Apabila Athens Bertemu “Buatan Chengdu”: Produk Budaya dan Kreatif Digital Merapatkan Jurang di antara Tamadun China dan Yunani

Selasa 24/11/2026

CHENGDU, China, 24 Nov., 2026 /Xinhua-AsiaNet/--

Festival Teater Antarabangsa China-Yunani Keempat berlangsung dari 13 hingga 15 November, 2026 di Christmas Theater, Athens, di pesisir Laut Aegean. Selain persembahan pentas yang memukau, festival kebudayaan yang dianjurkan oleh Sino-Hellenic Performing Arts Alliance dengan sokongan padu Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan Greece serta Kedutaan China di Greece itu turut menarik perhatian menerusi kemunculan satu “gelombang digital” dari barat daya China. Satu forum bertemakan “Tindakan Tamaduan Seterusnya: Seni, Imaginasi dan Masa Depan Bersama Kemanusiaan” turut diadakan sempena festival berkenaan. Dalam pada itu, produk budaya dan kreatif digital dari Chengdu tampil sebagai satu wadah unik yang menghubungkan tamadun silam dengan teknologi moden, sekali gus mempertemukan nilai estetika Timur dengan perspektif Barat.

Gerai pameran produk budaya dan kreatif digital Chengdu menerima kunjungan ramai sepanjang festival berlangsung. Koleksi digital yang menampilkan imej panda gergasi yang comel serta barangan dagangan yang berinspirasikan filem All Wishes Come True!, yang menggabungkan mitologi tradisional China dengan kesan visual moden, mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung Greece. Ini bukan kali pertama produk budaya dan kreatif digital Chengdu muncul di pentas antarabangsa. Pada 3 November lalu, produk kreatif yang menggabungkan nilai estetika Timur itu turut mencuri perhatian menerusi acara “Glory of Bronze Civilization: Sanxingdui - Jinsha Sites Salon” di Athens. Daripada sejarah mendalam tamadun Shu purba hinggalah kepada penghasilan seni digital kontemporari yang penuh ekspresi, Chengdu terus meneroka pendekatan yang lebih menarik dan didorong oleh teknologi untuk menceritakan kisah China kepada dunia.

Pengasas Forum Kemanusiaan Sedunia,  Alexandra Mitsotaki, amat tersentuh dengan usaha berkenaan. “China dan Greece masing-masing memiliki tamadun purba yang menarik. Kita perlu meluaskan pandangan, mengambil langkah konkrit untuk mendekati negara dan tamadun lain serta mengenali kepelbagaian warisan yang dimiliki setiap satunya,” kata beliau. Produk budaya dan kreatif digital Chengdu menjadi medium yang membuka ruang kepada penemuan dan pemahaman silang budaya seperti yang dimaksudkan itu. Daripada berfungsi sebagai saluran sehala untuk eksport budaya, mereka memanfaatkan teknologi digital bagi membantu penonton di seluruh dunia melihat sesuatu tentang diri mereka dalam usaha menjalin ikatan emosi dua hala.  

Keyakinan Chengdu untuk membawa produk budaya dan kreatif digitalnya ke pasaran antarabangsa didorong oleh ekosistem industri yang semakin berkembang pesat di bandar itu. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sektor industri budaya dan kreatif Chengdu memberi tumpuan kepada pembangunan ekosistem industri yang lebih menyeluruh dan bersepadu. Dari segi sokongan dasar kerajaan, bandar itu memperkenalkan pakej dasar “1+4” yang pertama di China bagi pembangunan industri budaya dan kreatif digital secara sistematik pada Mei 2025. Pakej tersebut merangkumi empat bidang utama, iaitu perfileman dan televisyen, permainan digital dan e-sukan, fiksyen sains serta pembangunan syarikat baharu. Inisiatif berkenaan menyediakan subsidi khas sehingga 50 juta yuan serta membentuk satu sistem sokongan menyeluruh yang merangkumi pembiayaan, platform pembangunan dan perkhidmatan. Dari sudut pasaran pula, Chengdu giat memanfaatkan teknologi baharu. Bandar itu menerajui pembangunan Tianfu Software π Cube OPC Community, sebuah komuniti perintis di China yang berteraskan konsep “AI + industri budaya dan kreatif digital”, bagi merancakkan pertumbuhan pencipta kandungan individu serta perusahaan kecil dan mikro.

Pendekatan berasaskan ekosistem ini mula membuahkan hasil yang memberangsangkan. Setakat ini, syarikat-syarikat yang berpangkalan di Chengdu telah membangunkan pelbagai harta intelek (IP) budaya dan kreatif yang mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa, termasuk “Ne Zha”, “All Wishes Come True!”, “Panda Homeland” dan “Panghua”. Selain membangunkan IP tempatan, Chengdu turut memperlihatkan keterbukaan dengan membawa masuk IP terkenal dunia, antaranya “Angry Birds” dari Finland. Melalui usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D), penghasilan kandungan serta pengurusan berterusan oleh syarikat tempatan, IP antarabangsa ini turut diberi nafas baharu di Chengdu. Pada 2025, industri budaya dan kreatif digital bandar itu mencatatkan hasil sebanyak 413.97 bilion yuan, meningkat 8.3 peratus berbanding tahun sebelumnya. Pencapaian itu meletakkan Chengdu pada landasan yang kukuh untuk mencapai sasaran 600 bilion yuan dalam skala industri teras menjelang 2030.

Dalam proses ini, syarikat-syarikat yang berpangkalan di Chengdu turut menerapkan pelbagai pendekatan berdasarkan kekuatan masing-masing. Ada yang memberi tumpuan kepada usaha membawa karya sastera dalam talian ke pasaran global dengan mengatasi halangan bahasa melalui penterjemahan dan penyesuaian kandungan mengikut budaya setempat. Ada juga yang mengundang pencipta kandungan dari luar negara untuk bekerjasama menghasilkan karya animasi rentas budaya, manakala sesetengah syarikat membuka pusat pengalaman fizikal di luar negara bagi mengukuhkan hubungan emosi dengan pengguna. Kepelbagaian pendekatan ini membolehkan produk budaya dan kreatif digital Chengdu mengekalkan asas pemikiran falsafah Timur, di samping memanfaatkan teknologi sebagai pemacu inovasi.

Pada acara di Athens itu, profesor falsafah Yunani purba dari University of Athens, Ioannis Kalogerakos, berkata: “Keharmonian sejati bukan bermaksud keseragaman, sebaliknya keupayaan unsur-unsur yang berbeza untuk hidup bersama secara kreatif.” Kemunculan sulung produk budaya dan kreatif digital Chengdu di Athens dengan sambutan yang menggalakkan mencerminkan falsafah tersebut. Daripada cuba menerapkan satu lambang budaya kepada tamadun lain, produk berkenaan memanfaatkan teknologi digital untuk membuka ruang komunikasi dan pertukaran budaya, sekali gus membolehkan tamadun purba China dan Yunani saling mencetuskan idea serta ilham baharu menerusi perkongsian pengalaman dan pembelajaran bersama.

Daripada pokok suci gangsa Sanxingdui kepada Roda Angin dan Api milik Ne Zha, serta daripada tiang batu kuil purba Yunani kepada IP digital Chengdu, pencarian manusia terhadap keindahan dan imaginasi tidak pernah berubah. Dengan produk budaya dan kreatif digital sebagai wadah penyampaian dan kerjasama terbuka sebagai pemangkin, Chengdu sedang mencorakkan lembaran baharu dalam landskap kebudayaan global, yang membolehkan setiap tamadun menghargai keunikan masing-masing sambil meraikan keindahan tamadun lain. Usaha ini bukan sahaja membuka pelbagai laluan kepada produk budaya dan kreatif digital Chengdu untuk menembusi pasaran global, malah turut menyumbang kekuatan budaya tersendiri ke arah membina sebuah komuniti berkongsi masa depan untuk seluruh umat manusia.

Sumber: Festival Teater Antarabangsa China-Yunani Keempat

--BERNAMA

+