YB Dr. Sim Chon Siang, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, bersama Puan Biruntha Mooruthi, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, serta wakil kerajaan, industri dan institusi pendidikan pada TalentCorp Industry Connect Edisi Pantai Timur 2026 di Kuantan, Pahang.
• Melalui Industry Connect 2026, TalentCorp menghubungkan keperluan industri dengan pembangunan kemahiran dan peluang kerjaya di Pahang, Terengganu dan Kelantan
KUANTAN, 19 Nov (Bernama) -- Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) terus memperkukuh pembangunan bakat tempatan menerusi TalentCorp Industry Connect Edisi Pantai Timur 2026 bertemakan “MyBakat Wilayah Pantai Timur: Membina Kesiapsiagaan Bakat untuk Tenaga Kerja Masa Hadapan”, yang menghimpunkan wakil kerajaan, pemain industri serta institusi pendidikan dan latihan dari Pahang, Terengganu dan Kelantan di Kuantan bagi menyelaraskan pembangunan kemahiran dengan keperluan industri serta memperluas peluang kerjaya rakyat dalam menghadapi perubahan teknologi dan ekonomi.
Keperluan memperkukuh kerjasama ini turut diperkukuh melalui dapatan Tinjauan Tenaga Kerja Berteraskan Kemahiran sempena Industry Connect Pantai Timur 2025, yang menunjukkan bahawa 71 peratus responden mengenal pasti ketidakpadanan kemahiran sebagai cabaran tenaga kerja, manakala 72 peratus berpandangan bahawa graduan masih belum mempunyai persediaan yang mencukupi untuk memasuki alam pekerjaan.
Pada masa yang sama, hanya 4 peratus responden melaporkan integrasi penuh teknologi kecerdasan buatan (AI) dan digital dalam organisasi masing-masing. Dapatan ini memperlihatkan keperluan untuk memperkukuh hubungan antara pembangunan kemahiran, kesiapsiagaan bakat tempatan dan perubahan keperluan industri.
YB Dr. Sim Chon Siang, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, berkata usaha membangunkan tenaga kerja berkemahiran tinggi perlu diberi keutamaan agar pertumbuhan ekonomi dan pelaburan di negeri ini turut membawa manfaat yang bermakna kepada rakyat tempatan.
“Pertumbuhan ekonomi bukan sahaja perlu diukur melalui pelaburan yang berjaya dibawa masuk, tetapi juga melalui peluang pekerjaan dan kemajuan kerjaya yang dapat dinikmati oleh rakyat.
“Kerajaan Negeri Pahang komited untuk terus memperkukuh kerjasama dengan KESUMA, TalentCorp, pemain industri dan institusi latihan, khususnya dalam memperluas akses kepada pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), peningkatan kemahiran serta latihan semula. Kita mahu memastikan anak-anak tempatan mempunyai kemahiran dan keyakinan untuk merebut peluang yang diwujudkan hasil pembangunan ekonomi negeri,” katanya.
Selaras dengan komitmen tersebut, KESUMA melalui ekosistem MyBakat TalentCorp memberi tumpuan kepada usaha menghubungkan rakyat Malaysia dengan pembangunan kemahiran, bimbingan kerjaya dan peluang pekerjaan yang relevan pada pelbagai peringkat kehidupan.
Ekosistem tersebut yang merangkumi MyBakat Muda, MyBakat Siswa, MyBakat Wanita, MyBakat Veteran dan MyBakat SkillsLab, ekosistem ini menyediakan pendekatan pembangunan bakat yang lebih inklusif, daripada peringkat persekolahan dan pendidikan tinggi sehingga kepada peningkatan kemahiran serta peralihan kerjaya.
Usaha ini turut disokong melalui MyMahir, yang menghubungkan maklumat keperluan kemahiran industri dengan perancangan pembangunan tenaga kerja agar inisiatif yang dilaksanakan lebih bersasar dan menepati keperluan sebenar pasaran pekerjaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, Puan Biruntha Mooruthi, berkata cabaran yang diketengahkan melalui tinjauan tersebut perlu dilihat daripada perspektif majikan dan rakyat yang sama-sama berusaha menyesuaikan diri dengan perubahan dunia pekerjaan.
“Di sebalik angka-angka ini, terdapat majikan yang memerlukan pekerja dengan kemahiran yang tepat, dan pada masa yang sama, anak muda yang sedang mencari peluang pertama untuk membina kerjaya.
“Melalui MyBakat, kita mahu merapatkan jurang ini dengan memastikan maklumat dan keperluan industri dapat diterjemahkan kepada pembangunan kemahiran serta laluan kerjaya yang lebih jelas dan bermakna kepada rakyat,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa penganjuran program Industry Connect ini merupakan sebahagian daripada pendekatan TalentCorp untuk mendengar secara langsung keperluan majikan di peringkat wilayah, sekali gus memastikan dapatan industri dapat diterjemahkan kepada tindakan yang lebih berkesan.
“Kita tidak mahu dapatan kajian hanya berakhir sebagai sebuah laporan. Apa yang lebih penting ialah bagaimana maklumat tersebut dapat digunakan untuk merancang intervensi yang membantu rakyat meningkatkan kemahiran, membina kerjaya dan mengambil bahagian dalam peluang ekonomi yang semakin berkembang.
“Sebab itulah kita turun ke lapangan untuk mendengar sendiri pandangan industri. Setiap wilayah mempunyai keperluan dan potensinya yang tersendiri, dan usaha pembangunan bakat perlu mengambil kira realiti tersebut supaya manfaatnya benar-benar sampai kepada masyarakat setempat,” tambah beliau.
Penganjuran Industry Connect Edisi Pantai Timur 2026 turut menampilkan perbincangan panel mengenai pembangunan bakat dan laluan kerjaya, pembentangan berkaitan kesiapsiagaan AI, serta perkongsian inisiatif dan insentif sokongan ekosistem bakat negara.
Melalui kerjasama berterusan antara kerajaan, industri dan institusi pendidikan, KESUMA melalui TalentCorp akan terus memperkukuh pembangunan bakat yang berpandukan data dan keperluan industri, bagi memastikan lebih ramai rakyat Malaysia mempunyai akses kepada kemahiran yang relevan, peluang kerjaya berkualiti dan manfaat pertumbuhan ekonomi negara.
Dikeluarkan oleh Talent Corporation Malaysia Berhad
Mengenai Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp)
Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) ialah agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) yang diamanahkan untuk melaksanakan strategi bakat nasional dan berperanan sebagai badan pemikir strategik kepada KESUMA. Melalui dasar berasaskan data dan perkongsian strategik, TalentCorp memberi tumpuan kepada pengoptimuman bakat Malaysia, menarik kepakaran global, serta membentuk tenaga kerja masa depan sejajar dengan aspirasi transformasi ekonomi negara.
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai inisiatif TalentCorp, layari www.talentcorp.com.my ataupun ikuti @TalentCorpMsia di media sosial LinkedIn, Twitter, Facebook dan Instagram.
SUMBER: Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp)
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Ahmad Anis
E-mel: anis.kamil@talentcorp.com.my
Tel: 019-390 5987
Nama: Hajar Umira
E-mel: umira.zaki@talentcorp.com.my
Tel: 018-947 3006
--BERNAMA