ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 26, 2024 -Jumaat

 
  KENYATAAN AKHBAR KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA: PENJAGAAN KESIHATAN KETIKA BANJIR

Monday 06/11/2017



PUTRAJAYA, 6 Nov (Bernama) -- Pada hari ini (5 November 2017) sehingga jam 2.00 petang, sejumlah tiga (3) negeri iaitu Pulau Pinang, Kedah dan Perak telah dilanda banjir. Daerah-daerah yang terlibat adalah lima (5) daerah di Pulau Pinang iaitu di Timur Laut, Barat Daya, Seberang Prai Tengah, Seberang Perai Selatan dan Seberang Perai Utara. Tiga (3) daerah di Kedah iaitu di Yan, Kulim dan Kuala Muda. Manakala di Perak pula melibatkan satu daerah iaitu daerah Perak Tengah.
 
Sebanyak lima (5) buah fasiliti kesihatan yang dilaporkan terkesan akibat situasi banjir di negeri Pulau Pinang iaitu Hospital Pulau Pinang, Klinik Kesihatan Mak Mandin, Klinik Desa Lahar Yooi, Klinik Kesihatan Perai dan Klinik 1Malaysia Taman Seri Delima. Namun begitu, KKM akan memastikan perkhidmatan perubatan dan kesihatan diteruskan:
 
a. Hospital Pulau Pinang (HPP) dan Klinik Kesihatan Perai (KK Perai): kerja-kerja pemulihan dan pembersihan sedang dilakukan dan telah dapat diakses seperti sediakala bagi HPP manakala KK Perai akan beroperasi sepert biasa pada hari esok.

b. Manakala tiga fasiliti lain: kawasan klinik dan jalan utama masih dinaiki air. 
 

Tiada fasiliti kesihatan terjejas di Negeri Kedah dan Perak. 
 
Sehubungan itu orang ramai perlu peka dengan keadaan dan arahan semasa daripada pihak berkuasa seperti berikut: 
 
a. Apabila hujan turun tanpa berhenti-henti, kawasan rendah akan mudah ditenggelami air. Sungguhpun beberapa kawasan dikenalpasti sebagai kawasan banjir, tetapi banjir boleh berlaku di mana sahaja tanpa amaran awal.
 
b. Air banjir merupakan air yang tercemar dan kotor yang boleh mendatangkan pelbagai penyakit berjangkit seperti cirit birit, demam kepialu (tifoid), hepatitis A dan leptospirosis (penyakit kencing tikus).
 
c. Selain itu sentuhan terus dengan air banjir tercemar juga boleh menyebabkan jangkitan kepada luka, kulit, mata, jangkitan kepada telinga, hidung dan tekak. 
 
d. Penyakit bawaan vektor seperti Denggi, Chikungunya dan Malaria juga perlu diberi perhatian. Semasa banjir, hujan akan menyebabkan bekas-bekas menakung air menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes dan anopheles.  Ini menyebabkan populasi nyamuk bertambah dan boleh merebakkan penyakit bawaan nyamuk seperti Demam denggi, Chikungunya dan Malaria.
 
e. Walaubagaimanapun, kita perlu beringat bahawa banjir juga memberi kesan negatif kepada pengendalian kes-kes penyakit kronik, penjagaan kesihatan ibu hamil serta meningkatkan risiko untuk mendapat kecederaan. Oleh yang demikian, selain dari menitik beratkan langkah pencegahan penyakit berjangkit, mereka yang berkemungkinan terlibat di dalam kejadian banjir, perlu membuat persediaan dan langkah berjaga-jaga bagi memastikan pengendalian kes-kes kronik dan penjagaan ibu hamil dapat diteruskan seperti biasa.
 
f. Kesan jangkitan kuman boleh menjadi amat teruk jika tidak diberikan rawatan awal terutamanya kepada mereka yang berisiko dan mudah dijangkiti kuman seperti kanak-kanak, warga emas dan pesakit kronik. 
 
Pencegahan penyakit dan kecederaan
 
a. Dalam kita bertungkus lumus menyelamatkan harta benda dan mengumpul ahli keluarga berpindah ke tempat selamat, namun keselamatan jangan sesekali kita abaikan.
 
b. Mangsa banjir juga perlu mengamalkan penjagaan kebersihan semasa dan selepas banjir terutama sekali perlu membasuh tangan dengan sabun dan air yang bersih terutama dalam penyediaan makanan dan aktiviti pembersihan. Pemakaian alat perlindungan diri seperti sarung tangan dan but juga perlu dititikberatkan agar kecederaan dan sentuhan kepada air banjir dapat diminimumkan.
 
c. Orang ramai hendaklah peka dengan arahan semasa dari pihak berkuasa seperti mengawasi anak-anak daripada bermain air banjir untuk mengurangkan kejadian-kejadian yang tidak diingini seperti kecederaan, kejutan elektrik, kematian dan lain-lain. 
 
d. Semasa di pusat pemindahan, anda perlu mematuhi peraturanperaturan yang ditetapkan, disamping menjaga kebersihan tempat tinggal sementara anda. Tempat tinggal yang kotor akan menjadi tempat pembiakan vektor pembawa penyakit seterusnya meningkatkan risiko penularan penyakit berjangkit. 
 
e. Selain dari itu mangsa banjir perlu mewujudkan hubungan silaturahim yang baik sesama mangsa banjir dengan mengamalkan kesihatan mental yang baik seperti bertegur sapa, mengelakkan ketegangan dan saling membantu di antara satu sama lain. Jika anda merasa tertekan atau mempunyai masalah, berbincanglah dengan orang yang dipercayai atau berhubung dengan mana-mana anggota kesihatan yang bertugas.
 

KKM ingin menasihatkan orang ramai terutama mangsa banjir yang masih berada di pusat pemindahan dan yang telah pulang ke rumah masing-masing hendaklah terus menjaga kebersihan dan Kesihatan. Sekiranya sakit, hendaklah segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran. Mereka juga dinasihatkan supaya memasak air minuman dan makan makanan yang telah dimasak dengan sempurna. Perhatian perlu diberikan untuk mengelakkan kecederaan terutamanya semasa membuat kerja-kerja pembersihan selepas banjir.
 

DATUK DR NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

Sumber : Kementerian Kesihatan Malaysia 

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama : Nor Suzaman Abdul Rahman
Tel : 03-8883 3470 / 013-399 7025
Emel : n.suzaman@moh.gov.my

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.