KUALA LUMPUR, 24 Dis (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin merujuk kepada paparan di ruangan Twitter oleh seorang wanita mengenai anggota keluarganya yang kini sedang menerima rawatan di Hospital Putrajaya kerana disyaki dijangkiti penyakit MERS-CoV dan ingin memberikan penjelasan lanjut mengenainya. Untuk makluman, ujian makmal yang dijalankan ke atas sampel milik pesakit tersebut
didapati negatif bagi jangkitan MERS-CoV. Tindakan tidak bertanggungjawab menularkan maklumat tidak sahih (sehingga hampir 9,000 retweet) ini telah menimbulkan kerisauan di kalangan masyarakat dan adalah amat dikesali.
Kejadian jangkitan MERS-CoV yang telah mula dikesan oleh pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semenjak 2012 lagi. Sehingga kini, sejumlah 2,121 kes MERS-CoV yang disahkan melalui ujian makmal telah dilaporkan dari seluruh dunia dengan melibatkan 740 kematian. Oleh itu, KKM ingin menegaskan bahawa penularan jangkitan MERS-CoV masih terus berlaku secara aktif melibatkan kes dari negara-negara di rantau Timur Tengah, khususnya Arab Saudi yang menyumbang kepada lebih 80% dari kes yang dilaporkan dari seluruh dunia. Begitu juga, berdasarkan kajian yang dijalankan di beberapa buah negara di rantau Timur Tengah, mendapati bahawa terdapat perkaitan di antara virus MERS-CoV dan unta.
KKM sentiasa memantau dengan rapi perkembangan jangkitan MERS-CoV yang secara berterusan dilaporkan oleh pihak WHO. Lebih-lebih lagi apabila ramai rakyat Malaysia yang mengambil kesempatan untuk mengerjakan ibadah umrah semasa musim cuti sekolah yang panjang, seperti sekarang ini kerana ianya berpotensi untuk mendedahkan mereka kepada risiko jangkitan MERS-CoV ketika berada di Tanah Suci. Pemantauan yang berterusan oleh pihak KKM, bermula penghujung 2012 sehingga kini merekodkan lebih dari 3,000 orang dalam kalangan jemaah haji / umrah dan pelawat yang melawat negara dijangkiti telah menunjukkan gejala MERS-CoV.
Namun begitu, ujian MERS-CoV yang dijalankan ke atas mereka kesemuanya didapati negatif kecuali kes yang pernah dilaporkan pada April 2014 melibatkan seorang lelaki berumur lingkungan lima puluhan yang baru pulang dari mengerjakan umrah.
KKM telah mengeluarkan nasihat kesihatan berikut sebagai sebahagian dari langkah-langkah pencegahan risiko mendapat jangkitan MERS-CoV kepada para jemaah haji / umrah / pelawat Malaysia semasa berada di Tanah Suci dan selepas pulang ke Malaysia:
Selalu mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau bahan pencuci tangan (hand sanitizer), terutamanya selepas batuk, bersin atau selepas bersalaman;
Semasa dalam tempoh lawatan, sentiasa membawa bersama penutup mulut dan hidung (mask) serta bahan pencuci tangan (hand sanitizer) untuk digunakan apabila perlu;
Semasa dalam tempoh lawatan, elakkan dari mengunjungi kediaman atau institusi penjagaan kesihatan yang terlibat dalam kejadian jangkitan wabak MERS-CoV di negara tersebut;
Elakkan dari melawat ke ladang haiwan atau menyentuh sebarang jenis haiwan, khususnya unta;
Elakkan dari mengambil (iaitu memakan atau meminum) sebarang produk mentah / tidak dimasak dengan sempurna yang melibatkan unta; seperti susu, daging, air kencing dan produknya.
Para jemaah umrah atau pelawat yang baru pulang dari mengerjakan umrah di Tanah Suci adalah dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan dengan kadar segera, sekiranya mengalami gejala demam dan jangkitan respiratori (seperti batuk dan kesukaran bernafas), khususnya dalam tempoh 14 hari setelah tiba di Malaysia. Mereka perlu memaklumkan mengenai sejarah perjalanan mereka kepada doktor yang merawat. KKM terus mempertingkatkan langkah-langkah kesiapsiagaan dan respon di semua peringkat KKM bagi menghadapi potensi penularan jangkitan MERS-CoV di Malaysia. Kerjasama semua Kementerian dan agensi berkaitan termasuk agensi pelancongan, jemaah umrah / pelawat amat diperlukan bagi membantu KKM terus mencegah penularan penyakit ini ke dalam negara. Orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak menyebarkan maklumat tidak sahih atau yang belum disahkan.
Maklumat terkini mengenai gejala penyakit MERS-CoV dan perkembangan semasa mengenai penyakit tersebut boleh diperolehi dengan melayari lawan sesawang KKM di http://www.moh.gov.my dan juga melalui
Facebook CPRC Kebangsaan
(National Crisis Preparedness Response Centre).Sekian, terima kasih.
DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIASUMBER : Kementerian Kesihatan MalaysiaUNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:Nama : Nor Suzaman Abdul RahmanTel : 03-8883 3470 / 013-399 7025
Emel : n.suzaman@moh.gov.my
--BERNAMA