokongan Panduan Pelanggan Berasaskan AI : Alat ini menganalisis sejarah lawatan dan rawatan setiap pelanggan, lalu memaparkan serta-merta maklumat yang diperlukan oleh petugas khidmat pelanggan untuk membantu mereka. Alat ini membantu menyeragamkan mutu panduan yang diberikan oleh petugas dengan tahap pengalaman yang berbeza. Dengan itu, pelanggan dapat memperoleh maklumat yang tepat dengan segera, sekali gus menyokong peningkatan purata hasil Syarikat bagi setiap lawatan di kesemua 287 klinik. ( Nota. Semua keputusan klinikal kekal di bawah pertimbangan dan budi bicara doktor sepenuhnya.)

2. Ciri Cadangan Berasaskan Sejarah Penggunaan untuk “MySBC” : Ciri ini memberikan cadangan susulan yang disesuaikan dengan sejarah penggunaan setiap pelanggan tanpa mengganggu pengalaman mereka dalam sistem tempahan MySBC. Cadangan ini menggalakkan pelanggan membuat tempahan janji temu seterusnya tanpa menambah kos mendapatkan pengguna baharu.

Penyelesaian 1 dan 2 akan dibangunkan bersama menggunakan platform AI sedia ada NBD, Argon.

Peningkatan Produktiviti dan Margin
3. Rekod Perubatan Elektronik (EMR) Berbantu AI : Penyelesaian ini menggunakan pengecaman pertuturan untuk menukarkan perbualan antara pesakit dengan doktor semasa konsultasi kepada draf berstruktur dalam format SOAP (Subjektif, Objektif, Penilaian dan Pelan). Ini membolehkan doktor menerima lebih ramai pesakit setiap hari sambil mengurangkan risiko keletihan akibat tugas perkeranian. Pengesahan akan bermula dalam bidang ortopedik, dengan ujian ketepatan melalui pembuktian konsep (PoC) dijadualkan selesai menjelang akhir tahun 2026.

4. Penjadualan Syif Pintar Berasaskan AI : Penyelesaian ini mengautomasikan penjadualan syif doktor dan jururawat dengan memadankan permintaan pelanggan dengan mengambil kira undang-undang dan peraturan buruh, peraturan klinik serta prosedur yang boleh dilakukan oleh setiap doktor. Ini menghapuskan keperluan mengurus jadual secara manual dan mengoptimumkan kos tenaga kerja pada waktu puncak operasi klinik.

5. Clinic Promotion Planner (CPP) : CPP menjana imej promosi yang mematuhi garis panduan untuk media sosial secara automatik berdasarkan rawatan, perkhidmatan dan mesej utama yang ditetapkan. Semakan automatik terhadap garis panduan dalaman turut terbina dalam sistem ini, sekali gus mengurangkan dengan ketara kebergantungan pada khidmat luar dan memendekkan tempoh penyediaan bahan pemasaran.

Infrastruktur dan Keselamatan
6. LLM Berdaulat dan Pemantauan Keselamatan “Bromine” : Penyelesaian ini dibangunkan terutamanya pada infrastruktur model bahasa besar (LLM) berdaulat dan selamat milik SBC Medical untuk menjaga kerahsiaan maklumat pelanggan. perusahaan. Bromine, produk keselamatan proprietari NBD, akan memantau input kepada sistem AI secara berterusan dan mengesan potensi risiko kebocoran data, sekali gus menyediakan tadbir urus bertaraf

Sinergi dan Pemilihan Rakan Kongsi
Reka bentuk pelaksanaan ini membolehkan SBC Medical dan NBD memperluas operasi antarabangsa dengan keperluan pelaburan dalam aset fizikal yang minimum. Rakan kongsi operasi tempatan di seluruh Asia akan menyediakan aset fizikal dan mengurus operasi, manakala SBC Medical dan NBD akan menyediakan teknologi teras serta aliran kerja klinikal.

Ditubuhkan di Taiwan pada Jun 2024, NBD telah berjaya melaksanakan sistem AI perusahaan di lebih 100 syarikat di rantau Asia Pasifik. Pelanggannya termasuk pengendali yang beroperasi di pelbagai lokasi, seperti sebuah rangkaian kedai serbaneka utama, peruncit berskala besar, serta syarikat kereta api dan penerbangan. Dalam tempoh kira-kira dua tahun, NBD telah memperluas operasinya ke tujuh bandar hab strategik, iaitu Taipei, Hong Kong, Bangkok, Manila, Bandar Raya Ho Chi Minh, Kuala Lumpur dan Jakarta. Peluasan pesat ini mengukuhkan keupayaan NBD untuk menyokong pelan pertumbuhan antarabangsa SBC Medical.

Prospek
Syarikat akan mengesahkan setiap modul AI secara sistematik. Pelaksanaan Alat Sokongan Panduan Pelanggan Berasaskan AI, ciri cadangan MySBC berasaskan sejarah penggunaan dan CPP di seluruh rangkaian klinik dijadualkan bermula pada pertengahan 2027. Pada masa yang sama, Syarikat akan memulakan usaha pemasaran untuk menawarkan sistem ini kepada institusi perubatan pihak ketiga sambil meneruskan peluasan perniagaan B2B di Asia.

Ulasan
Yoshiyuki Aikawa, Ketua Pegawai Eksekutif, SBC Medical Group Holdings Incorporated
“Kerjasama ini menandakan fasa seterusnya dalam pembangunan struktur platform MSO kami. Dalam rangkaian 287 klinik, peningkatan kecekapan yang kecil di setiap klinik berpotensi meningkatkan keupayaan Kumpulan untuk menjana keuntungan dengan ketara. Dengan menggabungkan data terperinci daripada operasi harian SBC Medical dengan kepakaran NeuroBrain Dynamics yang terbukti dalam melaksanakan AI untuk perusahaan, kami meletakkan perniagaan kami pada kedudukan yang lebih baik untuk meningkatkan leveraj operasi serta memberikan nilai yang lebih besar kepada pelanggan, rakan kongsi klinik dan pemegang saham kami.”

Jeff Chuang, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif, NeuroBrain Dynamics Inc.
“Kami berbesar hati dapat menjalin kerjasama modal dan perniagaan ini dengan SBC Medical. Sejak ditubuhkan, NBD telah membina budaya tersendiri yang kami sebut sebagai ‘AI VDE (penyampaian nilai)’. Budaya ini menghimpunkan jurutera yang ditugaskan untuk bekerja secara langsung dengan pelanggan (FDE), pasukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pasukan kewangan. Kami memberi tumpuan kepada pelaksanaan AI yang memberikan manfaat nyata dan pulangan atas pelaburan (ROI) kepada perniagaan. Penggunaan AI kini semakin pesat dalam industri penjagaan kesihatan, iaitu bidang yang menguji kebolehpercayaan dan keberkesanan AI dengan paling ketat. Berteraskan platform AI proprietari kami, Argon dan Bromine, kami akan bekerjasama dengan SBC Medical untuk membangunkan penyelesaian AI perubatan yang selamat dan menguntungkan serta memperkenalkannya di Jepun, Korea Selatan dan pasaran lain di seluruh Asia.”

Gambaran Keseluruhan Kerjasama Modal dan Perniagaan
Rakan kongsi — NeuroBrain Dynamics Inc. (創智動能股份有限公司)
Tarikh perjanjian — 13 November 2026
Skop kerjasama perniagaan — Kedua-dua syarikat akan membangunkan penyelesaian AI bersama untuk Kumpulan SBC Medical dan bekerjasama dalam pelaksanaannya di Jepun dan Korea Selatan. Skop ini turut merangkumi hak jualan keutamaan untuk mengedarkan produk sedia ada NBD, termasuk Bromine dan Argon, serta hak penggunaan eksklusif bagi penyelesaian yang dibangunkan bersama di kedua-dua negara.
Kerjasama modal — Pelaburan SBC Medical dalam kepentingan ekuiti minoriti NBD

Maklumat tentang NeuroBrain Dynamics Inc.
Nama syarikat: NeuroBrain Dynamics Inc. (創智動能股份有限公司)
Ditubuhkan pada: Jun 2024
Alamat: 9F., No. 23, Sec. 1, Bade Rd., Zhongzheng Dist., Taipei City 100410, Taiwan
Wakil: Jeff Chuang, Chairman
Bidang perniagaan — Khidmat perundingan dan pembangunan bagi pelaksanaan AI untuk perusahaan serta penyediaan penyelesaian AI dalam bentuk perisian sebagai perkhidmatan (SaaS) dan platform sebagai perkhidmatan (PaaS)
Laman web: https://nbd-ai.com/
 
*Setakat akhir Julai 2026.
Nota: Jumlah pelaburan, peratusan pegangan saham dan butiran lain tidak didedahkan.
Nota: Inisiatif di bawah kerjasama ini berpandukan rancangan semasa dan tertakluk pada perubahan.

Maklumat tentang SBC Medical Group Holdings Incorporated

SBC Medical ialah sebuah organisasi perkhidmatan perubatan yang menyediakan sokongan pengurusan dalam pelbagai bidang penjagaan kesihatan, termasuk penjagaan kesihatan estetik termaju, dermatologi, ortopedik, rawatan kesuburan, ginekologi, pergigian, rawatan keguguran rambut (AGA) dan oftalmologi. Syarikat mengurus portfolio pelbagai jenama klinik dan giat memperluas operasinya di peringkat global, khususnya di Amerika Syarikat dan Asia, menerusi operasi langsung serta inisiatif pelancongan perubatan. Syarikat disenaraikan di Nasdaq pada September 2024 dan dipilih untuk dimasukkan dalam Russell 3000® Index pada Jun 2025. Indeks itu merupakan penanda aras yang meliputi sebahagian besar pasaran ekuiti AS. Berpandukan matlamat Kumpulan untuk “Menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat di seluruh dunia melalui inovasi perubatan”, SBC Medical Group Holdings Incorporated terus menyediakan perkhidmatan perubatan yang selamat, dipercayai dan berkualiti tinggi, sambil memperkukuh reputasinya di peringkat antarabangsa sebagai penyedia penjagaan perubatan yang berkualiti dan dipercayai.

Untuk maklumat lanjut, layari https://sbc-holdings.com
Untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini daripada SBC Medical, ikuti kami di LinkedIn.

Pernyataan Berpandangan ke Hadapan

Siaran akhbar ini mengandungi pernyataan berpandangan ke hadapan. Pernyataan ini hanya mencerminkan pandangan Syarikat tentang peristiwa dan prestasi pada masa hadapan, yang sebahagian besarnya tidak pasti dan di luar kawalan Syarikat. Pernyataan ini mencerminkan pandangan semasa Syarikat mengenai, antara lain, rancangan dan strategi untuk memperluas perkhidmatan, pertumbuhan hasil dan keuntungan, serta prospek perniagaan. Dalam sesetengah keadaan, pernyataan berpandangan ke hadapan boleh dikenal pasti melalui penggunaan perkataan seperti “mungkin”, “sepatutnya”, “menjangkakan”, “menanti”, “mempertimbangkan”, “menganggarkan”, “percaya”, “merancang”, “diunjurkan”, “meramalkan”, “berpotensi”, “menyasarkan” atau “berharap”, serta bentuk negatif perkataan tersebut atau istilah lain yang seumpamanya. Syarikat mengingatkan pembaca agar tidak terlalu bergantung pada mana-mana pernyataan berpandangan ke hadapan. Pernyataan ini mencerminkan keadaan setakat tarikh siaran ini sahaja dan tertakluk pada pelbagai risiko, ketidakpastian, andaian atau perubahan keadaan yang sukar diramal atau diukur. Pernyataan berpandangan ke hadapan dibuat berdasarkan jangkaan semasa pihak pengurusan dan tidak menjamin prestasi masa hadapan. Kecuali jika dikehendaki oleh undang-undang, Syarikat tidak memikul atau menerima sebarang kewajipan untuk mengumumkan kepada umum apa-apa kemas kini atau semakan terhadap mana-mana pernyataan berpandangan ke hadapan bagi mencerminkan perubahan dalam jangkaan Syarikat atau perubahan pada peristiwa, keadaan atau situasi yang menjadi asas pernyataan tersebut. Faktor yang boleh menyebabkan keputusan sebenar berbeza dengan ketara daripada jangkaan semasa mungkin timbul dari semasa ke semasa, dan Syarikat tidak dapat meramalkan kesemuanya. Faktor ini termasuk, antara lain, perubahan dalam keadaan ekonomi, perniagaan, persaingan, pasaran dan kawal selia di peringkat global, serantau atau tempatan, serta faktor yang disenaraikan di bawah tajuk “Risk Factors” dan di bahagian lain dalam dokumen yang difailkan oleh Syarikat kepada Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa AS (“SEC”). Dokumen tersebut boleh diakses di laman web SEC. www.sec.gov.

Hubungi

Hikaru Fukui / Ketua Jabatan Perhubungan Pelabur; E-mel: ir@sbc-holdings.com
Akiko Wakiyama / Ketua Pegawai Perhubungan Awam; E-mel: pr@sbc.or.jp
 
Sumber: SBC Medical Group Holdings Incorporated

--BERNAMA
+