PCG Catat Keputusan Lebih Rendah Pada Suku Ketiga 2026 Susulan Harga Produk Menurun

Selasa 24/11/2026


• Kadar Penggunaan Loji: 73%
• Pendapatan: RM7.6 bilion
• EBITDA: RM942 juta
 
KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG atau Kumpulan) hari ini melaporkan prestasi kewangan yang lebih rendah bagi suku ketiga berakhir pada 30 September 2026, berikutan penurunan harga purata produk secara keseluruhan, khususnya urea.
 
Sorotan Utama 3Q 2026 berbanding 2Q 2026 
 
 3Q 20262Q 2026
Kadar Penggunaan Loji (%)7373
Pendapatan (RM juta)7,6217,903
EBITDA (RM juta)9421,318
Margin EBITDA (%)12.416.7
PAT (RM juta)202445
PATANCI (RM juta)179414
PATANCI: Keuntungan Selepas Cukai dan Kepentingan Tanpa Kawalan
 
• Kadar Penggunaan Loji kekal pada 73% selepas Kumpulan menyelesaikan aktiviti penyelenggaraan berjadual (turnaround) di PETRONAS Chemicals Methanol Sdn. Bhd. (Loji 2) di Labuan serta berjaya mengatasi pelbagai gangguan operasi di PETRONAS Chemicals Olefins Sdn. Bhd. di Kertih.
• Pendapatan berjumlah RM7.6 bilion, menurun 4% daripada RM7.9 bilion pada suku sebelumnya, terutamanya disebabkan oleh harga purata produk yang lebih rendah, meskipun jumlah jualan meningkat hasil daripada operasi Pengerang dan aktiviti pemerolehan sumber secara strategik (strategic sourcing).
• Pendapatan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) menurun kepada RM942 juta berbanding RM1.3 bilion pada suku kedua 2026, berikutan spread produk keseluruhan yang lebih rendah merentas portfolio Kumpulan, meskipun terdapat penambahbaikan dalam kos operasi.
• Keuntungan Selepas Cukai (PAT) menurun kepada RM202 juta berbanding RM445 juta pada suku sebelumnya, sejajar dengan penurunan EBITDA.
 
Sorotan Utama YTD 3Q 2026 berbanding YTD 3Q 2025
 
Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2026, pendapatan Kumpulan meningkat 8% kepada RM22.5 bilion, didorong oleh harga purata produk yang lebih tinggi, sebahagiannya diimbangi oleh nilai Ringgit yang lebih kukuh dan jumlah jualan yang lebih rendah. EBITDA meningkat ketara sebanyak 93% kepada RM3.4 bilion berikutan margin produk yang lebih baik, sumbangan yang lebih kukuh daripada entiti operasi bersama dan segmen Bahan Kimia Khusus, serta kos operasi yang lebih rendah.
 
Kumpulan mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM1.1 bilion, berbanding kerugian selepas cukai sebanyak RM1.3 bilion pada tempoh sebelumnya.
 
Prestasi Portfolio
 
Komoditi
 
Segmen Baja dan Metanol (F&M) Kumpulan mencatatkan kadar penggunaan loji sebanyak 78%, susulan aktiviti penyelenggaraan berjadual di Loji 2 PETRONAS Chemicals Methanol Sdn. Bhd. Harga purata produk F&M merosot sebanyak 33%, terutamanya disebabkan oleh penurunan ketara harga urea daripada USD667/tan pada suku sebelumnya kepada USD407/tan. Pendapatan menurun sebanyak 17% kepada RM3.0 bilion meskipun jumlah jualan meningkat berikutan aktiviti pemerolehan sumber secara strategik. Sementara itu, EBITDA berjumlah RM658 juta, terutamanya terjejas oleh spread produk yang lebih rendah.
 
Segmen Olefin dan Derivatif (O&D) mencatatkan kadar penggunaan loji sebanyak 61%, disokong oleh kejayaan memulakan semula operasi PETRONAS Chemicals Olefins Sdn. Bhd. pada bulan September berikutan pelbagai gangguan selepas aktiviti penyelenggaraan berjadual, serta pengoptimuman pengeluaran di seluruh kemudahan O&D bagi memaksimumkan nilai. Pendapatan meningkat kepada RM3.2 bilion, didorong oleh jumlah jualan yang lebih tinggi, terutamanya daripada operasi Pengerang. EBITDA pula meningkat kepada RM256 juta, disokong oleh kos operasi yang lebih rendah berikutan pengurangan aktiviti penyelenggaraan berbanding suku sebelumnya. Harga purata produk secara keseluruhan kekal hampir sama berbanding suku sebelumnya.
 
Bahan Kimia Khusus
 
Segmen Bahan Kimia Khusus mencatatkan EBITDA sebanyak RM70 juta, lebih rendah berbanding suku sebelumnya, terutamanya disebabkan oleh peningkatan kos stok suapan dan tenaga. Jumlah jualan yang lebih rendah turut menjejaskan pendapatan. Pada suku sebelumnya, prestasi segmen ini mendapat manfaat daripada harga jualan yang lebih tinggi sebelum peningkatan kos berlaku.
 
Mazuin Ismail, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif PCG berkata:
 
“Suku ketiga menyaksikan penurunan harga produk merentas portfolio, khususnya urea akibat peningkatan bekalan eksport dari China. Walaupun terdapat aktiviti penyelenggaraan berjadual di loji metanol kami di Labuan dan pelbagai gangguan operasi di loji olefin di Kertih, jumlah jualan meningkat sepanjang suku ini, didorong oleh sumbangan yang lebih besar daripada operasi Pengerang serta aktiviti pemerolehan sumber secara strategik.
 
“Kadar penggunaan loji Kumpulan mencapai 90% pada bulan Oktober. Bagi suku keempat 2026, tumpuan kami adalah untuk memaksimumkan pengeluaran dengan selamat dan andal, di samping terus memacu nilai komersial, memperkukuh portfolio kami dan mengekalkan disiplin dalam peruntukan modal.”

Prospek
 
Prospek pasaran bahan kimia akan dipengaruhi oleh ketidaktentuan geopolitik, perubahan dasar perdagangan dan ketidakseimbangan berterusan antara penawaran dengan permintaan.
 
Harga produk O&D berkemungkinan terus mengalami tekanan akibat lebihan bekalan serantau, manakala ketegangan geopolitik boleh terus menyebabkan turun naik kos stok suapan dan pengangkutan. Permintaan baja dijangka disokong oleh keperluan pertanian bermusim, keutamaan terhadap keselamatan makanan dan permintaan import, manakala harga metanol dijangka secara amnya kekal stabil.
 
Permintaan di pasaran akhir bagi bahan kimia khusus kekal lemah dalam sektor pembinaan, automotif dan barangan pengguna, dengan kelemahan bermusim dijangka berlaku pada suku keempat.
 
Mengenai PETRONAS Chemicals Group Berhad
 
PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) merupakan pengeluar bahan kimia bersepadu terkemuka di Malaysia dan antara yang terbesar di Asia Tenggara dari segi kapasiti. Syarikat ini mengendalikan rangkaian tapak pengeluaran bertaraf dunia di seluruh Malaysia, Asia Pasifik, Eropah dan Amerika Utara dengan jumlah kapasiti pengeluaran gabungan sebanyak 16.8 juta tan metrik setahun (mtpa).
 
PCG terlibat dalam aktiviti pembuatan, pemasaran dan penjualan pelbagai jenis produk kimia, termasuk olefin, polimer, baja, metanol, bahan kimia asas lain, produk terbitan serta bahan kimia khusus.
 
Disenaraikan di Bursa Malaysia dengan pengalaman lebih daripada empat dekad dalam industri bahan kimia, PCG telah ditubuhkan sebagai sebahagian daripada Kumpulan PETRONAS untuk memaksimumkan nilai daripada sumber gas asli Malaysia.
 
PCG komited untuk memastikan amalan perniagaannya selaras dengan piawaian yang diiktiraf di peringkat global bagi amalan Ekonomi, Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (EESG), seperti yang dibuktikan melalui penyertaan berterusan dalam Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia.
 
Maklumat lanjut mengenai PCG boleh didapati di www.petronas.com/pcg
 
SUMBER: PETRONAS CHEMICALS GROUP BERHAD (PCG)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Gary Khoo
Jabatan Komunikasi Korporat
PETRONAS CHEMICALS GROUP BERHAD (PCG)
E-mel : khoo.tseyau@petronas.com 

--BERNAMA
+