ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Mei 02, 2024 -Khamis

 
  PROJEK INTEGRASI PENDAFTARAN DAN PELESENAN PERNIAGAAN DI BAWAH PROGRAM BERIMPAK TINGGI 1 PERUSAHAAN KECIL DAN SEDERHANA (SEM HIP 1)

Monday 12/02/2018



PUTRAJAYA, 12 Feb (Bernama) -- Portal Informasi Pendaftaran dan Pelesenan Perniagaan Setempat ataupun Portal MalaysiaBiz telah dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri pada tahun 2016 dan diluaskan horizon pelaksanaannya ke negeri Sabah dan Sarawak pada tahun 2017. Portal ini memaparkan maklumat pendaftaran perniagaan yang meliputi 10 badan pendaftar perniagaan serta maklumat pelesenan yang meliputi 2919 lesen daripada 508 Pihak Berkuasa Melesen (PBM) di peringkat persekutuan, negeri dan juga Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Di bawah Pelan Induk Perusahaan Kecil dan Sederhana 2012-2020, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah diberi tanggungjawab untuk menerajui pelaksanaan Program Berimpak Tinggi 1 Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME HIP1): Integrasi Pendaftaran dan Pelesenan Perniagaan yang bertujuan untuk meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan. Objektif utama projek ini adalah untuk mewujudkan satu gerbang tunggal bagi memudahkan urusan pendaftaran dan pelesenan perniagaan.

Portal MalaysiaBiz akan dinaik taraf bagi membolehkan ia menyediakan perkhidmatan pendaftaran dan pelesenan perniagaan secara online. Sebelum ini, komuniti perniagaan perlu mendapatkan perkhidmatan tersebut dari pelbagai portal agensi yang berkaitan. Melalui Portal MalaysiaBiz, urusan pendaftaran dan pelesenan perniagaan akan dipermudahkan secara berpusat. Projek ini merupakan fasa pertama integrasi yang melibatkan pengintegrasian dengan sistem-sistem agensi yang kini telahpun menyediakan perkhidmatan pendaftaran dan pelesenan perniagaan secara online.

Selaras dengan agenda Kerajaan Digital di Malaysia, gerbang tunggal ini akan menjadi naratif baharu perkhidmatan awam. Perkhidmatan yang cepat dan selamat diakses akan menjadi keperluan utama rakyat khususnya golongan muda yang sentiasa peka kepada perkembangan teknologi. Golongan sasar,iaitu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang merupakan 98.5% daripada jumlah perniagaan di Malaysia akan menerima manfaat secara langsung daripada pelaksanaan gerbang tunggal ini. Melalui gerbang ini, urusan pendaftaran dan pelesenan perniagaan akan dapat dilaksanakan dengan lebih mudah yang sekaligus akan meningkatkan kepuasan pelanggan serta menggalakkan lagi pertumbuhan aktiviti perniagaan dan turut menyumbang kepada daya saing negara. Kerjasama pelbagai agensi bagi melaksanakan Portal MalaysiaBiz adalah selari dengan prinsip Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) untuk memberikan perkhidmatan lebih baik dan efisyen kepada rakyat. Projek ini akan dilaksanakan selama 2 tahun bermula dari 26 Disember 2017 sehingga 25 Disember 2019.

MAMPU

Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) merupakan sebuah agensi pusat yang memainkan peranan penting dalam memacu dan mentransformasi sistem penyampaian perkhidmatan awam. MAMPU telah bertindak sebagai penggerak dan agen perubahan pentadbiran dan pengurusan bagi perkhidmatan awam dengan memperkenalkan dan mempromosikan program-program pembaharuan bagi jentera pentadbiran serta menilai dan mengiktiraf tahap prestasi agensi kerajaan dalam pengurusan dan penyampaian perkhidmatan awam yang cekap, berkesan dan responsif.

SUMBER : Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI :
Bahagian Perancangan dan Komunikasi Korporat
Unit Permodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia
(MAMPU), Jabatan Perdana Menteri
Tel : 03-8872 3138
Faks : 03-8888 3566

--BERNAMA 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.