Sila Meterai Perjanjian Pembelian Bekalan Jangka Panjang dengan Panasonic Energy bagi Memacu Pengeluaran Bateri Domestik

Jumaat 20/11/2026

Table

Sila, sebuah syarikat terkemuka dalam bidang teknologi dan bahan bateri, hari ini mengumumkan perjanjian komersial bagi pembelian bekalan dengan Panasonic Energy Corporation of North America.


Perjanjian ini akan membekalkan anod Si/C Titan Silicon® keluaran Sila kepada kemudahan pembuatan Panasonic di Amerika Syarikat, sekali gus memperkukuh daya tahan rantaian bekalan bateri domestik dan keupayaan dalam bidang teknologi termaju.


ALAMEDA, California, 20 Nov (Bernama-BUSINESS WIRE) -- Sila, sebuah syarikat terkemuka dalam bidang teknologi dan bahan bateri, hari ini mengumumkan perjanjian komersial bagi pembelian bekalan dengan Panasonic Energy Corporation of North America. Perjanjian berbilang tahun ini merupakan sebahagian daripada hubungan komersial jangka panjang yang berpotensi membawa kepada pembelian bekalan bernilai lebih daripada $1 bilion sepanjang tempoh kerjasama itu. Sila akan membekalkan bahan anod silikon-karbon (Si/C) proprietarinya, Titan Silicon®, dari kilangnya di Moses Lake, Washington, untuk digunakan dalam sel bateri Panasonic. Kerjasama ini juga dijangka membuka banyak peluang pekerjaan dalam sektor pembuatan dan pembinaan di Amerika Syarikat. Pengeluaran anod Sila di Amerika Syarikat, yang disokong oleh teknologi proprietari dan kepakaran teknikal dari negara itu, membantu Panasonic dan pelanggan pengeluar peralatan asalnya (OEM) membina rantaian bekalan domestik yang lebih terjamin, berdaya tahan dan mampan.

“Perjanjian pembelian bekalan ini merupakan pencapaian komersial penting bagi Sila. Ia menunjukkan bahawa kilang kami di Moses Lake akan bersedia untuk membekalkan bahan berprestasi tinggi kepada pelanggan strategik utama kami sebaik sahaja proses kelayakan selesai, serta meningkatkan kapasiti mengikut keperluan,” kata Gene Berdichevsky, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Sila. “Kerjasama dengan peneraju industri global seperti Panasonic mengesahkan keupayaan teknologi kami. Ia memastikan anod yang dicipta dan dihasilkan di Amerika Syarikat digunakan dalam sel bateri buatan negara itu untuk menyokong industri kritikal bagi tahun-tahun mendatang.”

Perjanjian itu menandakan langkah penting dalam memperkukuh daya saing teknologi dan daya tahan industri Amerika Syarikat menerusi pengeluaran bahan anod silikon-karbon generasi seterusnya di negara itu. Sila dan Panasonic juga akan bekerjasama dalam hal berkaitan harta intelek untuk memperkukuh dan mengembangkan lagi perkongsian mereka.

“Kemajuan yang dicapai Sila di Moses Lake dalam masa yang singkat, daripada permulaan kerja pembinaan hingga pengeluaran, amat mengagumkan,” kata Yasuaki Takamoto, Ketua Pegawai Eksekutif Panasonic Energy Corporation of North America. “Kepimpinan teknikal Sila menjadikannya rakan kongsi yang dipercayai dalam usaha bersama kami untuk memenuhi piawaian kualiti dan prestasi tertinggi kami. Kerjasama ini menunjukkan komitmen Panasonic terhadap pembuatan di Amerika Syarikat, di samping membantu membina rantaian bekalan bateri yang lebih berdaya tahan di Amerika Utara.”

Kontrak yang diumumkan hari ini menyusuli komitmen Office of Strategic Capital (OSC) di bawah Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat untuk menyediakan pinjaman $1.4 bilion kepada Sila. Kejayaan mendapatkan perjanjian komersial yang kukuh bagi pembelian bekalan merupakan pencapaian penting dan langkah susulan untuk menunjukkan keupayaan Sila melaksanakan komitmennya serta kesediaan komersial di seluruh perniagaannya. Perjanjian ini juga dijangka mewujudkan kira-kira 500 pekerjaan tambahan dalam bidang pembuatan dan pembinaan di kilang Sila di Moses Lake, Washington, apabila syarikat itu meningkatkan pengeluaran bagi memenuhi jumlah bekalan yang diperlukan untuk perjanjian ini dan komitmen komersial lain.

Kilang anod silikon-karbon Sila di Moses Lake dijangka memainkan peranan penting dalam memperkukuh pengeluaran bateri domestik dan menjamin rantaian bekalan tenaga utama. Dengan meningkatkan pengeluaran tempatan anod Si/C Titan Silicon proprietari, kilang itu memperkukuh kedudukan Amerika Syarikat sebagai peneraju pembuatan, mewujudkan peluang pekerjaan berteknologi tinggi di rantau berkenaan dan meletakkan asas bagi rantaian bekalan bateri yang terjamin dan berdaya saing di Amerika Utara untuk memenuhi keperluan pasaran global bagi kenderaan elektrik, AI dan teknologi kritikal.

Maklumat tentang Sila

Ditubuhkan pada tahun 2011, Sila ialah syarikat teknologi dan bahan bateri yang membangunkan serta menghasilkan produk untuk membekalkan kuasa kepada industri kritikal dan sistem AI fizikal. Teknologi anod Si/C ciptaan Sila (Titan Silicon® ) dilancarkan pada tahun 2021 dan meningkatkan prestasi dalam pelbagai aplikasi, termasuk dron, satelit, elektronik, robotik, AI dan kenderaan elektrik. Dengan menggabungkan harta intelek Amerika Syarikat dengan pembuatan berskala giga, Sila memenuhi keperluan negara dari segi kuasa, jaminan rantaian bekalan dan keberkesanan kos. Bahan bateri Sila dihasilkan di kemudahannya di Moses Lake, Washington, yang pertama seumpamanya. Sila mendapat sokongan daripada 8VC, Atreides Management, Bessemer Venture Partners, Coatue, In-Q-Tel, Matrix Partners, Sutter Hill Ventures serta dana dan akaun yang menerima khidmat nasihat daripada T. Rowe Price Associates, Inc.

Galeri Multimedia/Foto Sedia Ada:
https://www.businesswire.com/news/home/20261118877583/en

Teks bahasa sumber asal pengumuman ini adalah versi rasmi yang sahih. Terjemahan yang disediakan hanya sebagai penyesuaian sahaja, dan hendaklah di silang-rujuk dengan teks bahasa sumber, yang satu-satunya versi teks dengan kesan undang-undang.

Hubungi

SutherlandGold untuk Sila
sila@sutherlandgold.com
 
Sumber: Sila

--BERNAMA
+