ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Disember 04, 2024 -Rabu

 
  PENJELASAN MENGENAI SEWA BANGUNAN LHDNM KUANTAN

Wednesday 02/08/2017



KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Bernama) -- Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) ingin memberikan penjelasan terhadap dakwaan yang ditimbulkan oleh beberapa pihak mengenai sewa bangunan yang menempatkan Pejabat LHDNM di Kuantan, Pahang.
 
Sebagai makluman, Pejabat LHDNM Kuantan yang berada di Menara CDO telah mula disewa pada tahun 2014 daripada CDO Resources Sdn. Bhd. apabila ruang pejabat lama yang berada di Kuantan Centre Point sejak tahun 2001 tidak lagi mampu menampung bilangan staf, pelanggan dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh LHDNM.
 
Dengan bilangan staf hampir 250 orang termasuk petugas Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Menara CDO menyediakan ruang kerja yang kondusif kepada staf dalam melaksanakan tugasan harian. Malah dengan ruang lantai yang luas, semua perkhidmatan yang ditawarkan oleh LHDNM dapat ditawarkan di bawah satu bumbung yang pastinya memudahkan dan memberikan keselesaan kepada lebih 230 orang pelanggan yang datang berurusan setiap hari. Di antara kemudahan-kemudahan lain yang terdapat di Menara CDO untuk keselesaan staf dan pelanggan adalah seperti berikut:

i.     Lot Parkir yang lebih banyak termasuk lot parkir percuma
ii.    Ruang Dewan yang luas dan kondusif
iii.   Ruang Kaunter Khidmat Pelanggan yang selesa dan moden
iv.   Surau dan Tandas yang selesa
v.    Kemudahan Mesra Orang Kelainan Upaya (OKU)
vi.   Bilik Mesyuarat yang selesa dan moden

LHDNM mengakui bahawa bayaran sewa Menara CDO adalah lebih tinggi berbanding bayaran sewa di pejabat lama iaitu di Kuantan Centre Point. Namun demikian, bayaran sewa ini adalah untuk sebuah bangunan pejabat setinggi 13 tingkat dan 2 tingkat ruang bawah tanah yang menempatkan parkir kenderaan, di mana jumlah keseluruhan ruang binaan ialah 203,455.45 kaki persegi berbanding hanya 53,085.77 kaki persegi di Kuantan Centre Point. Tambahan pula amaun sewaan ini telah mengambilkira kos bayaran perabot dan kos pengubahsuaian ruang bangunan serta ditetapkan secara telus melalui perakuan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH). Justeru, dengan membayar sewa yang sedikit mahal untuk setiap kaki persegi bangunan, LHDNM dapat memberikan keselesaan dan kemudahan kepada rakyat yang datang membuat urusan.

LHDNM turut ingin menafikan dakwaan bahawa LHDNM menggunakan wang pembayar cukai di Negeri Pahang untuk membayar sewa bangunan tersebut. LHDNM kesal dengan dakwaan tersebut kerana ia adalah dakwaan yang tidak berasas dan tidak bertanggungjawab.  

SUMBER : Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: 
Bahagian Komunikasi | Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia
03-8313 8888 samb. 21658 / 21674
Faks : 03-8313 7873
Hasil Care Line : 1-800-88-5436 (LHDN)
Portal Rasmi : www.hasil.gov.my
 
--BERNAMA 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.