ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 26, 2024 -Jumaat

 
  KEMATIAN KES DISYAKI JANGKITAN DIFTERIA DI DAERAH JOHOR BAHRU, JOHOR

Thursday 18/10/2018



KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan kejadian satu (1) kes kematian disyaki akibat jangkitan Difteria di daerah Johor Bahru pada 15 Oktober 2018. 
 
Kes yang dilaporkan merupakan seorang kanak-kanak perempuan berusia 14 bulan. Pesakit tidak pernah menerima sebarang imunisasi difteria kerana keluarga enggan menerima imunisasi. Kanak-kanak tersebut mula mengalami demam dan sakit tekak pada 4 Oktober 2018 dan telah dibawa oleh ibunya mendapatkan rawatan awal di klinik swasta pada 11 Oktober 2018. Keesokan harinya, kanak-kanak tersebut telah dibawa ke unit kecemasan hospital kerana sesak nafas dan hilang selera makan. Pesakit dimasukkan ke wad kanak-kanak dan seterusnya dimasukkan ke unit rawatan rapi pediatrik pada 13 Oktober 2018 kerana keadaan semakin lemah dan memerlukan bantuan pernafasan. Walau bagaimanapun, kanak-kanak tersebut meninggal dunia pada 15 Oktober 2018 akibat Severe Diphtheria with multiorgan failure. Ujian pengesanan ke atas sampel calitan tekak pesakit menunjukkan kehadiran bakteria Corynebacterium diphtheriae dan pihak kementerian kini menunggu keputusan ujian pengesahan makmal. 
 
Penyakit difteria merupakan jangkitan kuman bakteria Corynebacterium diphtheriae yang menyebabkan gejala sakit tekak dengan selaput di dalam tekak (farinks / kerongkong), dengan kemungkinan berlaku komplikasi bakteremia dan endokarditis (infeksi pada jantung) sehingga boleh membawa maut.
 
Tindakan yang telah dijalankan bagi membendung penularan jangkitan ini adalah termasuk pencarian kes secara aktif di kawasan kediaman kes, aktiviti pemberian imunisasi, dan pendidikan kesihatan. Sehingga hari ini tiada kes baru dilaporkan kepada kementerian ini.
 
KKM ingin menasihati orang awam agar sentiasa berwaspada terhadap penyakit berjangkit yang boleh dicegah melalui imunisasi seperti difteria, measles, mumps dan lain-lain. Perkhidmatan imunisasi ini boleh diperolehi daripada klinik kesihatan kerajaan dan swasta. Kegagalan memberikan imunisasi kepada kanak-kanak bukan sahaja mendedahkan kanak-kanak tersebut kepada jangkitan kuman malahan boleh membahayakan komuniti. 
 
Dengan itu dinasihatkan ibu bapa yang masih belum memberikan imunisasi kepada anak-anak mereka tampil untuk mendapatkan imunisasi mengikut jadual yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan. Bagi kanak - kanak yang telah tercicir suntikan, mereka masih boleh mendapatkan perkhidmatan di mana-mana klinik kesihatan terdekat.

Sekian, terima kasih.
 
DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
17 Oktober 2018

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: BAHARUDIN BIN MOHAMAD
Pegawai Perhubungan Awam
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
Tel: 03-88834536 / 017-2635008
Faks: 03-88886187

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.