ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 27, 2024 -Sabtu

 
  TERENGGANU HOS PELANCARAN MINGGU PKS 2017 PERINGKAT KEBANGSAAN

Thursday 18/05/2017



KUALA TERENGGANU, 18 Mei (Bernama) -- SME Corp. Malaysia sekali lagi menganjurkan Minggu PKS pada tahun 2017 di mana tahun ini sejumlah 307 aktiviti telah dirancang di seluruh negara. Negeri Terengganu telah dipilih sebagai hos bagi Pelancaran Peringkat Kebangsaan 2017. Majlis telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Ahmad Razif Abd. Rahman, Menteri Besar Terengganu bersama YB Dato’ Sri Mustapa Mohamed, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
  
Bertemakan “Mula Berdikit, Azam Melangit”, Minggu PKS yang dianjurkan secara tahunan mensasarkan untuk menarik lebih ramai usahawan dan orang ramai menyertai dan mendapat manfaat daripada bantuan dan sokongan perniagaan serta khidmat nasihat berkaitan perniagaan bagi membantu mereka mengembangkan perniagaan. Minggu PKS dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri pada tahun 2012, khusus untuk memberi pengiktirafan akan kepentingan PKS sebagai tunjang ekonomi negara. Diterajui oleh SME Corp. Malaysia, Minggu PKS diadakan secara serentak di seluruh negara di mana pelbagai Kementerian dan Agensi berkaitan akan menyelaraskan program dan aktiviti mereka berkaitan PKS sepanjang minggu tersebut bagi menyokong program ini.
  
Pada tahun lalu, sebanyak 291 aktiviti telah dilaksanakan di seluruh Malaysia. Melalui penganjuran karnival di tapak Minggu PKS pula, tahun lalu sebanyak 2,677 PKS terlibat sebagai pempamer manakala sejumlah 484,934 orang pengunjung telah memeriahkan karnival yang berlangsung di seluruh negara dengan nilai jualan sebanyak RM8.26 juta. Selain itu, sesi pemadanan perniagaan juga turut diadakan dan sesi ini memperlihatkan peningkatan sebanyak 12% di dalam potensi jualan kepada RM72.8 juta berbanding RM60.03 juta pada tahun 2015. Pada tahun ini pula, sesi pemadanan perniagaan yang akan diadakan diharap dapat melibatkan lebih banyak PKS dan meningkatkan potensi jualan dengan adanya penyertaan daripada syarikat besar seperti LAZADA, Mydin, AEON, Tesco, Giant, Lulu dan Ramly.
  
Sempena dengan penganjuran Minggu PKS tahun ini, Malaysia turut menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana Peringkat ASEAN ke-3 (ACCMSME). Mesyuarat ini disertai oleh 117 delegasi melibatkan 10 negara ASEAN dan negara-negara lain termasuk Jepun, Korea Selatan, Jerman dan Amerika Syarikat. Mesyuarat ini antaranya membincangkan perkembangan pelaksanaan 5 matlamat strategik di bawah Pelan Tindakan Strategik Pembangunan PKS ASEAN (SAPSMED) 2016-2025, khususnya inisiatif untuk menggalakkan dagangan di kalangan negara ASEAN seperti menambahbaik proses dan peraturan perniagaan. ASEAN dengan jumlah penduduk seramai 630 juta dengan Keluaran Dalam Negara Kasar keseluruhan mencecah USD2.5 trillion adalah satu pasaran yang mempunyai potensi besar dan sedang berkembang pesat. 
 
YB Dato’ Sri Mustapa turut mengadakan mesyuarat bersama Exco-exco Keusahawanan Negeri dan wakil-wakil negeri bagi membincangkan isu-isu pembangunan PKS Bumiputera. Beliau turut membentangkan inisiatif penubuhan Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) untuk menggalakkan syarikat kecil dan sederhana mengeksport produk melalui aktiviti e-dagang.  Melalui platform ini, kadar pertumbuhan eksport PKS dijangka akan mencecah USD38 billion dan mewujudkan 60,000 peluang pekerjaan menjelang tahun 2025. Sebanyak 1,500 PKS akan disasarkan untuk menyertai AliBaba.com pada bulan Oktober 2017 dan menggunakan DFTZ sebagai platform pemasaran mereka. Untuk mencapai sasaran ini, SME Corp Malaysia sedang melaksanakan pelbagai program dengan rakan strategik lain seperti Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MdeC), Pos Malaysia, LAZADA, Google, 11 Street dan Facebook Avana untuk meningkatkan penggunaan e-dagang di kalangan PKS.
  
Selain itu, bagi meningkatkan capaian maklumat dan bantuan ke kawasan luar bandar, SME Corp. Malaysia juga turut melancarkan perkhidmatan terbaharu iaitu SME Hub on Wheels yang telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Ahmad Razif Abd. Rahman, Menteri Besar Terengganu dan YB Dato’ Sri Mustapa Mohamad, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, diiringi oleh YBhg. Tan Sri Ir (Dr) Mohamed Al Amin Haji Abdul Majid, Pengerusi SME Corp. Malaysia, YBhg. Datuk (Dr.) Hafsah Hashim, Ketua Eksekutif SME Corp. Malaysia dan juga exco-exco keusahawanan dan wakil-wakil negeri. SME Hub on Wheels merupakan pusat khidmat nasihat dan informasi bergerak yang bakal menemui para usahawan di karnival dan ekspo seluruh Semenanjung Malaysia. Majlis Pelancaran Minggu PKS 2017 peringkat Kebangsaan ini juga turut menampilkan Datuk Rosyam Nor yang mengendalikan sesi perkongsian pengalaman bersama usahawan Terengganu. Perkongsian sebegini dapat memberikan inspirasi kepada usahawan untuk terus melangkah ke hadapan menghadapi cabaran dan liku di dalam dunia perniagaan.
  
Tetamu kehormat yang hadir pada hari ini telah berpeluang untuk melawat tapak pameran Minggu PKS di Terengganu Trade Centre yang disertai oleh lebih daripada 100 pempamer yang terdiri daripada usahawan yang menawarkan pelbagai perkhidmatan dan produk. Bagi Negeri Terengganu, fokus penganjuran kali ini adalah menjurus kepada pelaksanaan Program-Program Agensi Kerajaan di bawah Majlis Sekretariat Pembangunan Usahawan Terengganu (MSPUT) seperti Mini MAHA, My Best Farm Outlet, Satu Daerah Satu Industri (SDSI), sesi pemadanan perniagaan, karnival food truck, bengkel pemantapan halal dan sebagainya khas buat usahawan Terengganu dan kawasan sekitar. Karnival Minggu PKS 2017 Terengganu akan berlangsung daripada 17-21 Mei 2017.

SME Corp. Malaysia
 
SME Corp. Malaysia merupakan sebuah Agensi Penyelaras Pusat yang menggubal dasar umum dan strategi PKS serta menyelaras pelaksanaan Program Pembangunan PKS anjuran semua Kementerian dan Agensi yang berkaitan. Ia bertindak sebagai pusat rujukan setempat bagi penyelidikan dan penyebaran data PKS serta sebagai pusat perhubungan untuk maklumat dan menyediakan khidmat nasihat untuk PKS di Malaysia. SME Corp. Malaysia turut memainkan peranan sebagai Sekretariat kepada Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan (MPPK) yang dipengerusikan oleh Y.A.B. Perdana Menteri Malaysia.

Sumber : SME Corp. Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama : En Ahmad Mu’izz Mohd Yusof 
Tel : 03 – 2775 6275 
Emel : muizzyusof@smecorp.gov.my

Nama : Muhammad Ibrahim 
Emel : muhamad@smecorp.gov.my 

PERBADANAN PERUSAHAAN KECIL DAN SEDERHANA MALAYSIA 
(SME CORP. MALAYSIA)                
Wisma UMNO Negeri Terengganu
Ground Floor, Lot 3224 Jalan Masjid Abidin
20200 Kuala Terengganu
Terengganu.
Tel : 609-631 7870   
Faks : 609-631 7721 
http://www.smecorp.gov.my
Emel : info@smecorp.gov.my

--BERNAMA


 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.