Susulan Komitmen Pelaburan Bernilai $28 Bilion di Expo 2025 Osaka, Indonesia Menandatangani Kontrak Penyertaan dalam Expo 2030 Riyadh

Selasa 24/11/2026

Table
Kontrak Penyertaan tersebut ditandatangani di Indonesia oleh Talal Al-Marri, Ketua Pegawai Eksekutif Expo 2030 Riyadh, dan Yang Berhormat Rachmat Pambudy, Menteri Perancangan Pembangunan Nasional merangkap Ketua Bappenas, yang mewakili Republik Indonesia.


Kontrak Penyertaan ini menandakan lembaran baharu dalam perjalanan Indonesia menyertai Ekspo Dunia, dengan tumpuan kepada diplomasi ekonomi, kerjasama pelaburan dan aspirasi bersama untuk masa depan

JAKARTA, Indonesia, 24 Nov (Bernama-BUSINESS WIRE) -- Republik Indonesia telah menandatangani Kontrak Penyertaan bagi Expo 2030 Riyadh, sekali gus menandakan langkah penting dalam persiapan negara itu untuk menyertai Ekspo Dunia.

Pemeteraian kontrak oleh Indonesia menambah bilangan negara dalam komuniti antarabangsa yang semakin berkembang dan secara rasmi mengesahkan penyertaan mereka dalam Expo 2030 Riyadh. Lebih daripada 185 Peserta Rasmi telah mengesahkan penyertaan masing-masing, sekali gus mencerminkan sifat Ekspo Dunia yang benar-benar bertaraf global serta kepelbagaian pengalaman dan perspektif yang bakal dihimpunkan di Riyadh pada tahun 2030.

Kontrak Penyertaan tersebut ditandatangani di Indonesia oleh Ketua Pegawai Eksekutif Expo 2030 Riyadh, Talal Al-Marri dan Yang Berhormat Rachmat Pambudy, Menteri Perancangan Pembangunan Nasional merangkap Ketua Bappenas, bagi pihak Republik Indonesia.

Yang Berhormat Rachmat Pambudy, Menteri Perancangan Pembangunan Nasional merangkap Ketua Bappenas, berkata, “Pemeteraian awal kontrak penyertaan kami bagi Expo 2030 Riyadh mencerminkan kesediaan Indonesia untuk menerajui usaha melalui kerjasama dan memperkukuh hubungan antara Indonesia dengan Arab Saudi. Berbekalkan momentum Expo 2025 Osaka yang menjana komitmen pelaburan bernilai lebih $28 bilion untuk Indonesia, kami melihat Riyadh sebagai platform penting bagi diplomasi ekonomi yang mempertemukan visi Golden Indonesia 2045 dan Saudi Vision 2030 untuk menterjemahkan wawasan bersama kepada hasil pembangunan yang nyata dan berkekalan.”

Menjelang Expo 2030 Riyadh, Indonesia akan mengetengahkan kisah negaranya di Planet District dengan mempamerkan kekayaan warisan budaya, kreativiti rakyat serta aspirasi masa depannya menerusi pavilion unik yang meraikan identiti negara itu sambil berkongsi visinya dengan masyarakat dunia.

Menteri Pambudy turut menambah, “Visi kami untuk Expo 2030 Riyadh jauh melangkaui pameran selama enam bulan. Kami mahu Pavilion Indonesia menjadi tempat pertemuan yang berkekalan, yang membolehkan kerajaan, perniagaan dan pelabur menterjemahkan idea kepada hasil pembangunan yang nyata. Berpandukan tema kami, ‘Nature Unfolding: Explore, Wisdom, Nurture (Alam Semula Jadi Terserlah: Teroka, Hayati Kebijaksanaan, Pelihara),’ serta falsafah masyarakat Indonesia bahawa alam semula jadi merupakan guru terbaik kita, kami membawa komitmen nasional yang bersatu padu ke Riyadh bagi menunjukkan bagaimana kebijaksanaan dan tindakan kolektif mampu membentuk masa depan yang mampan, inklusif dan makmur untuk generasi akan datang.”

Pada majlis tersebut, Talal Al-Marri, Ketua Pegawai Eksekutif Expo 2030 Riyadh berkata, “Indonesia merupakan contoh jelas tentang potensi yang boleh dicapai apabila pelbagai budaya dan komuniti bersatu tanpa kehilangan keunikan identiti masing-masing. Potensi yang sama menjadi teras penganjuran Ekspo Dunia, iaitu menghimpunkan negara dan budaya berbeza berlandaskan matlamat bersama untuk saling belajar dan meneroka pencapaian yang boleh direalisasikan melalui kerjasama. Kami amat berbesar hati mengalu-alukan penyertaan Indonesia dalam Expo 2030 Riyadh dan tidak sabar untuk melihat sumbangannya kepada Ekspo Dunia ini direalisasikan.”

Persiapan Expo 2030 Riyadh sedang berjalan pesat merangkumi semua aspek penganjuran. Seiring dengan kemajuan berterusan dalam penyertaan antarabangsa, kerja pembangunan di tapak seluas enam juta meter persegi turut dipercepat, dengan aktiviti pembinaan semakin giat dijalankan, projek infrastruktur utama terus menunjukkan kemajuan dan struktur bangunan penting mula terbentuk.

Bertemakan “Foresight for Tomorrow” (Wawasan untuk Masa Depan), Expo 2030 Riyadh akan menyediakan platform kepada negara-negara untuk mempamerkan pencapaian dan aspirasi masing-masing, meneroka penyelesaian bagi cabaran bersama serta mencetuskan kemungkinan baharu untuk masa depan. Menerusi lima bidang bertema, iaitu Teknologi, Planet, Kemanusiaan, Budaya dan Kerjasama, Expo 2030 Riyadh akan menggalakkan peserta dan pengunjung meneroka serta mendalami idea dan perspektif yang bakal membentuk landskap dunia dalam dekad-dekad akan datang.

Maklumat tentang Expo 2030 Riyadh

Berlangsung dari 1 Oktober 2030 hingga 31 Mac 2031, Expo 2030 Riyadh bakal menjadi antara Ekspo Dunia paling bercita-cita tinggi yang pernah dirancang, dengan tapak seluas 6 juta meter persegi yang akan menghimpunkan 197 Peserta Rasmi dan dijangka menerima 42 juta kunjungan merentasi lima kawasan yang berbeza.

Bertemakan “Foresight for Tomorrow,” dan dianjurkan di Riyadh, sebuah bandar yang terkenal dengan semangat bertindak dan cita-cita tinggi, Expo 2030 Riyadh akan menyediakan platform kepada para peserta untuk bertukar idea, merangka penyelesaian dan membina kerjasama yang menghasilkan impak nyata, menangani cabaran global serta membuka peluang baharu. Ekspo Dunia ini akan menampilkan zon kebudayaan yang menawarkan pengalaman imersif, pelbagai aktiviti harian dan interaksi dipacu AI, dengan menggabungkan tradisi layanan mesra Arab Saudi serta teknologi termaju. Selepas acara selama enam bulan itu berakhir, tapak Ekspo akan dibangunkan menjadi destinasi yang meriah dan dinamik, sekali gus terus menarik pengunjung serta menyumbang kepada landskap bandar Riyadh yang pesat berkembang.

Untuk maklumat lanjut, sila layari: https://www.expo2030riyadh.sa/en/

Teks bahasa sumber asal pengumuman ini adalah versi rasmi yang sahih. Terjemahan yang disediakan hanya sebagai penyesuaian sahaja, dan hendaklah di silang-rujuk dengan teks bahasa sumber, yang satu-satunya versi teks dengan kesan undang-undang.

Galeri Multimedia/Foto Sedia Ada: 
https://www.businesswire.com/news/home/20261123674063/en

Contacts

Untuk pertanyaan media, sila hubungi media@expo2030riyadh.sa

Sumber: Expo 2030 Riyadh

--BERNAMA

+