ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 27, 2024 -Sabtu

 
  YB DATUK SERI MAH SIEW KEONG MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI SEPANYOL BERPENDIRIAN TIDAK MENYOKONG DISKRIMINASI TERHADAP MINYAK SAWIT

Tuesday 13/02/2018


Mesyuarat bersama delegasi daripada Kementerian Tenaga Sepanyol yang diketuai oleh Setiausaha Negara Kementerian Tenaga, H.E Daniel Navia. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong mengetuai delegasi Malaysia yang turut dihadiri oleh Duta Malaysia ke Sepanyol, H.E Zainal Abidin Bakar



KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong telah menghadiri 3 mesyuarat bilateral bersama wakil-wakil kerajaan negara Sepanyol dalam rangka Misi Khas Rundingan Sawit Malaysia - Kesatuan Eropah (EU).

Mesyuarat bilateral tersebut telah diadakan bersama H.E Danial Navia Simon (Setiausaha Negara Kementerian Tenaga), H.E Maria Poncela Garcia (Setiausaha Negara Kementerian Perdagangan Antarabangsa) dan En. Jaimie Haddad (Kementerian Pertanian, Perikanan dan Alam Sekitar) di Madrid, Sepanyol.

Dalam semua mesyuarat bilateral tersebut, Datuk Seri Mah Siew Keong telah menyuarakan kebimbangan serta pendirian teguh Kerajaan Malaysia berkenaan resolusi EU untuk mengharamkan penggunaan minyak sawit daripada perundangan _Renewable Energy Directive_ (RED) menjelang tahun 2021.

Datuk Seri Mah Siew Keong menegaskan bahawa Kerajaan Malaysia menentang ketidakadilan melalui resolusi parlimen EU yang mendiskriminasikan minyak sawit berbanding minyak sayuran yang lain dan resolusi tersebut bakal menjejaskan sumber pendapatan serta menekan 650,000 pekebun kecil sawit di Malaysia.

Dalam hal ini, perwakilan daripada Kerajaan Sepanyol telah memaklumkan bahawa pendirian rasmi kerajaan Sepanyol adalah untuk tidak menyokong sebarang tindakan mendiskriminasikan minyak sawit.

Pendirian Kerajaan Sepanyol tersebut adalah kerana adaptasi resolusi ini bakal memberikan kesan buruk terhadap industri biodiesel di Sepanyol dan ianya juga adalah tidak sejajar dengan undang-undang perdagangan bebas menurut World Trade Organization (WTO).

Datuk Seri Mah Siew Keong mengalu-alukan komitmen daripada perwakilan Kerajaan Sepanyol dan berhujah jika pengharaman ini menjadi perundangan EU, sebarang bahan alternatif untuk menggantikan minyak sawit akan mengakibatkan peningkatan kos yang tinggi.

Peningkatan kos yang tinggi ini akhirnya bakal ditanggung oleh para pengguna dan turut bakal mengakibatkan kerugian tinggi terhadap pemain industri biodiesel di Sepanyol.

Dikalangan 28 buah negara EU, Sepanyol merupakan negara yang menggunakan feedstock bio bahan bakar berasaskan sawit terbesar dengan peratusan sebanyak 70% dan Sepanyol juga merupakan pengimport sawit kedua terbesar selepas Belanda dengan nilai tahunan hampir RM1 billion.

Selain daripada itu, perwakilan daripada Kerajaan Sepanyol turut memberikan jaminan bahawa Kerajaan Sepanyol tidak akan menyokong dan menerima sebarang cadangan yang bertentangan dengan perundangan yang ditetapkan oleh World Trade Organization (WTO).

Dalam pertemuan berasingan, Datuk Seri Mah Siew Keong turut mengadakan pertemuan khas bersama pengimport minyak sawit daripada negara Sepanyol di Madrid.

Semasa pertemuan tersebut, para pengimport sawit Sepanyol berharap agar Kerajaan Malaysia untuk terus menentang keras resolusi parlimen EU dan mereka bersedia untuk berkerjasama Malaysia untuk menangani persepsi negatif terhadap minyak sawit dikalangan pengguna.

Datuk Seri Mah Siew Keong menyimpulkan bahawa Malaysia menghargai sokongan daripada pelbagai pihak termasuklah daripada pihak pemain industri dan Malaysia akan terus komited untuk memastikan industri sawit akan mendapat layanan adil.

Misi Rundingan Sawit Malaysia - EU akan diteruskan dengan siri perjumpaan bersama wakil-wakil kerajaan dan serta Komisioner EU di Belgium, United Kingdom (UK), Jerman, Poland dan Italy.

DATUK SERI MAH SIEW KEONG
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia
Madrid, Sepanyol

Sumber : kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama : SITI HAJAR ZULKEFLE
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Tel : 03 - 88803381
Faks : 03 – 88878205

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.