ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Mei 17, 2024 -Jumaat

 
  KARNIVAL SUKAN RAKYAT KAYM MERIAH

Monday 31/07/2017



MELAKA, 31 Julai (Bernama) -- Karnival Kenduri dan Sukan Rakyat anjuran Kolej Antarabanga Yayasan Melaka (KAYM) dengan kerjasama penduduk Kampung Balik Bukit, berlangsung meriah dengan pengisian aktiviti seperti permainan sukan tradisi dan gotong royong menyediakan lauk pauk kampung.
 
Kemesraan dan semangat kekeluargaan seramai 500 pelajar-pelajar baru KAYM bersama penduduk kampung terjalin erat melalui aktiviti melapah daging lembu, mencari kayu api, dan ubi kayu dengan menaiki kereta lembu, selain memasak bersama-sama.
 
Ketua Eksekutif KAYM, Datuk Saroni Judi berkata, penonjolan identiti kebudayaan melalui aktiviti sebegini tepat sekali, malah merupakan usaha murni yang memerlukan sokongan semua pihak.
 
“Dengan ini, dapatlah kita menyemarakkan nilai-nilai dan keunikan sukan ini serta dapat mengekalkan pula warisan budaya kita dari ditenggelami arus kebangkitan nilai-nilai moden.
 
Dalam konteks ini, orang ramai khususnya generasi muda diseru agar sama-sama berusaha supaya sukan tradisi kembali mendapat sambutan dalam kalangan generasi muda,” katanya.
 
Menurut Saroni, dengan melaksanakan karnival ini, ianya dapat memberi peluang pelajar merasai kehidupan kampung yang menjadi  warisan nenek moyang.
 
“Malah usaha tersebut juga membolehkan pelajar menghilangkan tekanan bagi menghadapi peperiksaan semester dan akan dijadikan acara tahunan.
 
“Dalam masa yang sama, saya yakin banyak sukan tradisi yang perlu digiatkan kembali dan penganjuran aktiviti sukan secara hakikatnya tidak memerlukan kos yang banyak bagi menghidupkan kembali serta memajukan sukan tradisi ini, “ katanya.
 
Sementara itu, Naib Presiden Akademik Jasmy Fardzy Abdul Aziz berkata, kampung ini dipilih sebagai tapak karnival kerana ciri-ciri tradisional dan keunikannya.
 
“Kampung ini turut dikenali sebagai Perkampungan Warisan Kereta Lembu memandangkan hanya inilah satu-satunya tempat dalam negara kita yang masih membuat kereta lembu.”
 
“Malah, pelajar dan kakitangan KAYM juga tanpa ragu-ragu turun ke bendang, diselaputi selut dan lumpur untuk menyertai pertandingan baling tin, serkup ikan haruan, tarik upih dan tarik tali bersama orang kampung,’’katanya.
 
Rata-rata pelajar menyatakan keseronokan dan mengakui betapa pengalaman menyertai gotong-royong dan sukan rakyat ini dan ianya merupakan satu pengalaman yang berharga.
 
Seorang pelajar Diploma Bimbingan dan Kaunseling, Aminuddin Ashraf Rahmat berkata, bukan sahaja aktiviti diikuti itu seronok, tetapi ia juga dapat mengeratkan silaturahim sesama pelajar, pensyarah dan orang kampung.

Sumber : Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (KAYM)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama : Harmiyati Mohamed Mohtar
Ketua Jabatan Komunikasi Korporat
Tel : (606) 2817732 ext  262 / 013 659 2779
Faks  : (606) 2861062
Emel  : harmiyati@kym.edu.my

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.