ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 27, 2024 -Sabtu

 
  LEBIH 1,000 KARYAWAN SENI DAN PENGHIBUR BAKAL MEMERIAHKAN PUBLIKA SEPANJANG TIGA MINGGU SEMPENA MAP FEST 2019

Thursday 28/03/2019



KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) -- Edisi ke-9 pesta seni dan budaya, Malaysian Art Platform (MAP) Fest 2019 akan menampilkan lebih 1,000 karyawan seni dalam 50 acara sepanjang tempoh tiga minggu di sekitar Publika Shopping Gallery bermula dari 30 Mac sehingga 14 April.
 
MAP Fest merupakan acara tahunan bagi meraikan komuniti seni seraya mempamerkan kesenian budaya melalui kepelbagaian acara, aktiviti serta persembahan yang unik bagi dinikmati oleh pencinta seni, belia dan keluarga sambil mereka mengambil bahagian sepanjang pesta diadakan.
 
Tujuan utama pesta ini diadakan adalah untuk membantu membina komuniti seni dan menarik masyarakat Malaysia untuk lebih menghargai kepelbagaian bentuk kesenian di negara kita.
 
Pesta ini menampilkan persembahan karyawan-karyawan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dan penerbit teater tempatan, persembahan tarian, muzik, penyampaian puisi, nyanyian, kumpulan kugiran, persembahan kebudayaan, serta bengkel kesenian dari Malaysia dan luar negara. Masuk adalah percuma.
 
Pesta ini juga menawarkan pengunjung pelbagai aktiviti-aktiviti kesenian di Publika Shopping Gallery, yang menyajikan kepelbagaian gaya dan bentuk karya seni. Persembahan yang disajikan adalah untuk mendidik masyarakat Malaysia serta menarik minat lebih ramai penonton untuk bersama-sama menghargai seni dengan menggalakkan penyertaan dan penglibatan khalayak umum bagi menjadikannya lebih inklusif kepada masyarakat.
 
"Melalui pesta ini, kami berharap agar dapat menyumbang ke arah pembangunan industri kreatif, dan membantu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara kreatif," kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise Berhad, Anwar Syahrin Abdul Ajib.
 
"Kami menyediakan satu ruang dan peluang untuk karyawan-karyawan tempatan dan antarabangsa untuk berinteraksi sesama mereka, berkongsi pengalaman dan kemahiran, serta sebagai satu peluang bagi mengetengahkan bakat dan karya mereka kepada masyarakat umum. Kami berharap agar dapat menarik pelancong antarabangsa dan juga tempatan, dan menampilkan Kuala Lumpur sebagai sebuah hub kreatif," tambahnya.
 
Festival MAP Fest 2019 akan dimulakan dengan acara Earth Hour pada 30 Mac, bermula dari jam 6.00 petang sehingga 10.00 malam dengan persembahan muzik, Green Beat Live oleh pemain dram dan gendang tersohor, Lewis Pragasam. Kemudian, acara akan diteruskan dengan persembahan Rasa Sayang Live Hour, yang mengetengahkan Amir Hasan, Sissy Imann dan Aizat Amdan.

Manakala, sekitar jam 8:30 malam hingga 9:30 malam, semua lampu-lampu utama sekitar Publika Shopping Gallery akan ditutup untuk Earth Hour dan hadirin akan disajikan dengan persembahan tarian Kwang Tung Dance Company yang bertujuan menyemai kesedaran tentang kesan pencemaran.
 
Antara persembahan kemuncak untuk pesta ini ialah persembahan Magic Flutes oleh Bolivian Kharito yang mengetengahkan muzik Andean menggunakan pelbagai alatan muzik diperbuat daripada buluh diikuti dengan persembahan tarian LED and fire Dance reminiscence of winter in Russia dari PR Entertainment serta persembahan gendang oleh Orang Orang Drum Theatre.
 
Publika juga bekerjasama dengan beberapa penyewanya untuk menampilkan acara-acara lain, seperti The Joke Factory bagi sebuah siri bengkel seni untuk kanak-kanak serta The Bee untuk acara-acara muzik.
 
Selain itu, Publika juga turut bekerjasama dengan Malaysian Emerging Artist Award (MEAA), sebuah pertandingan dwi-tahunan yang meraikan dan mengiktiraf bakat-bakat seni muda Malaysia untuk membantu mereka mengorak langkah ke dalam persada seni tempatan dan antarabangsa.
 
Untuk maklumat lanjut mengenai acara-acara yang diadakan pada MAP Fest 2019, sila kunjungi laman Facebook Publika Gallery ataupun MAPKL.
 
Sumber: UEM Sunrise Berhad
 
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Zahayu Shima
Tel: +6019-2761004
Emel: zahayu.samad@uemsunrise.uemnet.com
 
--BERNAMA
 
 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.