ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 27, 2024 -Sabtu

 
  MAJLIS PEPERIKSAAN MALAYSIA DAN MIMOS PERKENAL UJIAN DIGITAL BANTU LEPASAN SPM, STPM BUAT PILIHAN BIDANG PENGAJIAN

Friday 16/03/2018



KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) -- Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) dan MIMOS telah melancarkan satu instrumen dalam talian dipanggil Prospek Kerjaya (PK) yang boleh membantu pelajar lepasan Sekolah Menengah dan Kolej Tingkatan Enam membuat keputusan lebih tepat dalam memilih bidang pengajian dan kerjaya berdasarkan minat mereka.

Menggabungkan kepakaran teknologi MIMOS dan kepakaran MPM dalam pembangunan dan pengurusan pentaksiran pendidikan, PK merupakan ujian yang mentaksir minat kerjaya dan personaliti individu, yang kemudian dipadankan dengan bidang pengajian dan bidang kerjaya bersesuaian. Ujian digital ini boleh diakses secara dalam talian pada bila-bila masa.   

Bagi ujian perintis, seramai 47 orang pelajar dari Kolej Tingkatan Enam Desa Mahkota, Kepong telah menggunakan PK, manakala 125 pelajar Tingkatan Enam dari pelbagai sekolah di seluruh Malaysia telah menduduki ujian ini pada hari pelancarannya pada 6 Mac lalu.

Sistem PK juga menghimpunkan data-data bidang pengajian daripada semua Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta untuk dijadikan panduan kepada pelajar yang mengambil PK.  Pada masa ini, institusi yang telah mula menggunakan sistem ini termasuk Kolej Poly-Tech MARA, Universiti Perdana, Universiti UCSI, Asia-Pacific University of Technology & Innovation, Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur dan Universiti Malaysia Sarawak.

Selain mencadangkan pilihan bidang kerjaya, PK juga menyediakan maklumat tentang institusi yang menawarkan program pengajian yang berkenaan.  Penggunaan teknologi pentaksiran digital dijangka dapat menyumbang ke arah kemajuan institusi pendidikan negara melalui pengambilan pelajar-pelajar yang mempunyai minat dan kecenderungan yang bersesuaian.

MIMOS dan MPM telah menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bersama sejak awal tahun 2017 dan telah menandatangani Perjanjian Persefahaman pada tahun yang sama untuk membolehkan MPM menggunakan PK dalam proses pentaksiran para pelajar di Malaysia.

MIMOS dan MPM dijadualkan akan mengambil bahagian dalam beberapa karnival pendidikan dan kerjaya di seluruh negara dalam bulan Mac hingga Mei untuk memberi peluang kepada para pelajar mencuba PK.  Untuk maklumat lanjut tentang ujian ini sila layari https://portal.mpm.edu.my

Dikeluarkan oleh:
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
MIMOS BERHAD
TAMAN TEKNOLOGI MALAYSIA
KUALA LUMPUR

Sumber : MIMOS Berhad

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI: 
Nama : Laurence Sebastian
Tel : +603 8995 5000 / +601 9236 4938  
Emel : laurence@mimos.my
Web : www.mimos.my

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.